Masih adakah harapan untuk hari esok..

…Pemandangan dan suasana yang tenang di sekitar tasik ini membuatkan hati ku berasa lapang seketika setelah beberapa ketika fikiran ku buntu mencari jalan penyelesaian dalam mencari solusi bagi permasalahan yang timbul. Hilai tawa dan keceriaan kanak-kanak yang sedang asyik bermain di kawasan permainan menambahkan lagi keriuhan di sekitar tasik ini. Sementara sebahagian ibu bapa turut sama menemani anak kecil mereka bermain, sebahagian yang lain pula sedang leka menjalankan aktiviti berkeluarga. Cuaca yang redup dan angin petang yang bertiup menenangkan lagi suasana.

Aku memilih untuk duduk di bangku berhampiran dengan mereka. Menghamparkan pemandangan menyaksikan gelagat dan  memerhatikan peel insan. Telatah dan lincah perangai mereka kadang-kadang mencuit hati ku yang mendambakan ketenangan, membuatkan aku tersenyum seorangan. Begitu indahnya aturan dan susunan TUHAN dalam memberi dan mengagihkan rahmat dan kasih sayangNYA kepada insan.

Alone in a park

Sedang aku asyik melihat suasana dan pemandangan ini, tiba-tiba hati kecilku mula berbisik.  Terdetik di benakku untuk mula merenung dan memikirkan masa depan. Bukan sekadar  masa depan untuk diri ku, bahkan untuk mereka yang masih lagi di alam kanak-kanak, yang mula merangkak untuk mengenal arti kehidupan, yang mula belajar untuk memahami hakikat kehidupan, yang bakal memenuhi pentas kehidupan pada masa akan datang…

Setiap manusia mendambakan kebahagiaan, mengimpikan ketenangan, menginginkan keselamatan dan keamanan dalam hidup mereka, tanpa mengira perbedaan warna kulit, pegangan agama. Setiap lapisan strata masyarakat menginginkan kepada kehidupan yang sempurna, walau pun hakikatnya tiada kehidupan yang sempurna di sini.

Persoalannya bagaimanakah ingin mencari dan mencipta sebuah suasana kehidupan yang selama ini diimpikan??

Kepincangan dan kecelaruan yang berlaku pada hari ini adalah meliputi hampir segenap ruang kehidupan.  Bermula daripada sekecil-kecil perkara hinggalah  sebesar-besar perkara. Bermula daripada organisai urus tadbir sebuah keluarga hinggalah kepada urus tadbir sebuah negara. Buat seketika seolah-olah merasakan persoalan ini mungkin tiada jawapan dan jalan penyelesaian.

Bukanlah persoalan ini ingin mengatakan bahawa hidup ku tiada telah sempurna dan tanpa derita. Tidak sama sekali! Tetapi persoalan ini adalah mungkin wajar untuk difikirkan dan muhasabah bersama bagi kita yang bakal menempuh kehidupan yang lebih mencabar pada masa-masa mendatang.

Bermula dengan sekecil-kecil perkara yang bakal ditempuhi oleh hampir setiap manusia, dengan melihat kepada sistem organisasi sesebuah keluarga. Tekanan dalam memenuhi keperluan untuk meneruskan kehidupan menjadi cabaran yang besar, sebagai contoh dalam perkara yang melibatkan ekonomi. Ibu bapa sanggup untuk bekerja dan mencari rezki saban hari untuk memberi keperluan dan keselesaan kepada anak-anak. Sudah menjadi lumrah dan tanggungjawab kepada ibu bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak termasuklah nafkah kewangan.

Namun saban hari ada yang sanggup untuk keluar rumah sebelum matahari menyinar, sebelum ayam keluar dari reban dan pulang semula setelah matahari tenggelam, sehingga burung hantu bertenggek di atas dahan, hanya demi untuk mencari sumber kewangan. Ya mungkin dalam satu sudut dengan demikian mampu untuk memberi kemewahan dan keselesaan kepada anak-anak dengan membelikan mereka gadget-gadget terkini seperi smartphone dan lain-lain. Namun dalam satu aspek yang lain, anak-anak akan mula ketandusan dan kegersangan kasih-sayang, perhatian dan didikan agama daripada sepasang ibu bapa.

