Aku bukan anak yang baik, tapi…

Aku duduk termangu keseorangan, terleka dan termenung seketika. Menghamparkan pemandangan jauh ke sekeliling tasik. Walau di kelilingku kelihatan dipenuhi dengan gelagat manusia yang pelbagai, kedengaran tawa ria kelincahan si anak kecil, ada pasangan yang baru berkahwin menikmati kala senja petang bersama, dan pelbagai lagi yang begitu menghiburkan, namun pandanganku kosong..

Teringat pesan emak yang saban hari kelihatan tidak tertanggung lagi derita yang menimpa. Wajah tua itu sentiasa manis dan gembira bila aku pulang ke desa untuk bersua muka dengannya, walau di benak hatinya penuh derita. Tapi kadang kala, penderitaan yang ditanggung tidak mampu di hadapi dengan keseorangan. Bila mana menerima panggilan telefon menceritakan apa yang menimpa hanya sekadar untuk meluahkan derita kepada anaknya, acap kali air matanya jatuh bercucuran, suaranya teresak-esak menahan tangisan, nafasnya sesak menahan kesempitan di dada.. Itulah sifat emak yang kadang-kala aku sendiri turut tidak mampu untuk menahan kesedihan yang menimpa.

Apa yang membuatkan aku teringat dan pasti tidak akan ku lupa selamanya bila mana emak berpesan pada ku:

Walau apa jadi pon pada emak, emak dah tak harap lagi pada ayah, emak dah  tak sanggup untuk bersama lagi kalau ayah masih tetap dengan pendiriannya. Bagi emak, sekarang kekuatan emak hanya pada anak-anak.. Kasih-sayang anak-anak sudah cukup untuk membahagiakan emak..

Begitu tabahnya seorang emak menghadapi ranjau kehidupannya. Lebih berbangga dan sedih dengan sifat emak bila dia berpesan lagi pada ku:

Walau apa yang jadi antara mak dan ayah. Jangan jadi kurang ajar dan biadap dengan ayah. Ingat, itulah ayah korang. Tunaikan tanggungjawab korang sebagai anak pada ayah, tapi kasih-sayang tu terpulang pada korang. Tanggungjawab itu adalah wajib dilaksanakan, tapi kasih-sayang hanya dapat lahir dari keikhlasan…

Mengimbau kembali peristiwa ini, pasti membuatkan aku sedih. Mustahil untuk aku katakan andai aku tidak pernah menangis merintih atas apa yang berlaku. Puas aku mencari rasional atas apa yang berlaku, namun fikiranku buntu. Semakin banyak persoalan yang aku cuba rungkaikan, semakin banyak permasalahan yang hanya menemui jalan buntu. Namun, aku tidak mahu menangis dan berkongsi di hadapan teman dan rakan. Bagi ku, biarlah permasalahan ini aku yang hadapi dan atasi. Dan aku ada cara tersendiri untuk menyelasaikan masalah ini. Lain orang lain ragam, lain insan lain peel..

Kebobrokan yang melanda kadang-kala begitu merunsingkan benakku. Kadang-kala aku tidak dapat menumpukan tumpuan ku ketika berada di dalam kuliah. Jasadku sahaja yang tampak khusyuk, sedang fikiranku jauh melayang memikirkan masalah yang di hadapi di teratak using di desa. Kadang-kala aku tekad untuk membatalkan kuliahku untuk pulang ke teratak usang ku hanya ingin melihat keadaan emak yang begitu sengsara emosinya. Walau kadang-kala aku sedar bila aku pulang, aku tidak mampu untuk menyelesaikan masalah, namun cukuplah bagi ku untuk aku pinjamkan telinga kepada emak mendengar luahan deritanya, menabur sedikit kata semangat kepadanya.

Bukan adik-beradik ku yang lain tidak mahu membantu mengatasi masalah ini, namun mereka sudah buntu dan tiada jawapan kepada masalah yang melanda. Ada kalanya bila mana mereka cuba menegur peribadi ayah, hingga bertikam lidah dan bermasam muka tanpa bertegur sapa berminggu-minggu lamanya. Akhirnya mereka sendiri seolah-olah telah ‘pasrah’. Bukan mengalah bererti kalah, tapi mengalah untuk kebaikan..

Aku terus  berjalan keseorangan di sekitar tasik. Melangkah tanpa destinasi, di temani angin petang serta kelihatan awan kelabu yang mula berarak perlahan. Kedengaran kicauan burung yang berterbangan, gemersik daun yang sayup kedengaran bila angin mula bertiup. Suasana yang begitu mendamaikan namun minda dan emosi ku penuh kekusutan. Hapir setiap minggu di kawasan inilah tempat untuk aku melepaskan lelah, cuba untuk mencari ketenangan, serta cuba untuk mencari apa yang tersurat dan tersirat atas apa yang direncanakan Ilahi.

Seketika aku mengimbau kembali nostalgia lama. Segala pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan emak tidak ternilai harganya, tidak mampu di bayar dengan wang ringgit, tidak mampu di beli dengan emas permata dalam usaha untuk mendidik dan membesarkan aku.

Ketika aku masih lagi bayi, terlalu banyak pengorbanan dan perhatian yang diberikan pada ku. Aku dilahirkan dalam keadaan yang tidak cukup bulan. Walau sempurna pada anggota jasad, namun aku seringkali menghadapi komplikasi. Bila mana penyakit ku menyerang, emaklah yang akan bersusah-payah untuk menghantar aku ke klinik yang berdekatan walau kadang-kala hanya dengan manaiki bas awam sahaja. Kadang-kala arwah nenek akan menjadi peneman andai dia mempunyai kelapangan. Tatkala malam aku tidak lena dan sering kali menangis kerna kesakitan yang menyerang, emaklah yang akan bangkit dan berjaga sepanjang malam untuk menjaga ku.

Ketika aku masih lagi di tadika, saban pagi dengan lunak dia akan membangkitkan aku dari lena. Kemudian membuat persiapan untuk aku ke tadika. Di sisir rapi rambutku, di gosok kemas bajuku, usai daripada bersarapan pagi, lantas dia akan menghantar ku ke tadika dengan basikal tuanya, dan bila pulang dari sekolah, dia jualah yang akan menjemput aku dengan basikal tuanya. Tidak pernah ia merungut walau pun cuaca terik dengan matahari tegak di atas kepala. Namun wajah yang manis di hamparakan dan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya..

Menjelang di sekolah rendah pula, aku mula belajar berdikari. Aku hanya berbasikal sendirian bersama teman bila ke sekolah. Namun kasih-sayang dan perhatiannya kepada ku tidak pernah berkurang. Segala persiapan untuk aku ke sekolah akan di berikan. Dan setiap kali aku ingin pergi ke sekolah pasti dia akan memberikan nasihat kepada ku supaya bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Itulah pesannya kepada ku yang hingga kini aku tidak akan lupakan..

Terlalu banyak pengorbanan yang emak berikan kepada ku demi untuk membesarkan aku dan melihat aku menjadi dewasa. Jika ingin disenaraikan, pasti tidak akan mampu untuk aku nyatakan..

Keluarga yang dulu aku sendiri pernah bahagia bersama, mungkin kini kebahagiaan itu hanya tersimpan dalam memoir indah. Walau mungkin aku Nampak bahagia bila bersama dengan keluarga, tetapi sering kali aku rasakan segalanya tidak ubah seperti retorik, hanya lakonan semata.

Kata-kata emak tentang Kasih-sayang anak-anak sudah cukup untuk membahagiakan emak.. sering bermain ditelingaku. Aku sedar bahawa tugas dan tanggungjawab ini bukanlah suatu yang mudah. Namun itulah hakikat yang aku perlu bersedia di masa depan. Tugas yang berat ini membuatkan aku mula merenung panjang. Mampukah aku untuk memberikan kasih-sayang yang secukupnya kepada emak? Adakah aku sanggup untuk memberikan perhatian dan menjaga emak seperti mana sempurnanya kasih emak ketika mendidik dan membesarkan aku? Semua itu tiada jawapan yang pati untuk aku katakan.

Dengan adanya seorang adik di bawahku yang masih lagi belajar di sekolah rendah. Tanggungjawab aku semakin berat dan besar. Seolah terasa beban batu besar mula menghempap dada. Sebagai sseorang abang, aku yang bertanggugjawab ke atasnya kelak jika sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.  Kadang-kala aku merasa sedih bila mengenangkan nasib yang bakal dia hadapi andai jika benar ditakdirkan ayah ‘tiada’. Apalah daya seorang anak kecil yang masih belum mengenal erti kehidupan untuk menempuh dugaan seperti ini. Namun jika inilah perancangan Ilahi, aku redha dan aku perlu menerimanya dengan tabah dan sabar. Mungkin hikmahnya aku tidak temui pada hari ini, mungkin jua bukan hari esok, tapi mungkin aku temui pada kehidupan yang akan datang.

Aku tekad untuk tabah dan sabar dalam melalui ranjau kehidupan. Langkah ku tidak akan terhenti di sini. Mungkin sudah cukup puas aku mengalirkan air mata, merintih atas apa yang yang berlaku. Semalam adalah sejarah silam, hari ini adalah kenyataan, esok adalah harapan mendatang. Semalam mungkin adalah lembaran sejarah, sementara esok pula adalah kisah kehidupan yang berbeza dalam menjadikan aku seorang insan yang matang dan dewasa kelak.

Semoga aku dapat memenuhi pesan emak kepada ku andai sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku…

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on October 14, 2012, in ~Coretan~. Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. Hargailah mereka sementara kita masih boleh melihat mereka kerana jika mereka sudah tiada, kita tidak akan dapat melihat wajah mereka cuma doa dari anak yang soleh dan solehah sahaja yang sampai kepada mereka di alam sana, dan kita belum pasti akan menjadi anak yang soleh dan solehah itu…

    • Insya allah..
      doa dari anak tu sangat penting, sdgkn Nabi terdahulu pon mendoakan kebaikan utk kaum keluarga mereka walaupon mereka tidak Islam.. cumanya sy bukanlah org yg begitu tabah dan sabar, tp sy akan cuba yg terbaik utk menjadi sabar dan tabah seperti mereka..
      Terima kasih atas nasihat…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: