Coretan perkongsian kehidupan untuk pasangan..

Soalan Perempuan kepada Pasangannya

Syukur ALHAMDULILLAH, aku disahkan mengandung. Tetapi alahanku menyebabkan aku tidak mampu mencium baumu sayang. Mendekatimu sahaja sudah cukup mengundang loya. Entahlah berapa lama, mungkin sebulan dua, mungkin empat atu lima bulan. Ada kemungkinan bukan sahaja untuk kandungan kali pertama, malah yang depan-depan juga. Sabarkah engkau  dengan kerenahku? Masihkah aku ini cintamu di kala itu?

Semasa mengandung, aku tidak lalu makan, mulutku asyik mengeluh sakit sini dan sakit sana. Tidur sering tidak lena, aku yang ceria berubah menjadi pemarah dan sering berduka. Bukan aku sengaja, tetapi segala yang kurasa disetiap inci tubuhku, menimbulkan rasa resah dan tidak selesa. Sabarkah engkau dengan kelemahanku ini?

Semasa mengandung, upayaku untuk melayan keperluan batinmu tidak seperti biasa. Aku lemah, sering juga hambar tiada penariknya. Sehebat-hebat mujahadahku, diri ini amat terbatas dalam upaya berperanan sebagai isterimu. Masihkah aku buah hatimu?

Semasa kita sudah berumah tangga, pasti hidup kita indah bagai di syurga. Tambah pula dengan kurniaan cahaya mata pertama. Namun, ketika cahaya mata bertambah bilang, kerjaya kita semakin berkembang. Pendapatan bertambah, tanggungan dan beban juga bertambah. Dalam suasana yang banyak tekanan dalam rumah tangga kita, apakah engkau masih lagi mampu ceria? Sabar dengan kerenah anak-anak dan ibu mereka? Terus tersenyum menawarkan bahagia?

Selepas beberapa tahun berumah tangga, aku belum merahimkan cahaya mata impian kita, saudara-saudara dan teman memperlimu dan menuduh engkau bukan seorang jantan. Sedangkan aku punca sepimu tanpa zuriat. Di kala engkau diasak kelurga dan teman, masihkah aku ada tempat di lubuk cintamu?

Andai selepas beberapa tahun berumah tangga, aku diputuskan pemeriksaan perubatan bahawa diri ini mandul dan tidak mampu merahimkan cahaya mata impian kita? Apakah aku masih kekasih dihatimu?

Jika aku ditakdirkan ALLAH diuji dengan barah payu dara, terpaksa mengorbankan salah satu atau keduanya, kimoterapi meluruhkan rambutku yang pernah menjadi pujianmu, tubuh lemahku menumpang kasih dalam pelukanmu, berak kencingku di dalam kain batik yang pernah engkau hadiahkan kepadaku , masihkah engkau mencintaiku?

Muslimah in depression

Soalan Lelaki Kepada Pasangannya

Keceriaanku mungkin pudar oleh tekanan kerja dan kehidupan. Aku cenderung untuk diam dan senyumanku mungkin kurang manis dan indahnya. Diri ini yang pada masa ini suka bergurau senda, ketika itu pulang dengan kerut dahi, kurang sense of humour, dan hanya bercakap benda-benda besar dan serius. Sabarkah engkau dengan perubahanku ini nanti? Kuatkah cintamu padaku?

Tekanan hidup mungkin menyebabkan perananku sebagai suami kepadamu terjejas. Upayaku untuk memberi nafkah batin kepadamu terganggu dan untuk menyuarakan kepadamu aku terasa malu. Masalah mati pucuk yang sering menimpa lelaki yang tertekan dengan pekerjaan dan kehidupan yang menggugat kepuasan dirimu sebagai isteriku. Sabarkah engkau dengan keadaan itu, dan apa rancanganmu untuk kita menempuh saat-saat itu? Terjejaskah cinta kita di hatimu?

Andai kerjayaku dirempuh badai dan surut seketika, kewanganku dan keluarga kita jauh daripada mencapai sempurna keperluan. Keluarga dan teman mencemuhmu kerana ‘menanggung’ aku sebagai seorang suami yang dilabel dayus. Aku akan berusaha agar ia hanya seketika, namun sabarkah engkau menempuhnya? Masihkah aku kekasih hatimu?

Aku menjadi seorang lelaki yang menjemukan. Aku mengharapkan dirimu menjadi seorang insan yang akan membantu menceriakanku, namun sabarkah engkau dengan diriku dan mampukah cinta kita di hatimu terus membenih bahagia?

Jika kerjayaku berkembang di luar jangkaan kita, engkau terpaksa berkongsi diriku dengan masa, dan aku selalu terpaksa ke sini sana untuk bekerja, sabarkah engkau dengan suasana itu, dan adakah aku masih cinta dihatimu?

Jika aku disahkan doktor tidak mampu memberikan zuriat, rumah tangga kita akan sunyi tanpa cahaya mata, apakah engkau masih sudi menemaniku dalam bahtera rumah tangga kita?

Sekiranya rumah tangga kita teruji apabila aku ditimpa kemalangan atau strok yang melumpuhkan pergerakan fizikal serta upayaku sebagai suami, kencing berakku yang bertubuh berat ini di dalam kain pelekat yang dulu pernah engkau hadiahkan kepadaku, apakah ia menggugat cinta kita dan mampukah engkau terus hidup di sisiku yang hany suamimu dengan status suami tanpa mampu melaksanakan banyak tanggungjawabku sebagai suami?

Depressed alone on a beach

Seorang suami dan seorang isteri, akan berusaha dan berdoa agar tidak teruji dengan situasi sedemikian rupa. Memohon kepada ALLAH swt agar tidak dibebankan dengna ujian berat yang di luar upaya diri.

“… Wahai TUHAN kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak terdaya kami memikulnya.”

(al-Baqarah: 286)

Petikan daripada buku BERCINTA SAMPAI KE SYURGA; Karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Bercinta sampai ke Syurga

Satu perkongsian yang menarik yang ramai di antara kita yang mungkin akan terlepas pandang dengan perkara-perkara seperti ini..

Keseronokan bagi pasangan yang ingin menuju atau baru sahaja mendirikan rumah tangga pasti akan berada di tahap yang kemuncak. Dengan memetik slogan yang mendambakan dan mengharapkan percintaan dan kebahagiaan dalam melayari bahtera rumah tangga bersama seperti Rumahku Syurgaku, Bahagia hingga ke Syurga, dan sebagainya. Pasti setiap di kalangan mereka mengimpikan rumah tangga yang sedemikian.

Namun hakikatnya, kehidupan ini bukanlah indah dan mudah seperti yang dirancang. Mengemudi layar bahtera perkahwinan bukanlah dihamparkan dengan benih percintaan ditunaskan putik kasih sayang setiap hari. Kehidupan bukanlah seperti pentas politik yang kadang-kadang kelihatan begitu retorik, tetapi kehidupan adalah dihiasi dengan ujian, dipenuhi dengan dugaan, pasang surut ombak kehidupan disertai dengan kebahagiaan diselangi dengan penderitaan.

Namun bukanlah dengan mendatangkan beberapa situasi seperti ini ingin menakutkan mereka yang ingin berkahwin. Jauh sekali untuk menghalang fitrah insaniah yang ingin bahagia berumah tangga! Namun, secara tersurat mahu pun tersirat, inilah sebahagian daripada kejadian yang berlaku dalam pentas kehidupan yang boleh untuk kita mencedok pengajaran.

Family tree

Sebagai muhasabah, sesuai untuk dijadikan pengajaran dan renungan untuk bersama. Moga dengan sedemikian mampu untuk mengembalikan kita kembali berpijak ke bumi nyata, setelah hanyut di bius cinta, kembali berpijak dan berdepan dengan dunia reality, bukan hanya sekadar hanyut di alam fantasi.

Moga dengan demikian mampu untuk memberikan kita kekuatan dan kemudahan untuk membuat persediaan sama ada dalam sudut emosi, rohani,jasmani dan intelek dalam menempuhi kehidupan berkeluarga kelak.. INSYA ALLAH!!🙂

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on July 2, 2013, in Tinta kehidupan and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: