Nilai sebuah Harga Diri

Kelihatan seorang yang segak bergaya bertubuh sasa dengan pakaian yang berjenama sambil menelaah sesuatu di paparan smartphone menjadi tarikan khususnya di kalangan anak gadis..

Terlintas seorang gadis yang berwajah ayu dengan penampilan yang kelihatan casual sambil berceloteh bersama rakan disisinya membuatkan pandangan si remaja lelaki terpana seketika.

Terlihat  seorang menaiki kenderaan mewah meluncur laju di kota hingga dia tiba ke destinasinya di tengah ibu kota membuatkan mereka yang berada di kawasan berdekatan tertunggu-tertunggu siapakah yang akan keluar kenderaan berkenaan.

Saban waktu memerhatikan kehadiran seseorang yang asyik menjamu selera sama ada di kala kesibukan waktu bekerja mahu pun sambil menikmati waktu rehat di sebelah malam di tempat yang exclusive bukan sahaja lokasi tetapi pada menu hidangannya mampu membuatkan seseorang itu terngiur.

i-Phone more precious

Sebahagian daripada fenomena seharian yang biasa dapat kita perhatikan..

 

Realiti Harga Diri

Setiap era peralihan zaman mempunyai penilaian ketinggian harga diri yang berbeza. Berbeza zaman, berbeza penilaian. Umumnya apa yang menjadikan seseorang itu di pandang tinggi adalah berdasarkan apa yang boleh diinterpretasikan daripada aspek luaran. Yang mampu dinilai dengan pancaindera itulah yang itulah menarik perhatian dan memberi penilaian.

Zaman masa kini umumnya meletakkan penilaian yang  tinggi terhadap sesuatu perkara yang bersifat fizikal; sama ada dalam bentuk rupa paras, material,  pangkat dan seumpamanya.

Masyarakat kita mempunyai perspektif yang tersendiri dalam mencari identiti  bagi menaikkan harga diri. Begitu juga dengan masyarakat dan tempat lain. Bermula daripada sebesar perkara hinggalah kepada sekecil-kecil perkara termausklah dalam soal bahasa bual bicara negara yang maju akan dijadikan sebagai trend bagi kita.

Sama ada yang bersifat positif atau pun sebaliknya. Sama ada yang selari dengan atau pun yang bertentangan dengan budaya. Sama ada nilai yang diterima dalam agama mahu pun yang berlawanan dengan nurani agama. Antara yang menjadi medium penyebaran utama adalah arus media.

 

Harga diri Barat vs Harga Islam

Berpaksikan kepada jati diri seorang Muslim, tidak semua yang berasal daripada negara Barat yang lazimnya jauh lebih maju dan ke depan boleh diterima secara bulat-bulat. Tidak pula boleh ditolak secara mentah-mentah.

Agama yang didirikan dengan nilaian murni seharusnya menjadikan seseorang individu muslim itu tidak mudah hanyut bersama arus perkembangan semasa yang tidak memberikan faedah apatah lagi yang mampu mendatangkan mudarat.

Bila berbicara mengenai harga diri sebagai seorang Muslim, mungkin ramai yang terbawa-bawa bersama zaman kegemilangan tamadun Islam berserta dengan pembawaan identiti harga diri seorang muslim. Hakikatnya realiti pada hari ini tamadun Islam bukan lagi berada di era kegemilangan.

Lebih mendukacitakan lagi, runtuhnya tamadun Turki Uthmaniyyah, telah meruntuhkan bersama jati diri dan maruah ramai di kalangan Muslim. Sukar untuk bangkit dan membina identiti semula!

Lebih memilukan lagi pada hari ini, agama Islam menjadi sering kali ditohmah dan menjadi sasaran dalam banyak perkara. Bukanlah kerana kekuatan yang ada pada mereka yang bukan Islam sebagai ancaman, tetapi adalah peribadi dan jati diri umat Islam sendiri yang menjatuhkan maruah agama yang kita anuti. Peringatan untuk diri sendiri…

 

Ukuran Maruah Diri?

Ada yang mahu berbelanja kos tinggi bagi mendapatkan bentuk badan yang ideal lagi menarik. Si teruna mahu membina dan menampakkan otot. Si dara pula mahu menguruskan dan melentikkan susuk tubuh. Nilaian wang ringgit tidak diendah demi membeli pelbagai supplement dan makanan tambahan. Bahkan jika tidak cukup pembedahan plastik juga turut menjadi pilihan.

Ada pula yang meninggi diri kerana memliki suara yang merdu dan lunak. Jika dalam industri yang melibatkan keagamaan, maka nasyid menjadi pentas untuk menonjolkan diri. Manakala jika meminati industri muzik pula, pelbagai bentuk rancangan realiti cuba diceburi bagi mencari populariti.

Ada yang sanggup kelihatan bergaya walaupun menjadi papa. Ada yang mahu kelihatan  ‘senang’ walaupun terpaksa menanggung beban hutang. Mereka yang lebih bertuah bila mana dibesarkan dalam kalangan keluarga yang memiliki keistimewaan sama ada dalam bentuk harta dan duit, pangkat dan kerabat turut terpalit dan menumpang  sama.

Ada yang menuntut ilmu hingga ke peringkat tinggi demi gelaran. Seronok digelar ustaz dan ustazah jika bidang agama yang didalami. Berbangga pula jika mendapat gelaran Dr. jika berkesempatan menamatkan pengajian sehingga ke pringkat PhD. Mendabik dada pula jika telah dilantik menjadi consultant dalam bidang yang tertentu kerana memiliki pengalaman dan kejayaan yang menggunung tinggi.

Umumnya segala apa yang mampu dinilai dengan pancaindera dan mendatangkan kemegahan beserta kemewahan dalam bentuk yang digemari oleh penilaian masyarakat setempat itulah yang menjadi kayu ukur bagi maruah harga diri seseorang.

 Self-love

Manifestasi sebuah Harga Diri

Nilai ketinggian harga diri merupakan perkara yang menjadi ukuran penting bagi seseorang individu. Bahkan bukan hanya kepada individu, tetapi dalam skala yang lebih besar termasuklah masyarakat, bangsa dan negara. Pun demikian, sebelum meneruskan dalam skala yang lebih besar, penilaian ini seharusnya perlu kembali berpaksi kepada seseorang individu yang menjadi tunggak dan tunjang dalam pembentukan sesebuah sistem yang lebih besar.

Hakikatnya ISLAM bukanlah sebuah agama yang mahu melihat penganutnya yang merendah diri tidak bertempat. Kemuliaan dan ketinggian maruah diri seseorang muslim itu adalah terletak pada ketinggian akhlaknya dan imannya.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

(al-Ahzab; 21)

Manakala apa yang dipandang tinggi pada penilaian manusia pula ISLAM tidak melarang untuk kita memilikinya. Bahkan digalakkan untuk kita untuk memilikinya tetapi  dalam masa yang sama tidak pula menjadikan kita sebagai seseorang yang berbangga dan meninggi diri. Selagi mana paksi Iman yang kukuh dan akhlak yang mulia dijadikan pegangan, maka perkara-perkara yang selain itu tidak akan mudah menghanyutkan kita.

 never sacrifice this

Istimewanya Bangsa Arab

Bangsa Arab terpilih  sebagai bangsa pertama untuk menerima dan menyampaikan  ajaran ISLAM berbanding bangsa yang lain. Di antara hikmahnya mengapa bangsa Arab terpilih antaranya termasuklah kerana lokasi geografinya yang bebas daripada cengkaman pengaruh tamadun kuasa besar dunia pada masa itu.

Selain itu, bangsa Arab turut  memiliki karakter yang kuat dalam mempertahankan harga diri dan maruah bangsa mereka hingga sanggup bangkit dan melawan walaupun terpaksa menumpahkan darah.

Walaupun pada ketika mereka belum lagi menerima sinar hidayah ISLAM perkara ini mampu memecahbelahkan dan memporak-perandakan masyarakat. Namun setelah disinari dengan cahaya Iman dan hidayah, perkara ini akan memberikan kesan yang besar kepada penyebaran ISLAM khususnya di zaman awal penyebaran ISLAM.

“Jika kamu menjadi seseorang yang ada pendapat, kamu perlu menjadi seseornag yang ada pendirian. Sesebuah pendapat yang baik akan menjadi punah dan musnah bila mana kamu menjadi seseorang yang berbelah bagi”

(Abu Thayyib al-Mutanabbi)

Pegangan Harga Diri Kita

Janganlah kita menjadi salah seorang yang turut menconteng arang kepada agama yang kita pegangi, lebih-lebih lagi ketika saat ISLAM dipandang rendah. Cari dan binalah harga maruah diri yang bertunjangkan kepada paksi akidah yang membuahkan akhlak yang sempurna. Walaupun pada zahirnya mungkin kita dikelilingi dengan kelemahan dan kekurangan. Namun andai kita memiliki ketinggian budi pekerti itu pun sudah mampu membentuk kita menjadi seseorang yang mulia bukannya hina.

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta”

(al-An’aam; 116)

Besar diri

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on February 12, 2014, in ~Coretan~ and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: