Category Archives: ~Coretan~

Kukuhkanlah pasakmu

Sedar atau tidak, ujian tetap menimpa sama ada di kala senang atau susah, di masa sehat atau sakit, di saat bahagia mahu pun derita. Hakikatnya kehidupan adalah medan ujian. Bagi yang mempercayai hari pembalasan walau pun berbeza kepercayaan tetalpi tetap akan memberikan kesan.

Kehidupan yang sepi tanpa ujian seakan terasa mendatar. Sunyi tanpa cabaran. Kadang kala dengan ujian akan lebih mematangkan, mungkin akan ada yang akan kecundang, mungkin ada yang akan terus berjuang.

Pokoknya ujian itu tetap datang menerjah, walau pun tanpa ditempah. Cumanya bagaimana respons dan tindak balas kita pada sesuatu ujian itu yang mungkin berubah dan mencorakkan siapa kita.

Ada yang diuji dengan penderitaan dan kesakitan, keperitan lagi kepayahan, kesengsaraan serta kehilangan; itu mungkin lebih memberikan kesan. Namun andai diberi pula dengan kesenangan dan kebahagiaan, kemewahan dihiasi pula dengan kekayaan, kecukupan serta kepuasan; itu mungkin ramai yang tidak perasan.

Bagaiman pula reaksi kita? Tepuklah dada muhasabahlah diri..

Agar yang dikurnia tidak menjadikan kita lebih SYUKUR, Bukannya kian KUFUR

 

Terhalangkah dia?

“Saya perasan ramai di antara pesakit di hospital kelihatan seolah-olah tidak mendirikan solat?”, soal Dr Ashraf.

“Mungkinkah dia solat tetapi kamu tidak perasan?”, getus Ahmad seperti mahu bersangka baik.

“Dah di tanya, tapi boleh pula dia menjawab tunggu esok la balutan di lengan ini di buka. Sekarang tidak sesuai la mahu bersolat.” Dr Ashraf mengulangi semula jawapan yang diajukan . Kedengaran seperti geram marahnya masih tidak kehabisan.

“Sepatutnya ketika sakit inilah perlu lebih dekat dengan TUHAN, lagi-lagi yang dah senja macam Pak Cik ni. Kalau tak nak tunggu sampai bila? Berbaur sedikit penyesalan kedengaran nada Pak Abu.

 

Sebahagian daripada panduan solat ketika sakit

Sebahagian daripada panduan solat ketika sakit

 

Pak Abu yang berkongsi banyak pengalaman dirinya sepanjang berada di hospital. Walau mencecah 80-an tetapi masih kelihatan gagah berjalan dan tidak jemu berkongsi pengalaman kepada mereka yang ingin gemar memulakan bicara.

“Nak cakap bagaimana Pak Abu? Kalau masa sehatnya sudah alpa dalam mendirikan solat. Masakan pula masa sakitnya solatnya akan menjaga tuannya?”, sinis tapi padu ujar Ahmad dengan tenang.

“Bukankah menjadi kewajipan kita harus menegur mereka menjaga solatnya?”, soal Dr Ashraf semula.

“Sudah semestinya. Tapi harus diingat Dr Ashraf. Dalam mahu menegur bukan sampai menghina. Perlukan adab sopan dalam menegur orang lain. Perkara ini memang sukar mahu diatasi, apatah lagi mahu diperhalusi. Khususnya orang yang lebih tua dari kita. Tanggungjawab tetap tidak berubah. Berilah nasihat secara sesuainya pada mereka. Jika mereka ada kepayahan bimbinglah mereka dengan rukhsah mendirikan solat. Saya lihat banyak info dan kemudahan yang telah disediakan oleh pihak hospital. Jika mereka masih lagi berkeras, lenturlah mereka dengan hikmah. Sekiranya mereka belum mampu menjaga solatnya sepanjang di hospital, setidaknya mereka sudah mula dapat mengenal perihal mereka yang mereka menjaga solat. Mudah-mudahan itu menjadi asbab hidayah padanya kelak.” Secara panjang dan jelas penjelasan dari Ahmad.

Sungguh hospital memberikan pentas yang luas pada mereka untuk memerhati dan mempelajari. Lihat sahajalah bagaimana reaksi mereka yang mendirikan solat. Sama ada di kalangan pesakit, jururawat, Doktor mahu pun pelawat pasti ada beda.

Bila mereka memelihara perhubungan dengan TUHAN, dapat terpancar terjalinnya mesra hubungan dengan insan.

 

HARAPAN TIDAK AKAN SIRNA

Orang yang sihat tidak akan dapat merasai betapa manisnya nikmat sihat. Hanya yang sakit sahajamenghargai betapa bahagianya sihat.

image

Saban hari itulah yang sering dinantikan oleh pesakit dalam wad rawatan harian. Perbualan yang sering menjadi buah mulut. “Sudah boleh pulangkah pada hari ini?”

Bermula dari pagi hingga ke petang, debarannya cuba di tunggu. Andai dibenarkan pulang, kegembiraannya begitu terpancar. Hingga memberikan kesannya pada mereka yang tinggal berdekatan dengannya. Andai terpaksa di tahan lagi semalaman, pasti hari esok tidak sabar untuk disambut datang. Walaupun keadaan kesihatannya masih belum begitu memberangsangkan dan perlu membuat rawatan susulan, namun kebenaran dibenarkan pulang walau mungkin sementara itu benar-benar memberi 1001 sinar harapan dan kebahagiaan.

image

Begitulah juga. Harapanlah yang terus membuatkan kita terus mengorak langlah. Andai semalam sudah terpadam, andai hari ini sudah menjelang malam, sedarlah esok masih lagi punyai harapan 🙂

 

Persediaan Kehidupan yang sering kita terlupa

Setiap insan mengimpikan sebuah masa depan yang bahagia walaupun mungkin tidak sempurna. Kerana bahagia dan sempurna adalah dua perkara yang sangat subjektif pentaksirannya bagi insan.

Namun ada juga di kalangan kita yang asyik terlena dengan kejayaan semalam. Tidaklah salah untuk mengambil inspirasi daripada kejayaan silam. Namun hidup ini bukanlah selamanya terus dibuai dalam lipatan semalam.

Janganlah kita terus hanyut dibuai dalam lipatan silam, kerana hidup pada hari ini adalah usaha untuk terus melakar kejayaan pada masa hadapan.

African Proverb

Persoalan Impian Masa Hadapan

Persoalan ini sering kali diajukan kepada segenap lapisan masyarakat. Sama ada ditanya kepada mereka yang masih lagi di bangku sekolah rendah hatta kepada mereka yang sudah bekerjaya. Pasti mereka akan memberikan jawapan yang pelbagai mengikut kematangan dalam berfikir.

Bahkan jika diimbas semula kepada diri masing-masing, pasti akan terkenang semula jawapan-jawapan yang pernah suatu masa dahulu kita berikan andai ada mereka yang mengajukan pertanyaan. Mungkin ada yang tersenyum sendirian, mungkin ada yang bermenung seorangan.

Lazimnya dalam tahap pendidikan mengikut pengkelasan peringkat pengajian, bermula daripada sekolah rendah, sekolah menengah, Institut Pengajian Tinggi bagi mereka yang berkemampuan dan berkelayakan bahkan sehingga ke alam pekerjaan, jawapan yang diberikan adalah berdasarkan apa yang kita impikan dalam masa yang terdekat.

Sebagai contoh murid sekolah rendah akan menjawab pertanyaaan ini bagi menjawab keperluan dan kemahuan dia pada tahap hidup selepasnya; iaitu bermula daripada sekolah menengah idaman sehinggalah kepada alam pekerjaan.

Jika dilontarkan persoalan pula kepada mereka yang berada di sekolah menengah, jawapan mereka akan meliputi kemahuan bagi mereka yang melanjutkan pelajaran kepada peringkat IPT atau pun mahu bekerja, mungkin ada juga yang mahu berkeluarga.

Begitulah seterusnya…

Ada impian yang kita dambakan yang kesampaian, namun ada juga yang hanya sekadar terus menjadi impian. Namun semua itu akhirnya menjadikan kita terus matang dalam meneruskan perjalanan kehidupan.

 Thanskful

Dalam satu perbualan yang santai di waktu pagi ketika bersama dengan beberapa orang rakan.

“Apa perancangan kamu selepas tamat belajar?” Soal Ahmad bagi memulakan bicara.

“Saya merancang mahu bekerja, mahu mengurangkan beban tanggungan keluarga.” Daud menjawab perlahan.

“Baguslah demikian. Sebab kamu adalah anak sulung, moga TUHAN permudahkan urusan kamu.” Ahmad cuba menyuntik kata semangat.

“Saya mahu menyambung pelajaran!” jawab Kamal dengan penuh keyakinan.

“Kamu mahu sambung dalam bidang apa?” Daud seakan berminat untuk tahu.

“Saya masih lagi mencari bidang yang betul-betul saya berminat untuk saya ceburkan diri.” Kamal cuba untuk menjelaskan.

“Sambung pengajian di peringkat seterusnya bukanlah suatu perkara yang mudah. Kamu harus kukuh dalam memasakkan niat dan melipatkaligandakan usaha, ramai senior saya memberikan nasihat demikian.” Ahmad cuba memberikan satu sisi pandang yang berbeza.

“Ya saya tahu, terima kasih kerana mengingatkan saya. Tolong doakan saya.” Kamal menjawab sambil terpancar sinar harapan dibalik senyumannya.

a-luncheon-time

“Selepas saya mendapat pekerjaan yang sesuai, saya mahu berkahwin dan membina rumah tangga bahagia!” Secara spontan Hafidz menjawab dengan penuh semangat.

“Baguslah jika demikian kerana kamu pun bertemu calon sesuai.” Ahmad memberikan komentar.

Hafidz tersenyum seakan tersipu malu.

“Selepas ada rumah tangga bahagia apa lagi yang kamu mahu?” Daud mula menyoal.

“Saya mahu kahwin lagi!” dengan selamba Hafidz menjawab sambil ketawa.

Jawapannya yang spontan itu membuatkan hampir semua orang yanga ada bersama turut tidak mengawal perasaan daripada turut tergelak sama.

“Sedarkah kamu bahawa apa yang kita kongsikan ini adalah sesuatu perkara yang berada di masa hadapan. Dan semua itu adalah sesuatu yang belum pasti?” Daud cuba untuk memulakan semula bicara selepas reda.

Mereka yang lain semua mengangguk tanda setuju.

“Apa yang kita impikan ini semua adalah belum pasti. Namun apa yang lebih pasti adalah suatu masa nanti kita pasti akan mati bertemu ILAHI.” Daud cuba untuk berkongsi rasa.

“Agama kita tidak larang untuk kita memiliki kejayaan dan impian pada masa hadapan. Carilah kejayaan kita sementara masih di sini namun jangan sampai kita terlupa untuk bekalan kita untuk menghadapi kematian kerana kematian itu adalah pasti.” Daud cuba untuk merasionalkan keadaan.

 

Soalan panik menjelang hari raya.

Menjelang hari raya tika bertemu sanak saudara. Ada yang akan bertanya tentang persoalan mengenai jodoh. Ada yang gemar menjadikan hal ini sebagai bahan usikan. Bahkan akan ada yang tersinggung hati andai mereka yang sudah keterlanjuran usia.

 Soalan Bocor Hari Raya

Hadapilah dengan cuba untuk berlapang dada. 

Andai ada jawapan yang rasional untuk menjawab kepada persoalan, maka jawablah dengan terancang bukan dengan emosional. Andai masih belum memiliki jawapan atau pun perancangan, maka cukuplah sekadar membalas sekuntum senyuman.

Andai jodoh tidak lagi kesampaian, sedarlah bahawa dalam hidup ini masih terlalu banyak lagi yang perlu kita kecapi dan nikmati. Jangan kerana ketidakmampuan kita memiliki jodoh, menghalang kita daripada memiliki kejayaan-kejayaan yang lain di dalam hidup.

Sungguh bukan jodoh yang tidak kunjung tiba yang aku gusarkan, namun kematian yang datan menjemput secara tiba-tiba itu yang lebih aku takutkan.

 Bagi yang telah berkahwin pula, pasti akan ada yang akan bertanya bilakah mahu memiliki anak.

Persoalan demi persoalan akan terus diajukan tentang  sebahagian soal kebahagaiaan dalam kehidupan, Kerana sifat manusia itu sendiri yang selalu suka bertanya. Kadang kala tidak semua persoalan itu perlu dijawab sebagaimana persoalan itu ditanya.

Sebelum mahu menjawab persoalan, cubalah untuk memikirkan terlebih dahulu tentang rasionalnya dan bagaimanakah cara yang paling rasional mahu menjawab persoalan.

Itulah sebenarnya yang berlaku saban hari.

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.

(al-Munafiqun: 11)

Dalam keasyikan kita untuk melakar masa hadapan yang bahagia dan sempurna khususnya mereka yang masih lagi berada dalam usia muda, namun jangan sampai terlupa untuk membuat persediaan dalam mendepani kematian.

 

Beribadah tetapi tiada ‘buah’

Pembelajaran adalah suatu proses yang berterusan. Tidak akan pernah berhenti hingga denyut nadi terhenti.

Kebolehan seseorang dalam mendalami sesuatu bidang pekerjaan akan bertambah seiring dengan kekerapan kita mengulangi sesuatu perbuatan umumnya. Dibantu dengan pelan tindakan yang betul dan sempurna. Disusuli dengan semangat yang tidak pernah luntur.

 practicenote

Analogi mudah, seorang atlet sukan  yang memiliki bakat semulajadi,  berlatih berbekalkan dengan semangat yang kental, diasah bakatnya oleh jurulatih yang luas pengetahuan kaya pengalaman, akhirnya dia akan mampu untuk berjaya menjadi seorang atlet yang berjaya dalam bidang yang di ceburi.

Dalam contoh yang lain, seorang tukang masak yang mahir di dapur lazimnya bermula dengan semangat untuk mencuba dan belajar yang tidak mudah luntur. Senantiasa mencuba pelbagai resipi dalam menyediakan juadah yang enak untuk dihidangkan.

Seorang doktor yang menghabiskan masanya bertahun-tahun lamanya dalam menelaah pengajiannya. Kemudian menempuh zaman praktikalnya (housemanship) untuk beberapa tempoh selepas itu akan merasakan kepayahan dalam peringkat awalnya. Setelah beberapa tahun bekerja dan berkecimpung dalam bidang yang sama, perkara yang menjadi routine baginya dahulu mencabar, kini telah menjadi mudah. Selepas berpuluh-puluh tahun ia akan mampu menjadi seorang doktor pakar.

Begitu jualah dalam pelbagai lagi ruang pekerjaan yang kita laksanakan.

Pengalaman yang diperoleh daripada proses yang berulangan akan menjadikan kita lebih matang dan lebih mahir dalam sesuatu bidang yang kita ceburi.

Itulah sunnah alam.

basketball

Pun dalam masa yang sama, proses pengulangan juga ada sisi pandang yang boleh bertukar daripada kelebihan menjadi kekurangan, secara tanpa sedar.

Timbul di benak hati mempersoalkan diri, sebagai Muslim ada ibadah fardhu yang wajib yang dilakukan secara berulang kali, sama ada dalam konteks seharian, tahunan atau pun sekali seumur hidup. Turut sama dicelah-celah itu turut disertakan dengan perbuatan yang sunat mahu pun harus dalam memenuhi keperluan tuntutan agama.

Kekerapan dalam mengulangi kewajipan yang sama akan boleh menjadikan kita melakukan sesuatu itu kerana perkara itu terasa sudah seperti adat, bukan kerana syariat yang punyai matlamat. Kita mungkin melakukannya kerana itu telah menjadi aktiviti seharian. Di pandu dengan subconcious mind atau pun minda bawah sedar dalam melengkapkan aktiviti seharian berpandukan biological clock.

Sering mempersoalkan diri; solat fardhu yang kita dirikan setiap hari, bersempena bulan Ramadhan yang sedang ditempuhi dengan ibadah puasa di siang hari, membaca al-Quran yang galak diperhebatkan tanpa mengira masa dan ketika, solat tarawikh yang dihidupakan pada malam hari, di tambah pula dengan tazkirah yang diberi dan pelbagai lagi amalan yang lain.

Sewajarnya selepas berulang-ulang kali mengulanginya sepanjang hayat hingga ke hari ini, seharusnya penghayatan pada  tahun semasa akan menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Sedangkan kita ada garis pandunya, sedangkan kita  miliki contoh qudwahnya, sedangkan wujud sumber rujukannya.

Pasti ada hikmah mengapa TUHAN perintahkan kepada kita untuk mengulanginya berulang kali..

 fasting_can-change-your-life

Namun terasa seperti sama sahaja. Seolah tiada beza. Seumpama tiada kesan daripadanya.

Walaupun saban tahun berulang kali diperingatkan kepada kita bahawa dengan berpuasa itu mudah-mudahan kita akan menjadi orang yang bertaqwa.

Lebih problematic lagi bila mana ada yang menilai kesan sesuatu amalan ditimbang dengan kesan perlakuan.

Ramadhan bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Masih sempat untuk kita untuk mengubah apa yang sudah terjadi. Menyesali apa yang sudah berlalu tidak memadai.

Bermula pada detik ini, jadikanlah keberkatan dan kerahmatan yang dilimpahkan dalam bulan  Ramadhan ini penuh penghayatan serta pengharapan. Agar hari semalam yang ditinggalkan menjadi pengajaran, hari ini yang dilalui adanya penambahbaikan, agar hari esok yang dirancang tidak mengulangi kesilapan silam. 🙂

Rapuh

Harapan seteguh tembok yang ku bina demi menempuh hidup,

Rupanya seperti serapuh tali bila badai datang menerjah,

Segagah pahlawan menuju medan perang bila ku melangkah ke hadapan,

Rupanya begitu pantas ku terkulai layu bila diduga di pertengahan perjalanan.

Sungguh bergelodak jiwa ragaku bagai Lautan Hindi dilanda taufan,

Sungguh hilang arah pandu bagai tersesat di tengah  Gurun Sahara membakar.

Menanti gelap malam menjelma mengundang keresahan disulami ketakutan,

Bagaikan tidak mahu bertemu malam dek kenangan kelam masa silam.

Terbit fajar menyinsing di ufuk Timur seakan seiring membawa sinar harapan,

Bagaikan hari ini bakal memadam segala sejarah hitam yang pernah cuba dihadam.

Selatan ke Utara ku meredah bumi terbentang luas,

Mencari sekelumit ketenangan, mengumpul segenggam kekuatan, mendamba secebis kebahagiaan,

Andai diri ini tidak bertemu dengan apa yang dimahukan,

Biarlah TUHAN menemukan dengan apa yang aku perlukan!

image

Mengejar cita-cita?

“Nanti dah besar kamu mahu jadi apa?” soal Cikgu Khadijah kepada muridnya dalam bilik darjah.

Abu dengan semangat menjawab, “Saya nak jadi Doktor cikgu!”

Ahmad pula tidak sabar menjawab, “Saya mahu jadi seorang arkitek cikgu.”

Tiba giliran seorang pelajar perempuan yang paling ramah dalam kelas menjawab, “Bila dah besar nanti saya mahu menjadi seorang pensyarah, cikgu.”

“Bila dah besar nanti saya mahu jadi bomba sebab boleh selamatkan ramai orang nanti”, kata Ali yang merupakan seorang pelajar yang aktif.

Begitulah sedikit coreten yang dapat di kenang semula situasi suatu masa dahulu ketika masih lagi berada dalam darjah dua. Situasi yang dalam kelas pada saat itu sungguh kecoh kerana masing-masing mahu memberi tahu pada rakan mereka tentang cita-cita mereka. Persoalan yang sama juga pernah diajukan semenjak kita berada di tadika lagi.

Setiap jawapan yang akan dijawab oleh murid adalah kerjaya yang diidamkan oleh mereka. Jika ditanya mengapa mereka bercita-cita mahu menjadi seperti itu maka jawapan yang diberi adalah sesuai dengan tahap umur dan kematangan mereka.

cita-cita 3
Tidak dinafikan dengan membangkitkan persoalan ini dalam kelas sedikit sebanyak dapat membangkitkan semangat dan motivasi kepada pelajar-pelajar untuk mereka lebih bersemangat.

Tidak pasti sama ada persoalan yang sama jika dilontarkan dalam bilik darjah pada hari ini apakah jawapan yang para pelajar akan berikan adalah sama seperti kita pada 10 tahun yang lalu. Mungkin mereka akan memberikan sebahagian jawapan yang berbeza kerana faktor persekitaran banyak mempengaruhi cara berfikir dan membuat sesuatu keputusan.

Tercapaikah cita-cita kita?

Mengimbau kembali kenangan yang masih segar.

Jika dahulu ramai yang bercita-cita ingin menjadi seseorang yang bekerjaya. Selepas puluhan tahun ada yang berjaya mencapai cita-cita mereka.

Banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaan mereka. Antaranya adalah kegigihan serta kesungguhan dalam menelaah ilmu, ditambah pula dengan pengaruh kewangan keluarga serta sokongan moral daripada ahli keluarga. Di samping juga beberapa faktor lain. Akhirnya mereka berjaya mencapai cita-cita.

Namun tidak dapat dinafikan di celah-celah itu ada yang telah kecundang dalam mengejar cita-cita. Pepatah ada menyebut, tuah ayam nampak di kaki Tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Mereka yang dibesarkan dalam golongan masyarakat bandar mungkin ramai di antara kenalannya berjaya menamatkan hingga ke peringkat sekolah menengah bahkan hingga ke IPT setidaknya.

Berbeza pula keadaan bagi mereka yang dahulunya dibesarkan dalam masyarakat kampung lazimnya. Pendedahan kepada peri pentingnya ilmu pengetahuan secara formal kurang diberi penekanan kepada anak-anak yang berada di bangku sekolah. Ditambah pula dengan faktor kekangan kewangan keluarga beserta faktor-faktor yang lain, ada yang berjaya menamatkan pengajian pada tahap sekolah menengah sahaja. Jangan pula terkejut jika ada yang tidak sampai ke tahap itu.

Janganlah dengan mudah dengan sewenangnya mengatakan bahawa mereka yang ini tidak mempunyai masa hadapan. Tahap pendidikan formal yang pernah diterima bukanlah faktor utama penentu kerjaya pada masa hadapan. Namun pendidikan pendidikan boleh menjadi salah satu faktor penyumbang kepada terbinanya kerjaya seseorang pada hari ini.

Bahkan ramai yang telah membuktikan pada hari ini yang lebih berjaya dari sudut kerjaya walaupun mereka tidak mencapai tahap pendidikan formal yang tinggi. Antaranya adalah mereka yang menceburkan dalam bidang perniagaan dan usahawan.

Mereka memulakan kerjaya dengan keringat titik-titik peluh mereka sendiri. Bermula daripada peringkat bawahan untuk berjaya. Cacian dan kejian daripada majikan pada mulanya itu sudah menjadi halwa telingaa. Namun itu tidak mematahkan semangatnya. Akhirnya dia berjaya! Bahkan kejayaannya (jika diukur dari aspek kewangan) lebih tinggi nilainya daripada mereka yang memiliki kerjaya selepas tamat pengajian di peringkat IPT. Tetapi jumlah mereka ini tidak ramai.

Dengan impian mungkin bakal merubah masa hadapan. Ada yang kesampaian, pun ada jua yang kecundang. Tidak mencapai apa yang diimpikan bukan bererti kita telah menemui kegagalan dalam hidup. Tidak juga setelah kita memperoleh apa yang kita hajati kita telah kesempurnaan mutlak dalam hidup.

sayingpictures.blogspot.com

 

Buntu memburu cita-cita

“Saya tidak tahu apakah masa hadapan saya dalam bidang pengajian ini?” Safuan mengadu dalam nada keciwa setelah menceritakan permasalahan yang mengganggu fikirannya.

“Kelihatan kamu dalam keadaan putus asa.” Balas Zaid mula kelihatan keliru.

Safuan menghadapi dilema dalam usaha untuk menyambung pengajiannya. Dia cuba meminta nasihat daripada Zaid, seorang rakan baiknya yang berbeza usia dan juga seorang penulis yang sedang mencipta nama di persada tanah air dalam bidang penulisan.

“Saya belum berputus asa sepenuhnya. Saya masih lagi mahu menyambung pengajian. Cumanya saya rasa tidak mampu untuk menamatkan pengajian saya dalam bidang sekarang ini.” Ada sedikit getaran dalam nada suara Safuan.

“Kelihatan kamu masih minat untuk menceburkan diri lagi  dalam bidang akademik tapi mahu menukar bidang pengajian? Begitukah?” Safuan pula menyoal.

“Begitulah sebenarnya Zaid. Apa pandangan kamu sebagai seorang lebih banyak pengalaman berbanding saya?” Safuan mahu meminta nasihat.

“Berbalik kepada tujuan dan matlamat asal kamu sebenarnya. Apa cita-cita kamu sebenarnya.” Zaid mula memberikan pandangan. Safuan cuba memahami mesej Zaid ini.

“Kamu sudah mempunyai degree dalam bidang pendidikan. Kamu sudah boleh menjadi cikgu andai kamu mahu. Tetapi kamu memilih untuk sambung belajar bukan?” Zaid bercerita mengenai kejayaan Safuan.

Safuan mengagguk tanda setuju.

“Walau apa pun yang awak mahu pilih kerjaya dan masa hadapan awak, pokok pentingnya awak sendiri kena jelas apa matlamat dan cita-cita awak. Bila sudah jelas apa matlamat awak. Kemudian baru mudah untuk awak untuk membuat pilihan dan mengatur langkah. Walau apa pun yang terjadi kemudian, jika misi dan visi hidup awak jelas walaupun banyak dugaan yang mendatang, saya pasti kamu akan tetap teruskan perjuangan untuk penuhi visi dan misi hidup kamu.” Zaid cuba memberikan gambaran big picture kehidupan kepada Zaid.

“Itu bukan suatu perkara yang mudahkan Zaid?” Soal Safuan.

Zaid terdiam dan mengagguk perlahan.

“Saya sendiri sebenarnya masih lagi tercari-cari apakah cita-cita sebenar yang saya ingin capai dalam hidup ini.” Zaid menyatakan sambil tersenyum kemudian.

“Jika Safuan ingat, persoalan yang sama jugalah pernah saya tanya pada Safuan usai Safuan berjaya menamatkan degree sebelum menyambung pengajian dalam bidang ijazahkan?” Zaid cuba mengingati kembali.

“Betul tu Zaid.” Safuan tersenyum sambil mengangguk-angguk.

“Ini Cuma berdasarkan pendapat saya, jika kamu terima atau tidak terpulanglah Safuan.” Kata Zaid. Begitulah dia biasanya akan cuba untuk memberikan ruang untuk seseorang berfikir dan membuat keputusan.

true-friends

“Sebagai seorang MUSLIM, kejarlah apa sahaja cita-cita yang kita impikan. Tetapi jangan lupa untuk penuhi tujuan asal kita dihidupkan.” Zaid berbicara lebih lanjut.

“Kebahagiaan kita di sini mahu kita cari, namun bekalan dan keperluan kita untuk di sana jangan pernah diabaikan. Saya cakap begini sebenarnya adalah peringatan pada diri saya sendiri juga.” Zaid cuba untuk memuhasabah dirinya sendiri.

Walaupun Zaid sudah mula melakar nama dalam persada tanah air dalam bidang penulisan, kerana dia merupakan graduan pelajar syariah dari Jordan dia tidak pernah lupa untuk mengingatkan siapa sahaja yang dikenalinya tentang peri pentingnya meletakkan agama sebagai kompas kehidupan. Itulah amanah yang telah diakurjanjikan sebelum ditauliahkan sebagai graduasi syariah. Agar ilmu agama itu terus dikembangluaskan.

“Pesanan saya carilah apakah cita-cita kamu yang sebenar. Kemudian tetapkan pendirian, jangan pernah untuk toleh kebelakang. Teruskan perjuangan kamu!” Zaid meniupkan kata-kata semangat.

 

Teruskanlah mengejar cita-cita kita!

Jika dahulu di alam persekolahan, jawapan yang diberikan pelbagai.

Namun kini, persoalan yang sama dibangkitkan semula, jawapan kita mungkin tidak sama macam dahulu.

Who am I

Carilah semula apakah cita-cita yang kita impikan. Pasakkanlah azam yang tinggi dalam mengajar cita-cita. Semoga kita tidak akan pernah kecundang dalam mengejar apa yang dicitakan. Terlebih pentingnya supaya kita tidak pernah gagal dalam mencari makna dan keperluan kehidupan, untuk disini dan pada masa akan datang.

Harapan

Terlalu banyak ceritera yang berlaku dalam sepanjang kehidupan. Ada yang terlalu indah untuk dikongsikan, ada pula yang terlalu hiba hingga takut untuk diceritakan.

Berbeza alam berbeza hidupan. Berbeza insan berbeza pengalaman dan perjalanan kehidupan.

Ragam manusia yang pelbagai. Ada yang hanya memilih untuk menempuh jalan kehidupan yang biasa sahaja kerana mungkin terlalu trauma terhadap atas apa yang pernah menimpa, atau mungkin itu sudah menjadi sebahagian dirinya. Ada yang gemar dan tabah menempuh liku-liku kehidupan yang mencabar kerna itu bisa menjadikan mereka menjadi lebih matang, walaupun sudah berkali-kali ia hampir tergelincir menemui kegagalan dalam hidup. Ada yang pada sesuatu ketika ia kelihatan mengundur selangkah ke belakang untuk mengorak lebih maju dan laju ke hadapan kelak. Ragam kehidupan yang pelbagai mencerminkan tindakan dan perbuatan manusia juga yang pelbagai.

What lies within us is most important

Ada yang mampu dinukilkan untuk menjadi sebuah novel untuk dijadikan  sumber bacaan, ada yang hanya disampaikan melalui penceritaan sama ada menerusi corong radio mahu pun perbualan santai, ada juga yang dapat dilakonkan semula untuk lebih memberikan kesan. Sungguh diri ini sangat terkesan bila mana menonton filem yang menyampaikan mesej harapan. Setidaknya ada yang mampu dicoretkan dalam sebuah tulisan ringkas seperti artikel atau pun cerpen hanya sekadar mahu berkongsi. Mungkin juga ada yang hanya disimpan sebagai cerita peribadi.

Terpulanglah kepada seseorang itu bagaimanakah ia mahu berkongsi mengikut keselesaan. Selagi mana dirasakan perkara itu wajar dikongsikan dan boleh mendapat sesuatu pengajaran mengapa tidak ia dikongsikan?

Agar mungkin sesuatu kesilapan yang pernah kita lakukan tidak akan berulang semula pada orang yang lain. Setidaknya dengan bercerita akan dapat mengurangkan beban penderitaan yang melanda. Kerana kita adalah manusia yang ada rasa mahu mencari simpati secara semulajadi. Kerana kita adalah manusia yang tidak pernah terlepas daripada ujian.

Walaupun seorang perempuan itu lebih gemar untuk bercerita disamping cuba mencari perhatian, berbeza dengan lelaki yang pula sebaliknya lebih memilih untuk memendam. Namun setidaknya kita punyai TUHAN yang tidak pernah jemu untuk mendegar rintihan, walau kita sering kali kelihatan terlupa akanNYA. TUHAN yang sering memberi lebih daripada apa yang kita pinta.

Kepercayaan   →   Kekuatan  →   Harapan

Dengan berpaksikan kepercayaan, akan mula membantu kita untuk mencari kekuatan. Degan adanya kekuatan yang akan terus kita membina harapan.

Jika dalam perkara asas dalam kehidupan sebagai seorang muslim, dengan berbekalkan kepercayaan (keimanan) akan memberikan mereka kekuatan untuk membuat perkara-perkara kebaikan. Setelah kekuatan kian menebel akhirnya terbinalah harapan untuk mereka meneruskan perjuangan terhadap apa yang mereka percaya, harapan untuk peroleh kejayaan bukan hanya sekadar di sini semata-mata.

Begitu jualah dengan kehidupan.

Pasakkanlah kepercayaan bahawa kehidupan ini masih ada sesuatu yang sangat berharga untuk diteruskan dan diperjuangkan. Kemudian kekuatan akan mula terbina setelah pasak kepercayaan itu kian utuh. Akhirnya harapan akan terus menyubur untuk kita meneruskan kehidupan, walaupun seakan-akan kehidupan itu penuh dengan ujian.

 Keep moving

Apa yang masih dicari?

Melihat keadaan kehidupan di sekeliling. Memerhati sambil merenung diri.

Pelbagai persoalan cuba ditimbulkan. Semakin banyak persoalan yang sukar dirungkaikan. Cuba untuk mentafsir apakah yang dimaksudkan dengan kesempurnaan dan matlamat dalam hidup yang dicari. Berbeza insan berlainan tujuan. Betapa uniknya seorang makhluk yang bernama manusia..

Sejenak cuba memerhati dan memahami keadaan sekeliling pola umum kehidupan seseorang insan.

Ramai di kalangan kita yang ingin mencari pekerjaan yang stabil usai daripada zaman belajarnya. tidak kira pada tahap manamatkan pengajiannya sama ada di peringkat menengah, universiti mahu pun yang lebih tinggi. Pokok pangkalnya adalah demi mencari pekerjaan sebagai sumber rezki. Terpulang pada kemampuan dan keselesaan seseorang dan sebagai muslim adalah wajib bagi mencari sumber rezki yang halal.

Usai mengumpul  dan menyimpan sedikit keperluan untuk hidup, akhirnya akan menamatkan zaman bujang dan mula meneruskan hidup bersama pasangan bagi membina sesebuah institusi keluarga. Cuba membina delegasi dan warisan diri. Apa juga agama dan bangsa seseorang itu, ini merupakan fitrah umum bagi mereka yang bersifat manusiawi.

Kehidupan akan terus berjalan. Tanggungjawab akan terus bertambah bila mana usia terus meningkat. Sama ada dalam institusi kekeluargaan, dalam organisasi pekerjaan mahu pun dalam konteks yang lebih besar.

Akhirnya usia senja mula menjelma. Sedang diri terus di mamah usia, ketika itu anak-anak yang dahulu kecil kian dewasa. Sedang kudrat semakin lemah,bilangan ahli keluarga daripada anak-anak dan cucu-cicit akan terus bertambah.

Akhirnya bila sampai waktu kita pergi, kita akan kembali bertemu ILAHI. Umumnya di kala senja usia itulah ia datang menjelma. Tidak dinafikan saat melangkah pergi tidak mengira usia tua dan muda.

Termenung seketika..

 But What is Life

Tidak dinafikan bahawa bekalan untuk kehidupan mendatang perlu terus disediakan, namun masih lagi sedang mencari apakah pula kesempurnaan untuk kehidupan di sini.

Ada yang mengatakan bahawa kecukupan yang mencakupi keperluan dan kemahuan diri sudah mencukupi.

Ada yang beranggapan bahawa kesempurnaan telah dimiliki bila mana puncak kebahagiaan telah termetrai menerusi ikatan perkahwinan yang akhirnya membina sebuah institusi keluarga.

Ada yang berpendirian bahawa dengan memberi sumbangan dan kebaikan pada orang lain walaupun berbeza warna dan bahasa itu sudah mencukupi.

Dalam beberapa ketika itu semua adalah jawapan yang betul dan tidak dinafikan tentang kesannya.

 I am closer than yesterday

Namun diri ini masih tidak lagi bertemu jawapan yang dicari. Bukanlah kekayaan yang ingin dikumpulkan. Bukanlah pangkat yang ingin ditinggikan. Bukanlah nama yang ingin diagungkan. Bukanlah keluarga yang ingin diramaikan..

Kadang kala langkah kaki menjadi longlai, bundar mata menjadi layu, lapang dada menjadi sempit, tenang fikiran menjadi berkecamuk tentang apakah hakikatnya manfiestasi puncak kesempurnaan dan kebahagiaan hidup yang sedang di cari.

Lelah menjawab persoalan andai ada yang mengajukan pertanyaan.Letih mencari jawapan tentang apa yang dimahukan.

Hujung Akal Pangkal Agama

(Hamka)

ISLAM itu adalah pegangan dan pedoman hidup. Namun di celah-celah itu masih terdapat lagi persoalan demi persoalan yang terus mengelirukan. semakin cuba untuk mencari rasional kehidupan, semakin bertemu kebuntuan.

Semoga diri ini diberi kekuatan untuk terus mencari dan meneruskan kehidupan ini….

Nilai sebuah Harga Diri

Kelihatan seorang yang segak bergaya bertubuh sasa dengan pakaian yang berjenama sambil menelaah sesuatu di paparan smartphone menjadi tarikan khususnya di kalangan anak gadis..

Terlintas seorang gadis yang berwajah ayu dengan penampilan yang kelihatan casual sambil berceloteh bersama rakan disisinya membuatkan pandangan si remaja lelaki terpana seketika.

Terlihat  seorang menaiki kenderaan mewah meluncur laju di kota hingga dia tiba ke destinasinya di tengah ibu kota membuatkan mereka yang berada di kawasan berdekatan tertunggu-tertunggu siapakah yang akan keluar kenderaan berkenaan.

Saban waktu memerhatikan kehadiran seseorang yang asyik menjamu selera sama ada di kala kesibukan waktu bekerja mahu pun sambil menikmati waktu rehat di sebelah malam di tempat yang exclusive bukan sahaja lokasi tetapi pada menu hidangannya mampu membuatkan seseorang itu terngiur.

i-Phone more precious

Sebahagian daripada fenomena seharian yang biasa dapat kita perhatikan..

 

Realiti Harga Diri

Setiap era peralihan zaman mempunyai penilaian ketinggian harga diri yang berbeza. Berbeza zaman, berbeza penilaian. Umumnya apa yang menjadikan seseorang itu di pandang tinggi adalah berdasarkan apa yang boleh diinterpretasikan daripada aspek luaran. Yang mampu dinilai dengan pancaindera itulah yang itulah menarik perhatian dan memberi penilaian.

Zaman masa kini umumnya meletakkan penilaian yang  tinggi terhadap sesuatu perkara yang bersifat fizikal; sama ada dalam bentuk rupa paras, material,  pangkat dan seumpamanya.

Masyarakat kita mempunyai perspektif yang tersendiri dalam mencari identiti  bagi menaikkan harga diri. Begitu juga dengan masyarakat dan tempat lain. Bermula daripada sebesar perkara hinggalah kepada sekecil-kecil perkara termausklah dalam soal bahasa bual bicara negara yang maju akan dijadikan sebagai trend bagi kita.

Sama ada yang bersifat positif atau pun sebaliknya. Sama ada yang selari dengan atau pun yang bertentangan dengan budaya. Sama ada nilai yang diterima dalam agama mahu pun yang berlawanan dengan nurani agama. Antara yang menjadi medium penyebaran utama adalah arus media.

 

Harga diri Barat vs Harga Islam

Berpaksikan kepada jati diri seorang Muslim, tidak semua yang berasal daripada negara Barat yang lazimnya jauh lebih maju dan ke depan boleh diterima secara bulat-bulat. Tidak pula boleh ditolak secara mentah-mentah.

Agama yang didirikan dengan nilaian murni seharusnya menjadikan seseorang individu muslim itu tidak mudah hanyut bersama arus perkembangan semasa yang tidak memberikan faedah apatah lagi yang mampu mendatangkan mudarat.

Bila berbicara mengenai harga diri sebagai seorang Muslim, mungkin ramai yang terbawa-bawa bersama zaman kegemilangan tamadun Islam berserta dengan pembawaan identiti harga diri seorang muslim. Hakikatnya realiti pada hari ini tamadun Islam bukan lagi berada di era kegemilangan.

Lebih mendukacitakan lagi, runtuhnya tamadun Turki Uthmaniyyah, telah meruntuhkan bersama jati diri dan maruah ramai di kalangan Muslim. Sukar untuk bangkit dan membina identiti semula!

Lebih memilukan lagi pada hari ini, agama Islam menjadi sering kali ditohmah dan menjadi sasaran dalam banyak perkara. Bukanlah kerana kekuatan yang ada pada mereka yang bukan Islam sebagai ancaman, tetapi adalah peribadi dan jati diri umat Islam sendiri yang menjatuhkan maruah agama yang kita anuti. Peringatan untuk diri sendiri…

 

Ukuran Maruah Diri?

Ada yang mahu berbelanja kos tinggi bagi mendapatkan bentuk badan yang ideal lagi menarik. Si teruna mahu membina dan menampakkan otot. Si dara pula mahu menguruskan dan melentikkan susuk tubuh. Nilaian wang ringgit tidak diendah demi membeli pelbagai supplement dan makanan tambahan. Bahkan jika tidak cukup pembedahan plastik juga turut menjadi pilihan.

Ada pula yang meninggi diri kerana memliki suara yang merdu dan lunak. Jika dalam industri yang melibatkan keagamaan, maka nasyid menjadi pentas untuk menonjolkan diri. Manakala jika meminati industri muzik pula, pelbagai bentuk rancangan realiti cuba diceburi bagi mencari populariti.

Ada yang sanggup kelihatan bergaya walaupun menjadi papa. Ada yang mahu kelihatan  ‘senang’ walaupun terpaksa menanggung beban hutang. Mereka yang lebih bertuah bila mana dibesarkan dalam kalangan keluarga yang memiliki keistimewaan sama ada dalam bentuk harta dan duit, pangkat dan kerabat turut terpalit dan menumpang  sama.

Ada yang menuntut ilmu hingga ke peringkat tinggi demi gelaran. Seronok digelar ustaz dan ustazah jika bidang agama yang didalami. Berbangga pula jika mendapat gelaran Dr. jika berkesempatan menamatkan pengajian sehingga ke pringkat PhD. Mendabik dada pula jika telah dilantik menjadi consultant dalam bidang yang tertentu kerana memiliki pengalaman dan kejayaan yang menggunung tinggi.

Umumnya segala apa yang mampu dinilai dengan pancaindera dan mendatangkan kemegahan beserta kemewahan dalam bentuk yang digemari oleh penilaian masyarakat setempat itulah yang menjadi kayu ukur bagi maruah harga diri seseorang.

 Self-love

Manifestasi sebuah Harga Diri

Nilai ketinggian harga diri merupakan perkara yang menjadi ukuran penting bagi seseorang individu. Bahkan bukan hanya kepada individu, tetapi dalam skala yang lebih besar termasuklah masyarakat, bangsa dan negara. Pun demikian, sebelum meneruskan dalam skala yang lebih besar, penilaian ini seharusnya perlu kembali berpaksi kepada seseorang individu yang menjadi tunggak dan tunjang dalam pembentukan sesebuah sistem yang lebih besar.

Hakikatnya ISLAM bukanlah sebuah agama yang mahu melihat penganutnya yang merendah diri tidak bertempat. Kemuliaan dan ketinggian maruah diri seseorang muslim itu adalah terletak pada ketinggian akhlaknya dan imannya.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

(al-Ahzab; 21)

Manakala apa yang dipandang tinggi pada penilaian manusia pula ISLAM tidak melarang untuk kita memilikinya. Bahkan digalakkan untuk kita untuk memilikinya tetapi  dalam masa yang sama tidak pula menjadikan kita sebagai seseorang yang berbangga dan meninggi diri. Selagi mana paksi Iman yang kukuh dan akhlak yang mulia dijadikan pegangan, maka perkara-perkara yang selain itu tidak akan mudah menghanyutkan kita.

 never sacrifice this

Istimewanya Bangsa Arab

Bangsa Arab terpilih  sebagai bangsa pertama untuk menerima dan menyampaikan  ajaran ISLAM berbanding bangsa yang lain. Di antara hikmahnya mengapa bangsa Arab terpilih antaranya termasuklah kerana lokasi geografinya yang bebas daripada cengkaman pengaruh tamadun kuasa besar dunia pada masa itu.

Selain itu, bangsa Arab turut  memiliki karakter yang kuat dalam mempertahankan harga diri dan maruah bangsa mereka hingga sanggup bangkit dan melawan walaupun terpaksa menumpahkan darah.

Walaupun pada ketika mereka belum lagi menerima sinar hidayah ISLAM perkara ini mampu memecahbelahkan dan memporak-perandakan masyarakat. Namun setelah disinari dengan cahaya Iman dan hidayah, perkara ini akan memberikan kesan yang besar kepada penyebaran ISLAM khususnya di zaman awal penyebaran ISLAM.

“Jika kamu menjadi seseorang yang ada pendapat, kamu perlu menjadi seseornag yang ada pendirian. Sesebuah pendapat yang baik akan menjadi punah dan musnah bila mana kamu menjadi seseorang yang berbelah bagi”

(Abu Thayyib al-Mutanabbi)

Pegangan Harga Diri Kita

Janganlah kita menjadi salah seorang yang turut menconteng arang kepada agama yang kita pegangi, lebih-lebih lagi ketika saat ISLAM dipandang rendah. Cari dan binalah harga maruah diri yang bertunjangkan kepada paksi akidah yang membuahkan akhlak yang sempurna. Walaupun pada zahirnya mungkin kita dikelilingi dengan kelemahan dan kekurangan. Namun andai kita memiliki ketinggian budi pekerti itu pun sudah mampu membentuk kita menjadi seseorang yang mulia bukannya hina.

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta”

(al-An’aam; 116)

Besar diri

Bertindak sebelum terlambat

“Umur dah meningkat, apa perancangan hidup tahun depan?” soal saya kepada Muaz.

“Ingat sudah ada rezki lebih sikit nak buka business kecil-kecilan.” Jawab Muaz dengan jujur.

“Kenapa mahu membuka business?” Sedikit kehairanan kerana Muaz merupakan graduan perundangan.

“Kos sara hidup makin meningkat, desakan kewangan semakin memuncak, kalau sekadar nak harapkan makan gaji bukan tidak cukup, tetapi tidak dapat pergi jauh untuk aku terus infaq kan rezki”. Muaz menjawab dengan jujur.

“Bagus la kalau begitu.” Saya sedikit terpegun dengan jawapan Muaz.

Muaz sangat bergiat aktif dalam membantu dan menggerakkan beberapa NGO dan badan amal. Sangat kagum dengan beliau kerana terus istiqamah menyumbang untuk badan amal walaupun dia dibesarkan dalam hidup yang agak mewah.

Helping-Hand

Melangkah masuk minggu terakhir dalam tahun 2013, menanti kehadiran tahun 2014 yang penuh dengan cabaran. Bukan sekadar dugaan kos sara hidup yang kian melambung tinggi, bertambah-tambah lagi dengan keserabutan dalam masalah sosial dan akhlak dalam masyarakat yang semakin memeningkan!

Kesibukan dalam mencari harta dan wang ringgit kadang-kadang mendorong kita sehingga terlupa untuk membuat bekalan dan persiapan dalam menghadapi kehidupan selepas kematian.

Ketika menghadiri dalam sebuah slot perkongsian yang dalam sebuah seminar Celik Famili anjuran as-sohwah production, perkongsian daripada salah seorang  Panel,  Dato’ Seri Syed Zainal (Pengarah Urusan (CEO) syarikat nasional Malaysia. Proton Holdings Bhd (2006-2012)):

“Apa yang akan abang tinggalkan pada isteri dan anak-anak andai ditakdirkan mati pada hari esok?” Soal isterinya..

Beliau terdiam tanpa jawapan tanpa jawapan.

Ini adalah dalam konteks bekalan keagamaan untuk keluarganya.

Perkongsian yang beliau sampaikan begitu tulus hingga membuatkan diri ini terasa sebak bersama para penonton yang lain.

 Seminar celik famili

Keperluan & Kebahagiaan Hidup

ISLAM tidak melarang umatnya untuk agar meninggalkan dunia semata-mata untuk mengejar akhirat. Begitu juga sebaliknya. . Hakikatnya ISLAM menyarankan kepada penganutnya agar keperluan kehidupan bagi di dunia dan di akhirat dipenuhi dengan sebaiknya.

Menjelang tahun mendatang kos sara kehidupan kian meningkat. Pun demikian jangalah sampai dilekakan kita sehingga untuk turut membuat bekalan bersama selepas kematian. Imam al-Ghazali ada menyatakan bahawa Dunia adalah Ladang bagi akhirat.

al-qasas; 77

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia…

(al-Qasas: 77)

Muslim graveyard in snow

“Apabila Anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka terputuslah semua (pahala) amal perbuatannya kecuali 3 macam perbuatan iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”

(riwayat Muslim)

Sering kali kita diperingatkan tentang perkara ini. Sudah ramai yang sudah tahu bahkan sudah menghafal maksud hadith ini. Pun demikian, dalam masa yang sama jangan kita terlupa bahawa amalan soleh yang boleh menjadi bekalan untuk selepas kematian, perkara yang sebaliknya juga boleh berlaku. Amalan yang tidak soleh juga boleh menjadi antara sumbangan yang berpanjangan sumbangannya selepas kematian.

Jika ilmu yang tidak bermanfaat, bahkan yang memudaratkan itu pun sudah menjadi sumbangan kepada bekalan kehidupan mendatang.

Jika sedekah jariah yang tidak berfaedah, bahkan yang menyesatkan itu pun sudah menjadi bekalan yang akan menyusahkan kita kehidupan yang lain kelak.

Jika anak yang tidak soleh bahkan berlaku yang sebaliknya, itu turut akan menambahkan azab pada diri kita pada kehidupan di masa depan.

Tidak perlu kita sibuk untuk menuding jari mencari kesilapan orang lain, meninggi diri membanggakan jasa dan sumabangan sendiri, tetapi terlebih elok dan molek jika kita bermuhasabah diri.

Jika ada keterlanjuran yang sebelum ini tidak disengajakan, maka pohonlah keampunan dan bertaubat kepadaNYA. Mulakan azam tahun baru yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi sebagai sebuah kehidupan yang baru dengan azam yang baru.

Jika sudah ada kebaikan yang pernah dilakukan yang dapat dijadikan aset pada kehidupan mendatang, maka janganlah pula mendabik dada membangga diri. Mohonlah kekuatan dan pertolongan agar mampu untuk berterusan dan berpanjangan dalam membuat kebaikan.

Dont put off for tomorrow what you can do today

Mahu menunggu anak yang soleh?

Ramai yang mengimpikan untuk memiliki anak yang soleh untuk dijadikan sebagai salah satu aset untuk kehidupan. Perkara ini teramat bagus. Namun dalam mengimpikan anak yang soleh sebagai bekalan, jangan dilupakan bekalan yang lain.

Berapa ramai yang sudah mendirikan rumah tangga tetapi masih belum lagi dikurniakan cahaya mata? Berapa ramai yang sudah memiliki anak-anak tetapi belum mampu memastikan menjadikan anak-anak mereka sebagai anak-anak yang soleh? Berapa ramai yang mampu menjadikan diri mereka sebagai anak-anak yang soleh kepada ibu bapa mereka?

Jangan sampai mengharap dan menunggu anak yang soleh sehingga kita mengabaikan kemampuan kita yang lain. Menyumbang dan bergeraklah di atas kapasiti sendiri yang kita termampu.

Mahu menunggu menjadi hartawan?

Tidak perlu menunggu menjadi hartawan untuk kita menyumbang dan berbakti sebagai langkah untuk memberikan sedeqah jariah.

Sedeqahkanlah sebahagian daripada kelebihan rezki yang kita ada pada orang lain. Jika tidak mampu untuk memberi dalam bentuk wang ringgit, memeberilah dalam bentuk yang lain. Jangan kita menyempitkan pemahaman kita bahawa sedeqah itu hanya dalam bentuk wang ringgit. Sebaliknya konsep yang digariskan dalam agama kita adalah sangat luas.

Mahu menunggu menjadi ustaz?

Tidak perlu menunggu untuk menjadi ilmuan agung untuk kita berkongsi ilmu yang bermanfaat pada orang lain.

Pun demikian sebagai seorang pendakwah sewajarnya mereka perlu lebih berhati-hati. Mereka perlu menyeimbangkan antara keseimbangan dalam mencari ilmu pengetahuan dan berdakwah. Mereka perlu untuk membekalkan diri mereka dengan ilmu terlebih dahulu sebelum berkongsi. Jika terlalu berdakwah tanpa ditambah dengan pengisian ilmu akhirnya sampai suatu ketika jiwa mereka akan berasa kekosongan. Luaskanlah dalam memperolehi pengetahuan pada hari ini, sama ada melalui pembacaan, pendengaran dan apa sahaja medium yang bersesuaian agar tidak menjadi pendakwah yang jumud dan ketinggalan zaman.

Pendakwah bukanlah khusus kepada tanggungjawab ustaz dan ustazah. Pendakwah bukanlah tertumpu kepada golongan yang berserban besar dan bertudung labuh. Pendakwah bukanlah khas kepada golongan islamis semata. Tetapi tugas untuk berdakwah adalah terletak di atas bahu dan tanggungjawab setiap diri yang bergelar sebagai MUSLIM.

Life is a journey

Semoga meningkatnya usia kita hingga menjejakkan kaki pada tahun baru ini selaras dengan bertambahnya bekalan kita. Bukan hanya sekadar bekalan di sini, tetapi turut tidak dilupakan adalah bekalan kita di sana. 🙂

Paradox kehidupan

Dilema seorang kanak-kanak hinggalah ia menuju ke alam dewasa..

Paradox life

Ketika masih di sekolah rendah ustaz dan ustazah bagi tahu dalam kelas, aurat bagi seorang lelaki adalah antara pusat hingga lutut, untuk seorang perempuan pula semua anggota tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.

Tapi bila di luar sekolah lain pula ceritanya…

Ayah dan adik beradik lelaki kadang dengan slumbernya memakai seluar pendek. Ibu dan adik beradik perempuan pula biasanya hanya berbaju biasa bersama T-shirt pendek dan tudung serempang..

K.E.L.I.R.U.

Sementara itu suasana di rumah pula ibu dan ayah mengajar dan mendidik anak-anaknya untuk mendirikan solat 5 waktu sehari semalam sebagai tiang agama. Muqaddam juga minta di khatam sebelum boleh membaca al-Quran. Jika ibu dan bapa tidak berkesempatan mengajar mengaji, maka akan di hantar kepada mana-mana kelas mengaji. Katanya al-Quran wajib dibaca setiap hari untuk menjadi panduan hidup.

Sebaliknya dalam keadaan kehidupan sebenar lain pula…

Jarang sekali kelihatan ayah dan ibu mendirikan solat pada waktunya. Cuma jelas kelihatan si ayah akan ke masjid atau surau untuk mendirikan solat sunat hari raya setahun dua kali setahun dengan segak berbaju raya. Ibu pula tidak berkesempatan kelihatan mendirikan solat di rumah kerana keluar kerja pagi balik menjelang malam. Al-Quran pula seolah-olah kelihatan tidak pernah diselak. Hanya surah Yaasin yang kerap dibaca dalam majlis keramaian, sama ada kenduri doa selamat, menghadapi peperiksaan anak atau pun kematian.

K.E.L.I.R.U.

Ketika meningkat usia melangkah masuk ke sekolah menengah cikgu-cikgu melarang untuk merokok khususnya dalam kawasan sekolah; “merokok membahayakan kesihatan” tagline yang biasa disebut dan diulang. Dalam subjek sejarah biasanya pula akan dinyatakan bahawa Raja merupakan seorang ketua agama, manakala bagi negeri yang tidak mempunyai raja pula Yang Di-Pertuan Agung pula menjadi Ketua Agama.

Tetapi dalam keadaan realiti lain pula kisahnya..

Guru-guru lelaki sendiri dalam keadaan tertentu dalam sekolah sendiri merokok secara berjemaah. Kadang-kadang tanpa perasaan segan pun membiarkan murid-muridnya melihat. Di rumah pula ramai kelihatan ahli keluarga yang merokok. Manakala dalam isnstitusi raja sendiri, kelihatan keadaan isteri mereka sendiri ada sebahagiannya gagal untuk memakai tudung, apatah lagi menutup aurat.

K.E.L.I.R.U.

Ketika menuntut di IPT dalam peringkat yang lebih tinggi pula, di ajar dalam budaya bekerja sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan kelak supaya bekerja mengikuti dan menepati jadual masa bekerja. Manakala PM tersayang pula selalu berpesan kepada rakyat jelatanya supaya berjimat-cermat dalam menguruskan kewangan kerana kos sara hidup semakin tinggi dek kenaikan harga barang yang melambung tinggi. PM juga berbangga menyebut dan menyatakan bahawa negara kita juga adalah contoh negara ISLAM.

Tetapi dalam kehidupan yang dilalui saban hari lain pula yang berlaku…

Kelihatan ada ramai di kalangan staf IPT yang tidak bekerja menepati masa. Pensyarah yang sering terlewat dalam menghadiri kelas. Staf yang minum pagi di kedai kopi hingga berjam-jam lamanya. Sedang PM berpesan kepada rakyatnya berjimat-cermat amalan mulia kelihatan terpampang di dada akhbar kos hidup saban hari kehidupan PM mencecah jutaan ringgit meliputi kos  pembiayaan bil, isterinya yang aktif dengan julangan 1st Lady. Sedangkan jelas kelihatan dalam institusi keluarga PM sendiri, perlaksanaan ISLAM pun belum tertegak sepenuhnya.

K.E.L.I.R.U.

 

The Young Crab and His Mother

PARADOKS

Sesuatu yang bertentangan dengan pendapat yang diterima umum

(Kamus Dewan Edisi Keempat)

Ini adalah sebahagian siri paradoks yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk menyalahkan peribadi seseorang jauh sekali ingin membuka aib. Andai ada yang terasa, mohon kemaafan dipinta setulusnya.

Terlalu banyak PARADOKS yang berlaku dalam peristiwa kehidupan, sama ada dalam keluarga terdekat, masyarakat hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Contoh yang diberikan di atas adalah hanya sebahagian sahaja yang sempat dinukilkan.

Mungkin pada usia kecil saat fikiran belum dewasa segala perkara ini merunsingkan kepala memeningkan otak. Pun demikian, menjelang kita meningkat dewasa, kita semakin menjadi matang dan mampu berfikir secara rasional.

Mungkin terlalu banyak PARADOKS yang berlaku dalam kehidupan kita sehingga tidak tahu di mana titik mula yang perlu diambil untuk mengubah semua ini. Terlalu memeningkan!

 Paradox of Our Age

Bermulalah dengan membetulkan segala PARADOKS ini dalam diri kita terlebih dahulu. Andai kita telah membina keluarga, bersama-samalah dengan mereka untuk mengubah PARADOKS ini. Memang kita tidak mampu mengubah PARADOKS yang telah berlaku dalam peringkat global dan nasional, tetapi setidaknya kita mampu mengubah dalam diri dan keluarga kita andai kita mahu.

Semoga kita terus diberi kekuatan dan kemahuan untuk mengubah PARADOKS ini, demi kebaikan diri kita sendiri. Agar kita terus tidak menipu dan ditipu oleh diri sendiri.

People believe what we do