Ibrah Pengorbanan nabi Ibrahim ke atas anaknya

Hari Raya E’id Adha atau lebih sinonim dengan gelaran Hari Raya Qurban di sambut dengan dua peristiwa yang berbeza umumnya, sementara sebahagian Umat Islam menyempurnakan kemuncak Rukun Islam, mengerjakan Ibadah Haji bagi mereka yang diberi ruang dan peluang oleh ALLAH swt dan bagi mereka yang masih belum berkesempatan untuk melaksanakan ibadah Haji, menyambut perayaan ini dengan dengan mengadakan Ibadah Qurban di kawasan tempatan.

Menulusuri kisah terjadinya Ibadah Qurban ini bermula pada zaman Nabi Ibrahim a.s. Allah swt berfirman dalam surah as-Saffat:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

“Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Ibrahim berkata “Wahai anakku! Sesugguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang telah diperintahkan  (ALLAH) kepadamu; dengan kehendak ALLAH, engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.”

(as-Saffat; 102)

Kisah ini di sebut berulang-ulang kali menerusi khutbah Hari Raya, khutbah Jumaat, melalui tazkriah dan kuliah-kuliah serta turut dimuatkan dalam beberapa rancangan yang di paparkan di kaca televisyen. Bahkan mungkin ada yang sudah dapat menjangkakan apakah intipati tazkirah dan kuliah semasa pra dan pasca Hari Raya Qurban ini. Walau acap kali kita mendengar huraian dan penjelasan daripada para asatizah,  namun persoalaannya sejauh manakah penghayatan dan kesedaran kita kepada kisah ini? Bagaimanakah penerimaan ibrah ini kepada diri kita?

Saya bukanlah insan yang selayaknya untuk membahaskan dengan terperinci mengenai perkara ini. Cuma apa yang dapat saya selitkan adalah beberapa penambahan kefahaman yang telah disampaikan dari golongan asatizah yang mungkin dapat disedari bila mana kita menghayati dan menelusuri kisah ini daripada beberapa sudut yang berbeza.

Ayat 102, surah as-Saffat merupakan ayat yang terpanjang daripada 182 ayat keseluruhannya. Menulusuri sepotong ayat ini dapat mendatangkan kita kepada beberapa Ibrah untuk menjadi pedoman kepada kita dalam menempuhi kehidupan seharian.

Dialog antara seorang bapa, Ibrahim dan puteranya, Ismail yang membicarakan tentang perihal keimanan. Persoalan keimanan yang sewajarnya menjadi antara tiang asas yang perlu dipasakkan dalam diri seorang anak, yang mana tugasnya adalah terletak di atas bahu orang tua, bukannya kepada guru mahupun cikgu di sekolah. Tidak salah untuk meminta pertolongan mereka untuk memberi kefahaman agama kepada anak-anak, namun pokok pangkalnya tugas ini bermula dengan kesedaran dalam sanubari orang tua.  Dalam konteks ini adalah perbincangan antara seorang bapa kepada anaknya. Reality pada hari ini, berapa ramaikah bapa mahu pun orang tua yang menyoal tentang persoalan keimanan kepada anak-anak mereka? Adalah tidak wajar menswastakan pendedahan iman kepada pihak luar sedangkan ibu bapa berlepas tangan.

Dalam sisi pandang yang lain pula dapat dilihat bahawa Nabi Ibrahim a.s. telah bermimpi bahawa Baginda menyembelih anaknya, dan dalam sebahagian riwayat yang lain menyebut Baginda bermimpi akan perkara yang sama sebanyak 3 kali. Namun, walaupun telah meyakini bahawa mimpi itu adalah wahyu dan perintah dari ALLAH swt, namun baginda masih lagi meminta pandagan dan pendapat daripada anaknya, Ismail. Dalam konteks masyarakat pada hari ini, berapa ramaikah orang tua atau pun bapa yang menggunakan jalan diplomasi dan membuka ruang untuk mencungkil pendapat dan pandagan dari anak-anak mereka dalam menetapkan sesuatu keputusan? Adakah hanya kerana mereka adalah BAPA, mereka menggunakan sifat autokrasi mahu pun kuku besi dalam melakukan sesutau tindakan kepada anak-anak mereka? Lebih-lebih lagi dalam arus kehidupan hari ini yang sarat dan padat dengan urusan mencari rezki demi sesuap nasi adakah budaya ini masih lagi diamalkan? Reality ini bukanlah suatu sunnah yang mudah untuk dilaksanakan. Namun sewajarnya perlu mula untuk dicorakkan andai belum lagi terlaksana.

Sekadar gambar hiasan

Dalam sisi padang pada lughah yang diguanakan adalah ‘Ya Bunayya’ yang mana jika diterjemahkan dalam bahasa Arab adalah bermaksud memanggil dengan gelaran “Hai anak kesayanganku”. Walaupun tampak seperti perkara yang remeh, namun penggunaan bahasa dalam institusi kekeluargaan memainkan peranan yang penting dan memberikan kesan yang mendalam. Lebih-lebih lagi dewasa kini, sedar mahu pun tidak ramai di kalangan anak-anak yang sangat dahagakan kasih sayang daripada orang tua mereka berbanding dengan harta benda. Tidaklah akan menjatuhkan maruah mahu pun ego seorang bapa bila memanggil anak dengan istilah anak kesayangan. Walaupun nampak janggal dan pelik bila diucapkan, namun tidak salah sekali-sekala ia diungkapkan lebih-lebih lagi dari seorang bapa.

Sementara kemuncak ibrah yang dapat ditelusuri dalam kisah ini merupakan PENGORBANAN hakiki. Nabi Ibrahim a.s. telah menempuhi pelbagai ujian dan cabaran  secara dalaman dari keluarganya sendiri mahupun tentangan dari kaumnya. Bukanlah Allah swt Yang Maha Penyayang mahukan Nabi Ibrahim a.s. menyembelih anaknya, tetapi adalah ingin melihat sejauh mana kecintaan Baginda kepada ALLAH swt mengatasi segala-galanya. Dan dalam ayat 107, surah as-Saffat ALLAH swt telah menggantikan dengan haiwan sebenar untuk disembelih. Sesuggunhnya cinta yang hakiki adalah bilamana meletakkan TUHAN di tempat yang tertinggi, mengatasi kepentingan diri sendiri. Ini bukanlah satu perjalanan yang mudah, namun hakikatnya kecintaan yang abadi ini perlu dilatih dan disemai dalam diri, perlu dipupuk pada dasar sanubari.

Pengorbanan yang sejati menagih daripada keikhlasan yang terpasak di dasar hati. Amat malang pada hari ini bila mana ramai di kalangan umat Islam yang berkemampuan mencontohi qurban seperti Nabi Ibrahim a.s., namun hakikatnya falsafah kefahaman pengorabanan hakiki  yang gersang dan tandus, maka terhasillah tujuan pensyariatan qurabn yang tidak mencapai matlamat asalnya. Tambahan pula, bila mana tujuan pengorbanan itu secara sedar mahu pun tidak di tambat dengan perasaan megah dan bangga diri, melihat kepada kuantiti, memandang kepada kelebihan diri.

Bila mana niat asal telah mula tersasar, maka carca marbalah pengakhirannya.  Jadilah kadang kala majlis qurban yang hanya untuk bermegah-megah mahupun sekadar mengagihkan daging, sedangkan falsafah sebenar perjuangan dan pengorbanan kian pudar dan terpadam. Moga kita terselamat daripada perkara yang demikian.

Qurban Dunia, Kaya Akhirat

Pengorbanan bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi bila mana pengorbanan itu disandarkan pada jiwa dan harta. Berqurbanlah di atas kemampuan dan kapasiti yang termampu sementara masih berada di atas sini, dalam usaha untuk mengumpul bekalan dan meraih kekayaan  untuk menuju ke  sana, demi meraih keredhaan dan cintaNya, kerana dialah pemilik cinta yang Maha Sempurna. Luaskanlah persepsi pengorbanan, bukan hanya berkisar kepada jiwa dan raga, bukan hanya tertumpu pada harta dan benda, tetapi meliputi segenap ruang aspek kehidupan, walau mungkin tampak kecil pada penilaian kita, moga diterima Yang Maha Esa.. Mudah-mudahan..

~SELAMAT HARI RAYA ‘EID ADHA~

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on October 27, 2012, in Tinta kehidupan and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: