Pertembungan sains dan agama. Manakah pilihan?

“Mahu sambung belajar lagi. Tapi tidak pasti bidang apa yang sesuai.” Soal saya.

“Nampak kamu berminat kepada bidang agama. Mungkin kamu boleh ceburkan diri di sana.” Yusuf memberikan cadangan.

“Tapi saya berada dalam bidang sains. Terasa sedikit sukar untuk memulakan pengajian dalam bidang berbeza.” Saya menyuarakan sedikit keresahan.

“Kamu pernah belajar di Sekolah Agama suatu masa dahulu. Itu satu asas yang sedikit kukuh untuk kamu. Lagi pun kamu seorang yang komited. Pasti kamu boleh walaupun berbeza bidang pengajian kelak.” Yusuf cuba menyuntik keyakinan kepada diri saya.

Ada juga benarnya apa yang dijelaskan Yusuf itu. Namun fikiran saya berbelah bagi. Adakah itu keputusan yang terbaik?

Dilema dalam persimpangan. Keliru mencari jawapan. Fikiran saya buntu.

Dilemma

Bimbang jika kesilapan yang sama berulang kembali. Jika dahulu semasa degree sudah melalui suka dan duka menukar kos pengajian. Perkara yang sama tidak mahu berulang kembali.

Kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Jika tidak risiko yang mungkin terpaksa ditempuhi adalah terlalu besar kesan akibatnya.

 

Dilema menukar kos

Keliru dengan pilihan tawaran pengajian yang diterima sewaktu mendapat surat tawaran ijazah.

Cuba juga diri ini untuk menyesuaikan diri dengan bidang kimia dalam beberapa bulan yang awal ketika berada dalam semester pertama. Namun jiwa ini membentak dan meronta.

Timbul di benak hati untuk menukar kos pengajian. Walaupun tidak dipersetujui oleh beberapa orang pensyarah, namun dalam diam langkah mula diambil, percaturan mula dirancang.

Setelah berbincang dengan beberapa orang rakan dan pensyarah yang lain, sedikit sebanyak telah memberikan petunjuk dan pilihan yang boleh diberi keutamaan.

Bermula semenjak di bulan kedua semasa semester pertama lagi perancangan telah dirangka. Untuk menukar program pengajian di universiti ini perlu menunggu sehingga ke semeter ketiga barulah permohonan boleh dilakukan. Begitulah syarat yang ditetapkan.

Pelbagai pilihan dan kesan yang bakal ditanggung andai tersilap langkah percaturan. Lazimnya mereka yang menukar kos pengajian perlu menanggung risiko yang tinggi termasuklah melanjutkan tempoh pengajian.

Andai itu benar-benar berlaku, domino effect yang akan ditanggung adalah sangat tinggi. Terpaksa menambahkan lagi yuran pengajian dan perbelanjaan. Itu antara yang sangat merunsingkan!

Akhirnya benak hati cuba disampaikan kepada ibu bapa.

tea time with family

“Saya rasa mahu menukar kos pengajian.” Sedikit nada gementar kedengaran.

“Kenapa pula mahu menukar kos? Tidak boleh belajar ke?” Emak mula menampakkan kerisauan. Sementara ayah pula masih lagi tampak tenang.

“Kos sekarang ini rasanya macam tak mampu untuk saya teruskan. Jika boleh sekali pun, saya tidak rasa mampu menamatkan pengajian dengan keputusan yang baik.” Saya cuba memberikan penjelasan.

“Jika tukar kos, rasanya boleh score tinggi ke?” Ayah mula menimbulkan persoalan.

“Jika bidang itu bidang yang saya benar-benar minat, saya akan cuba sebaik mungkin untuk dapat yang terbaik.” Saya cuba memberi keyakinan.

“Jika mahu tukar kos, apa pekerjaan yang sesuai mahu kamu ceburkan diri kelak?” Emak menampakkan lagi kebimbangannya.

“Saya pun tidak pasti. Tap untuk masa ini, saya mahu belajar dahulu. Soal pekerjaan belum saya fikirkan lagi.” Saya akui percaturan saya turut ada kurangnya. Terlupa bahawa suatu masa nanti saya akan menempuhi alam pekerjaan.

“Tapi jika tukar kos, bukan nanti akan extend pengajian?” Ayah bersuara sedikit cemas.

“Jika tukar kos dalam fakulti yang sama Cuma dalam jabatan yang berbeza, kemungkinan untuk extend itu memang ada, Cuma tidak terlalu tinggi. Lagi pun, tahun pertama pengajian, kebanyakan sillibus pengajian untuk pelajar yang di bawah fakulti yang sama, adalah hampir sama. Jam kredit yang telah dipelajari boleh di transfer jika ada kesamaan dalam kos yang lama dan kos yang baru tukar. Selepas tukar kos nanti, akan cuba catch up semua subjek yang tertinggal dan cuba juga untuk tamatkan dalam masa 4 tahun.” Saya memberikan penjelasan agak panjang, setelah memikirkan kesan akibat dan pelan kecemasan andai mampu menukar kos.

Ayah dan ibu sedikit tenang setelah mendengar penjelasan saya.

“Mak tak kesah bidang apa yang Amir nak belajar, asalkan Amir minat. Jangan hangat-hangat tahi ayam.” Ibu cuba menenangkan keadaan.

Saya memahami benar naluri seorang emak.

“Ayah tidak menghalang kalau itu yang Amir rasakan yang terbaik. Asalkan jangan menyesal kemudian hari. Bila dah janji, ayah mahu Amir buktikan amir bukan cakap kosong.” Ayah pula menyuntik keyakinan.

Saya mengangguk dan tersenyum gembira dengan jawapan ayah.

“Amir buatlah apa yang terbaik Amir rasakan. Amir sudah dewasa. Emak dan Ayah akan selalu mendoakan dan menyokong tindakan Amir.” Emak pula menambahkan lagi keyakinan saya.

Alhamdulillah setelah mendapat persetujuan orang tua, berbincang bersama beberapa orang pensyarah dan rakan, akhirnya usai membuat isitikharah.

Akhirnya sebelum memulakan semester ketiga saya telah membuat permohonan untuk menukar kos. Bidang yang dipilih adalah bidang biologi, kerana ada disebaliknya alasan yang tersendiri. Akhirnya permohonan saya diterima.

Segala Puji Bagi ALLAH Tuhan sekalin Alam kerana telah memudahkan urusan saya.

Thanks GodDilema di persimpangan jalan.

Keserabutan yang berkecamuk harus dirungkaikan. Agar tidak terus dihimpit dilema. Demi meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Saya masih lagi tidak dapat mencari kata putus.

Akhirnya, saya terfikir untuk meminta pandagan daripada beberapa orang asatizah dan pensyarah untuk saya membuat keputusan. Sama ada dalam bidang agama atau pun bidang yang sedia ada; sains yang terlebih sesuai untuk melanjutkan pengajian.

Saya cuba untuk menyampaikan permasalahan saya kepada mereka melalui bentuk email dan juga meminta bantuan daripada rakan supaya mudah untuk mereka. Usai merangka permasalahan dan cadangan jawapan, saya menghantar email kepada mereka.

Dalam masa menunggu jawapan daripada pensyarah dan asatizah, ada juga yang saya cuba untuk berjumpa secara bersemuka bagi memudahkan lagi komunikasi.

Email yang saya hantar, Cuma hanya beberapa yang berbalas. Kemungkinan para pensyarah dan asatizah sibuk dengan urusan mereka. Saya sedikit hampa.

Saya berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang lebih tinggi selepas tamat pengajian dalam bidang ijazah selepas ini, tetapi saya mempunyai sedikit kekeliruan dalam ingin membuat keputusan. Dan Insya ALLAH jika berkesempatan, saya akan menyambung pengajian hingga ke peringkat Sarjana dan semoga dipermudahkan dan diberi kekuatan..

Sama ada:

a) saya akan terus menyambung bidang pengajian dalam peringkat Ma (sebagai contoh) dalam bidang Sains dan meneruskan lagi pengajian saya dalam bidang agama secara tidak formal menerusi pengajian berkala di masjid dan surau. Di sebabkan saya merasakan kurangnya orang yang mahir dalam bidang sains memperdalami agama, saya tidak mengatakan saya mahir dalam bidang agama, tetapi jika ini adalah yg terbaik bagi saya untuk memenuhi keperluan fardhu kifayah, Insya ALLAH dalam masa saya menyambung pengajian dalam bidang Sains saya akan terus memperdalami ilmu agama saya, bagi memenuhi tuntutan dalam keperluan msyrkt islm pd hari ini yg mampu memahami ilmu sains serta mendalami ilmu agama

b) saya akan menyambung pengajian dalam bidang agama dan pengajian Islam di peringkat Ma jika di beri kesempatan dalam bidang yang bersesuaian dengan kemampuan diri saya, yg mana saya akan lebih menjiwai dan mampu.. Dan jika saya menyambung dalam pengajian dalam bidang agama, saya masih lagi mencari bidang yang benar-benar saya mampu untuk bawa dengan kekurangan yang ada pada saya.

 Antara persoalan dan pernah saya ajukan kepada para pensyarah dan asatizah.

Pun demikian, saya berkesempatan untuk bersemuka dan meminta pendapat daripada kalangan mereka.

Antara yang sempat saya minta pendapat adalah Dr Mat Rofa melalui sahabat saya, Tarmizi Anuwar. Setelah situasi saya diperjelaskan oleh Tarmizi, Dr Mat Rofa telah memberikan jawapan.

Dr Mat Rofa Ismail

Dr Mat Rofa Ismail, pensyarah di Jabatan Matematik, Fakulti Sains, UPM

“Antara tasawwuf dan sains, yang manakah yang lebih dekat untuk membawa mengenal Tuhan dan melihat tanda-tanda kekuasaannya?”

Jawapan yang sangat ringkas tetapi padat, begitu mendalam pengertian dan mesej yang cuba disampaikan.

Saya juga berkesempatan untuk bersemuka bersama Dr Shauqi Othman untuk meminta nasihat dan pandangan beliau. Setelah menjelaskan keadaan saya, akhirnya dia memberikan pandangan.

Dr Shauqi Othman

Dr Shauqi Othman, Pensyarah di Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM

“Ana rasa lebih sesuai enta memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang sains.” Beliau memberikan jawapan.

“Kenapa ustaz?” Saya tidak sabar untuk mendengar penjelasannya.

“Ana tengok enta ada asas dalam bidang agama. Cuba enta perhatikan dalam bidang sains atau bidang enta sendiri hari ini, berapa ramai orang yang memiliki pengetahuan sains tetapi tidak menguasai agama? Sangat sedikit bukan?” Beliau cuba merasionalkan jawapannya.

Saya berfikir sejenak dan mengangguk kemudian.

“Kenapa enta tidak mahu menguasai bidang sains dalam masa yang sama enta ada asas agama dan cuba untuk menambahkannya dari semasa ke semasa. Dengan demikian, enta akan mampu menguasai kedua-dua bidang yang enta mahu.” Beliau menambahkan lagi rasional jawapannya.

“Lagi pun bagi ana, belajar ilmu agama ini tidak semestinya perlu kepada pendidikan yang formal. Banyak lagi cara pendidikan yang tidak formal bahkan yang dapat enta implementasi dengan cara pembelajaran sedemikian.” Beliau menambahkan lagi hujah.

Tidak saya nafikan bahawa kata-kata Dr Shauqi itu semua benar-benar belaka. Sedikit sebanyak ini telah membantu membuka ruang penyelesaian dilema yang saya hadapi.

Turut berkesempatan saya temui untuk meminta pendapat adalah Ustaz Hasrizal Abd Jamil lebih dikenali menerusi blognya Saifulislam.com. Saya berkesempatan menghadiri salah satu program yang dianjurkan bersama dengan beliau.

Dipenghujung program tersebut saya memberanikan diri untuk bersua muka beserta berbual bicara dengan beliau. Setelah saya menjelaskan situasi dan dilema saya, dan beliau mengambil beberapa ketika untuk memberikan jawapan.

Ustz Harizal Abd Jamil

Ustaz Hasrizal Abd Jamil, lebih dikenali menerusi blognya saifulislam.com

“Ana rasa lebih sesuai enta sambung dalam bidang Sains.” Beliau memanjangkan bicara.

“Mengapa ustaz berpendapat sedemikian?” Saya cuba untuk persoalkan.

“Sebab berdasarkan apa yang ana faham berdasarkan penjelasan enta tadi. Ana takut enta tidak mendapat apa yang enta inginkan.” Beliau cuba menjelaskan.

“Saya tidak berapa faham maksud ustaz.” Saya sedikit keliru.

“Bagi ana sebab dalam situasi pendidikan di Malaysia. Sehingga ke hari di Malaysia kita tiada pakar yang berada dalam kedua bidang agama dan Sains. Ana takut apa yang enta cari dalam bidang sains dan agama kelak tidak mampu memberi kekenyangan ilmu pada enta. Akhirnya nanti enta tidak akan berasa puas dan seronok dengan apa yang enta belajar.” Beliau menambah penjelasan.

Tidak saya nafikan bahawa perkara itu adalah benar. Saya mengangguk perlahan.

“Bagi ana untuk masa ini, enta sudah berada dalam bidang sains. Mengapa mahu tukar bidang sedangkan jika enta bertangguh untuk belajar Sains demi belajar agama. Mungkin nanti akan timbul masalah kerana sudah lama tinggalkan bidang sains. Belajar ilmu agama ini pada usia yang pelbagai pun boleh. Atas enta mahu atau tidak.” Beliau memberikan lagi penjelasan.

“Betul juga apa yang ustaz kongsikan ini.” Tidak pernah terlintas di fikiran saya mengenai jawapan ini.

 

Membuat keputusan?

Setelah saya cuba berbincang dan meminta pendapat daripada mereka yang lebih berpengalaman. Akhirnya saya nekad.

Ibu bapa saya juga tidak menghalang, bahkan turut menyokong saya untuk meneruskan pengajian. Terima kasih ibu dan ayah.

Berpandukan kepada jawapan dan penjelasan yang dikongsikan, saya memilih untuk meneruskan pengajian dan pembelajaran dalam bidang Sains.

Jika dahulu semasa degree mungkin berbelah bagi kerana cetek pengelaman dan kurang diskusi. Kali ini saya berasa lebih yakin. Dan matlamat saya lebih jelas.

unknown journey

Semoga keputusan saya untuk menyambung pengajian yang lebih tinggi ini adalah keputusan yang tepat. Semoga dalam kekalutan saya untuk menyempurnakan cita-cita saya menamatkan pengajian dalam bidang sains ini bidang agama tidak akan saya sisihkan. Keduanya harus selari.

Dengan sains akan membantu diri ini untuk mengenal dan mendekati TUHAN, dengan ilmu agama akan memandu diri ini lebih lurus dalam menambahkan keyakinan. Semoga diri ini tidak dilalaikan.

Jika ada kelihatan, sila tegur sila luruskan diri ini wahai sahabat sekalian..

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on February 13, 2014, in Tinta kehidupan and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: