Ibrah daripada seorang Pak Cik

Kedahagaan saya dalam usaha untuk cuba mengenyangkan pemahaman kepada al-Quran terasa begitu sangat sukar dipenuhi. ALHAMDULILLAH dicetuskan sekelumit sinaran hidayah untuk diberi kekuatan dan kesabaran dalam usaha untuk memahami mesej yang tersurat dan tersirat di sebalik al-Quran ini.

Walaupun sebahagian besar sistem kehidupan pada hari ini dipisahkan dengan istilah mudah sekularism, atau yang lebih mudah difahami  dengan memisahkan antara urusan keagamaan dan kehidupan termasuklah dalam bidang pendidikan. Saya sendiri turut merasakannya. Pun demikian sampai bilakah saya harus menyalahkan sistem ini sedangkan begitu banyak peluang yang dihamparkan dihadapan saya untuk memahami dan mencari ilmu keagamaan.

Kita boleh menyalahkan sistem yang sekular ini, bahkan ini adalah realiti! Namun jika selamanya kita asyik menuding jari dan menyalahkan sistem, sedangkan dalam masa yang sama kita mampu untuk memperbaiki keadaan kita, tapi kita yang tidak mahu sampai bila pun kita tidak akan ke mana-mana.

Antara seminar yang suka saya sertai adalah seminar Ibrah yang berkaitan dengan surah dalam al-Quran. ALHAMDULILLAH berkesempatan untuk menyertainya pada minggu lepas, seminar Ibrah berteraskan surah Yusuf. Ya mungkin bagi mereka yang berada dalam pengajian dalam bidang agama ISLAM, mereka lebih meminati seminar atau pun ilmu yang berbahas mengenai ilmu tafsir. Namun, saya sedar saya belum mampu untuk sampai ke tahap itu. Walau pun seminar Ibrah yang berkaitan dengan surah dalam al-Quran ini agak ringkas dan ringan penyampaiannya, setidaknya ia banyak membantu untuk orang yang biasa-biasa seperti saya ini untuk memahami dan mencari mesej serta hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik surah Yusuf ini.

ASG_poster

Secara jujurnya seminar pada kali ini, memberikan beberapa kelainan bagi saya berbanding seminar sebelum ini. Antara yang menarik bukan sahaja bilangan peserta yang ramai. Tetapi dalam masa yang sama terdapat juga kehadiran beberapa peserta yang begitu menarik perhatian saya.

Terdapat beberapa peserta yang sudah berkahwin dan datang bersama pasangan mereka. Ini mungkin perkara biasa. Apa yang luar biasa bagi saya terdapat segelintir pasangan yang turut membawa anak mereka yang masih kecil, bahkan masih lagi dalam baby duduk bersama mendengar seminar! Sungguh saya mengagumi kegigihan mereka. Masakan tidak? Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan tumpuan kepada penyampaian seminar. Dalam masa yang sama, mereka turut perlu meriba dan menjaga anak mereka. Bila anak mereka menangis, mereka bersegara untuk menenangkannya. Bimbang tangisan itu akan mengganggu tumpuan audiens yang lain. Jika tidak mampu menenangkannya, salah seorang di antara ibu bapanya akan membawa keluar dewan seminar seketika.

seminar bersama anak-anak

Membuatkan saya bermonolog sendirian seketika:

“Jika aku di tempat mereka, belum tentu aku mampu untuk membuat seperti itu (sambil melepaskan nafas yang panjang)”

Namun ada lagi satu kes yang begitu terkesan dalam hati ini…

Melihat seorang pak cik yang sudah berusia, datang berseorangan dan duduk berseorangan dari yang lain. Ingin di tegur pada mulanya tapi lidah terasa kelu, bimbang akan tumpuannya terganggu.

Usai daripada seminar sepanjang tempoh 2 hari, saya menuju ke masjid untuk mendirikan solat asar. Kebetulan terjumpa dengan pak cik ini. Dengan memberanikan diri, saya cuba untuk memulakan perbualan ringkas dengannya.

“Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumussalam warahmatullah.” Jawab pak cik itu.

“Pak Cik ini kan yang duduk berhampiran dengan saya sepanjang seminar?” Saya memberanikan diri membuka bicara. Pak cik ini mengangguk ringkas.

“Pak Cik datang seorang saja?” Saya mula menyusun perbualan.

“Ye, Pak Cik datang sorang saja.” Dia menjawab dengan senyum mesra

“Pak Cik datang dari mana?” Desus hati ini menyatakan dia merupakan orang sekitar lembah Klang kerana bahasanya yang kelihatan formal.

“Pak Cik datang dari Puncak Alam. Pak Cik memang minat kuliah-kuliah macam ni.” Jawabnya bersahaja. Saya mula mencongak. Untuk berulang-alik dari Puncak Alam ke UKM bukanlah jarak yang dekat aku berkira-kira! Sebab saya sendiri yang berulang-alik dari Klang ke UKM pun dah terasa lelahnya, sedangkan saya ini jauh lebih muda.

“Umur Pak Cik berapa ? Nampak macam masih bertenaga untuk berjalan dan mencari ilmu.” Saya sedikit kehairanan. Kelihatan banyak uban telah memenuhi rambutnya.

“Pak Cik dah 10 tahun pencen, banyak masa terluang ini, Pak Cik memang suka seminar atau kuliah yang berkaitan tentang Ibrah daripada sesuatu surah yang dibentangkan secara lengkap.” Pak Cik ini menjawab dengan mula menampakkan minat.

Saya mula tergamam seketika. 10 tahun sudah pencen. Saya mula menghitung, pasti umur Pak Cik ini telah menjangkau 65 tahun. Tetapi tidak berani untuk bertanya secara tepat. Bimbang persoalan umur akan menyakitkan hatinya.

“Owh. ALHAMDULILLAH, saya sangat kagum dengan Pak Cik. Dengan usia sebegini, Pak Cik masih lagi mahu dan minat untuk ke seminar seperti ini. Pak Cik biasa ke join seminar yang sama seperti ini sebelum ini?” Saya mula berasa kagum dengan Pak Cik ini.

“ALHAMDULILLAH, Pak Cik dah beberapa kali join seminar bertemakan ibrah sebelum ini beberapa kali. Contoh Ibrah berteraskan surah al-Fatihah, al-Kahfi, Luqman dan al-Hujuraat. Pak Cik suka sangat kuliah seperti sebab penyampaiannya santai dan dapat memudahkan Pak Cik untuk faham apakah intipati surah ini dan Ibrah yang boleh diambil darinya.” Pak Cik ini menjawab secara jujur.

“Bestnya Pak Cik! Mesti dah dapat banyak pengajaran kan. Saya ini baru je mula berjinak-jinak dengan seminar seperti ini.” Saya mula terasa malu dengan diri sendiri. Masakan tidak, Pak Cik yang sudah berusia anggaran 65 tahun ini masih giat mencari ilmu, sedangkan saya tidaklah ke mana-mana.

“Insya ALLAH, anak banyak lagi ruang dan peluang untuk sertai seminar seperti ini. OK lah, Pak Cik minta izin dulu. Dah agak lewat petang ni, kalau dah malam penghilatan mata Pak Cik untuk drive agak kurang.” Pak Cik ini mula meminta diri untuk kembali ke rumahnya.

“Pak Cik drive elok-elok ye. Insya ALLAH saya doakan Pak Cik selamat pulang ke rumah.” Saya hanya mampu untuk memberikan harapan dan doa agar Pak Cik ini selamat pulang.

“Insya ALLAH nak. Ada rezki nanti mungkin kita akan berjumpa lagi dalam seminar yang akan datang. Pak Cik minta diri dulu ya, Assalamu’alaikum.” Sambil mula melangkah pergi dan menghamparkan senyuman manis yang memaparkan tidak keletihan mencari ilmu walaupun usianya kian lanjut.

“Insya ALLAH Pak Cik. Wa’alaikumussalam.” Saya menjawab dan menghamparkan pandangan padanya hinggalah keretanya hilang dari pandangan.

akhbar

Saya mula terfikir dan merenung diri ini. Seandainya seorang Pak Cik yang telah berusia pertengahan 60-an masih lagi gigih mencari ilmu untuk memahami al-Quran, terasa diri ini terlalu hina kerana usia muda ini tidak digunakan dengan sebaiknya. Kesihatan yang baik ini mengapa tidak saya gunakan untuk mempelajari ilmu-ilmu seperti ini.

Terlalu sibukkah diri ini dengan perkara lain hingga tidak mampu untuk meluangkan masa dan sedikit wang untuk memahami kitab yang mulia ini. Saya terasa malu sendirian. Saya mula menyimpan azam untuk menjadi rajin seperti Pak Cik ini. Bukan untuk menunjuk-nunjuk. Apatah lagi mahu kelihatan pandai. TIDAK! Tetapi agar al-Quran ini bukan sahaja dapat memberikan syafaat kepada saya di akhirat kelak bila mana saya membacanya, tetapi dapat memberikan panduan dan sinaran hidayah untuk menghadapi kehidupan di dunia.

12; 101

“Wahai TUHANku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarkanku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai TUHAN  yang menciptakan langit dan bumi ENGKAU Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; SEMPURNAKANLAH AJALKU (ketika mati) DALAM KEADAAN ISLAM, dan HUBUNGKANLAH AKU DALAM KEADAAN SOLEH.”

 (Yusuf: 101)

Moga-moga sebagaimana permohonan Nabi Yusuf untuk dimatikan dalam keadaan ISLAM dan bersama-sama dengan orang yang soleh, begitu jualah pinta diri ini pada ALLAH tuhan sekalian alam. Insya ALLAH.🙂

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on September 25, 2013, in ~Coretan~ and tagged , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: