Blog Archives

Apa yang masih dicari?

Melihat keadaan kehidupan di sekeliling. Memerhati sambil merenung diri.

Pelbagai persoalan cuba ditimbulkan. Semakin banyak persoalan yang sukar dirungkaikan. Cuba untuk mentafsir apakah yang dimaksudkan dengan kesempurnaan dan matlamat dalam hidup yang dicari. Berbeza insan berlainan tujuan. Betapa uniknya seorang makhluk yang bernama manusia..

Sejenak cuba memerhati dan memahami keadaan sekeliling pola umum kehidupan seseorang insan.

Ramai di kalangan kita yang ingin mencari pekerjaan yang stabil usai daripada zaman belajarnya. tidak kira pada tahap manamatkan pengajiannya sama ada di peringkat menengah, universiti mahu pun yang lebih tinggi. Pokok pangkalnya adalah demi mencari pekerjaan sebagai sumber rezki. Terpulang pada kemampuan dan keselesaan seseorang dan sebagai muslim adalah wajib bagi mencari sumber rezki yang halal.

Usai mengumpul  dan menyimpan sedikit keperluan untuk hidup, akhirnya akan menamatkan zaman bujang dan mula meneruskan hidup bersama pasangan bagi membina sesebuah institusi keluarga. Cuba membina delegasi dan warisan diri. Apa juga agama dan bangsa seseorang itu, ini merupakan fitrah umum bagi mereka yang bersifat manusiawi.

Kehidupan akan terus berjalan. Tanggungjawab akan terus bertambah bila mana usia terus meningkat. Sama ada dalam institusi kekeluargaan, dalam organisasi pekerjaan mahu pun dalam konteks yang lebih besar.

Akhirnya usia senja mula menjelma. Sedang diri terus di mamah usia, ketika itu anak-anak yang dahulu kecil kian dewasa. Sedang kudrat semakin lemah,bilangan ahli keluarga daripada anak-anak dan cucu-cicit akan terus bertambah.

Akhirnya bila sampai waktu kita pergi, kita akan kembali bertemu ILAHI. Umumnya di kala senja usia itulah ia datang menjelma. Tidak dinafikan saat melangkah pergi tidak mengira usia tua dan muda.

Termenung seketika..

 But What is Life

Tidak dinafikan bahawa bekalan untuk kehidupan mendatang perlu terus disediakan, namun masih lagi sedang mencari apakah pula kesempurnaan untuk kehidupan di sini.

Ada yang mengatakan bahawa kecukupan yang mencakupi keperluan dan kemahuan diri sudah mencukupi.

Ada yang beranggapan bahawa kesempurnaan telah dimiliki bila mana puncak kebahagiaan telah termetrai menerusi ikatan perkahwinan yang akhirnya membina sebuah institusi keluarga.

Ada yang berpendirian bahawa dengan memberi sumbangan dan kebaikan pada orang lain walaupun berbeza warna dan bahasa itu sudah mencukupi.

Dalam beberapa ketika itu semua adalah jawapan yang betul dan tidak dinafikan tentang kesannya.

 I am closer than yesterday

Namun diri ini masih tidak lagi bertemu jawapan yang dicari. Bukanlah kekayaan yang ingin dikumpulkan. Bukanlah pangkat yang ingin ditinggikan. Bukanlah nama yang ingin diagungkan. Bukanlah keluarga yang ingin diramaikan..

Kadang kala langkah kaki menjadi longlai, bundar mata menjadi layu, lapang dada menjadi sempit, tenang fikiran menjadi berkecamuk tentang apakah hakikatnya manfiestasi puncak kesempurnaan dan kebahagiaan hidup yang sedang di cari.

Lelah menjawab persoalan andai ada yang mengajukan pertanyaan.Letih mencari jawapan tentang apa yang dimahukan.

Hujung Akal Pangkal Agama

(Hamka)

ISLAM itu adalah pegangan dan pedoman hidup. Namun di celah-celah itu masih terdapat lagi persoalan demi persoalan yang terus mengelirukan. semakin cuba untuk mencari rasional kehidupan, semakin bertemu kebuntuan.

Semoga diri ini diberi kekuatan untuk terus mencari dan meneruskan kehidupan ini….

Melihat apa yang perlu dalam memilih yang terlebih dahulu perlu

Buat beberapa ketika aku duduk termenung
Bukan merungut apa yang telah berlaku
Tapi cuba untuk merenung apa yang mungkin berlaku
Cuba untuk merangka lakaran sejarah hidup
Membuat perancangan yang terbaik bagi diri
Menerima dengan hati terbuka apa yang direncanakan ILAHI

 

Perlukah aku …

Terus mengharapkan camar yang hilang kembali ke sarang walaupun dulu pernah merasai bagai kaca yang dihempas ke batu
Atau ingin mencari merpati putih di awanan walaupun mungkin aku seperti gagak hitam yang tidak ubah seperti bumi dan langit
Atau ingin memiliki cenderawasih yang indah dengan perhiasan untuk menjadi perhiasan dihadapanku nanti
Atau perlu mendidik burung kakak tua hingga ia petah berbicara untuk mengingatkan aku kelak
Atau hendak mengejar helang yang liar untuk dijinakkan agar tidak bisa didekati oleh yang lain
Mungkin sesuai menjaga murai untuk menjadi teman berbicara dan menjadi penduka lara bila keseorangan

 

Hakikatnya aku hanyalah seperti burung, mata memandang indah ke dunia luar, sedangkan badan tidak berganjak hanya berkurung

 

Perjalanan Perjuangan masih ada..
Menanti begitu panjang di hadapan sana
Sedang ada yang lebih utama
Biarkan seketika apa yang terlintas di benak kepala
Utamakan yang LEBIH UTAMA daripada yang UTAMA
kerna hidup ini dihiasi jutaan pilihan
dalam meneruskan langkah perjuangan.. 🙂