Lantaran, untuk mengasuh dan mendidik anak-anak diserahakn bulat-bulat kepada warga pendidik sama ada di peringkat tadika, sekolah rendah hinggalah ke peringkat sekolah menengah. Benar tugas mereka  sebagai pendidik untuk mendidik anak bangsa, namun bukanlah tugas itu perlu dipikul secara keseluruhan termasuklah memberi didikan agama hinggalah kepada sentuhan kasih sayang menjadi kewajipan seorang pendidik. Sedangkan mereka sendiri telah memiliki kehidupan mereka.

Kerana tidak mahu membiarkan kehidupan keluarga mereka berada dalam kesempitan kewangan, secara tidak langsung nafkah yang lain mula diabaikan. Sebahagian ibu bapa merasakan anak-anak mereka tidak perlu merasa pahit dan jerih kehidupan yang pernah mereka lalui suatu masa dahulu, seperti perlu berjalan kaki berbatu-batu jauhnya untuk sampai ke sekolah, perlu membantu datuk nenek mereka mencari sesuap rezeki dengan bekerja di sebelah pagi mahu pun petang untuk menyara keluarga dan dalam masa yang sama ke sekolah pada sebelah lainnya untuk menuntut ilmu. Bahkan mungkin ada yang perlu mengorbankan persekolahan mereka hanya semata-mata untuk meringankan beban keluarga mereka dan pelbagai lagi pahit jerih kehidupan.

Ya mungkin, kekurangan dalam sistem material yang pernah dihadapi pada suatu masa dahulu merupakan satu cabaran yang besar untuk meneruskan kehidupan. Namun, hakikatnya cabaran dalam berdepan dengan ketandusan spiritual dan jati diri dengan lambakan material pada hari ini merupakan cabaran yang lebih besar pada hari ini yang perlu ditempuhi sama ada pada diri ibu bapa mahu pun anak-anak.

Dengan wujudnya sistem kekeluargaan yang hanya memandang dan menilai aspek kewangan, kehidupan untuk bergaul mesra dan mengamalkan semangat kekitaan mulai mengurang. Masing-masing sudah tidak ambil endah mengenai masyarakat sekeliling. Tiada lagi suasana kehidupan seperti masyarakat desa yang mengambil tahu dan cakna mengenai hal jiran tetangga mereka.

standing alone in darkness

Beralih pula kepada sistem kemasyarakatan yang dipenuhi dengan anasir-anasir yang semakin lama semakin membimbangkan. Sama ada gejala yang berlaku dalam masyarakat setempat mahu pun umum, amat membimbangkan. Sebagai contoh, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam bahawa dalam setiap 7 minit terhasilnya anak luar nikah yang direkodkan. Sementara dalam setiap 5 minit pula wujudnya pasangan yang berzina. Ini adalah statistic yang berjaya direkodkan bahkan jika dilihat dalam kehidupan sebenar pasti skala ini akan terlebih-lebih membimbangkan. Belum lagi ditambah dengan gejala sosial yang lain seperti kes sumbang mahram, mat rempit, hisap dadah dan lain-lain. Jika dinyatakan dalam nilai dan angka, pasti amat-amat membimbangkan.

Dengan persoalan yang hanya mula bermain dibenak fikiran berkaitan dengan kebejatan yang semakin menular dalam sistem kemasyarkatan pada hari ini, apakah yang akan berlaku pada masa hadapan? Statistik dalam permasalah seperti ini saban tahun akan menunjukkan kadar peningkatan yang semakin membimbangkan, bahkan tidak pernah menurun sama sekali. Adakah kita semua hanya mengimpikan kemajuan dan pemodenan dalam aspek pembangunan dan materialistik, namun dalam masa yang sama kita semakin ketandusan dan kegersangan dalam sistem nilai dan kemanusiaan? Kita bukanlah seperti negara Barat yang hanya berkiblatkan kepada kekayaan dan kemodenan, hingga memadam dan menghapuskan sistem nilai dan kemanusiaan.

Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang ditimbulkan di benak fikiran tidak menemui jalan-jalan penyelesaian…

Mungkin ahli-ahli politik, ekonomi, para cendiakawan mahu pun intelektual boleh membentangkan idea-idea dan teori-teori untuk menyelesaikan masalah seperti ini. Namun untuk disalurkan dan diimplementkan dalam lapisan golongan marhein bukanlah suatu perkara yang mudah. Berbicara mengenai teori mungkin hanya mengambil masa yang singkat, namun untuk melaksanakan teori itu di alam realty mungkin mengambil masa yang panjang bahkan mungki bertahun-tahun lamanya.

Sebagai seorang MUSLIM, sudah tentulah dengan berbalik kepada ajaran ISLAM yang sebenar pasti akan dapat memberi jalan penyelesaian. Namun, berpegang kepada ajaran ISLAM yang sebenar ini adalah perlu kepada pegangan yang holistik kepada segenap anggota masyarakat, tidak akan berjaya jika hanya sebahagian sahaja yang cuba mengamalkan ISLAM dengan holistik sedangkan sebahagian besar yang lain berpegang dengan fahaman yang hanya berkiblatkan kepada keduniaan. Walau pun seorang yang n0n-Muslim namun dia masih lagi berpegang seperti apa yang digarispandukan dalam syariat ISLAM, pasti keadaan akan menjadi tenang. Atau pun sesiapa sahaja yang berpegang kuat kepada ajaran asal agama mereka, pasti akan merasai kedamaian dan ketenangan kerna setiap agama pasti mahukan penganutnya merasai ketenangan dan kebahagiaan di alam dunia walaupun mereka berpegang kepada pemahaman yang berbeza-beza..

Mungkin ada yang merasakan bahawa mereka tidak akan terlibat dan berdepan dengan suasana seperti yang dinyatakan kerana mereka pada zon yang dirasakan selesa. Mungkin disebabkan keadaan sekeliling mereka dibesarkan dalam keadaan yang serba lengkap dan cukup, atau mungkin disebabkan mereka berada pada transisi zon selesa yang dialami dalam suasana pembelajaran ketika berada di alam campus. Namun, hakikatnya inilah antara beberapa gambaran-gambaran awal suasana yang sedang berlaku dalam alam reality, yang suatu masa nanti pasti kita juga akan berdepan dengannya, sama ada cepat atau pun lambat.

Dimanakah dan bagaimanakah persekitaran yang selamat untuk membina dan meneruskan kehidupan pada masa akan datang jika beginilah keadaan yang tersedia pada hari ini? Persoalan-persoalan yang aku sendiri timbulkan, namun aku sendiri yang bingung mencari jawapan.

Aku mendongak ke langit, kelihatan awan-awan kelabu mulai berarak lesu. Kelihatan sekawan burung yang sedang terbang membelah awan  dengan tenang. Orang menyangkakan alangkah bahagianya hidup mereka sekiranya hidup ini tanpa rintangan seperi burung yang terbang bebas di awanan atau pun seperti ikan yang bebas merentasi lautan. Namun, manusia terlupa bahawa hidup tidak pernah lekang daripada ujian, sama ada haiwan mahu pun insan. Cuma bagaimana untuk kita berdepan dan mengatasi ujian itulah yang menjadi titik persoalan. Beberapa ketika pasti awan hujan akan mulai membasahi bumi.

Hope fades as the sunshine fades

Aku mengambil keputusan untuk beransur pergi. Mencari tempat teduh sebelum rintik-rintik hujan mula membasahi bumi. Namun, persoalan mengenai masa depan untuk aku dan mereka-mereka yang bakal meneruskan kehidupan masih lagi buntu mencari jawapan.

Yang pastinya kehidupan pasti perlu diteruskan, semalam adalah kenangan, hari ini adalah kenyataan dan hari esok adalah pengharapan. Rancanglah sebaik mungkin untuk menulusuri segenap ruang kehidupan, namun disebalik perancangan kita terdapat perancangan yang lebih besar dan terbaik. Semoga sinar hari-hari mendatang akan lebih berseri daripada hari-hari yang sebelum ini…

 

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on May 28, 2013, in ~Coretan~ and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: