Karena Kesungguhannya dalam usaha menggenggam dan menyampaikan kebenaran..

Kisah Isra’ Mi’raj merupakan kisah yang acap kali kita dengari, lebih banyak peristiwa dan ‘ibrah yang akan dapat kita selami bila mana tibanya 27 Rejab pada setiap tahun Hijrah.

Namun, pada kali ini mungkin saya akan cuba untuk berkongsi sedikit sebanyak tentang Isra’ Mi’raj ini daripada sudut pandang yang berbeda. Bukanlah untuk mencari popularity tapi ingin membuka ruang kotak minda kita melihat peristiwa agung lagi besar ini daripada sudut yang berbeza.

Kita lihat secara ringkas definisi Israk dan Mi’raj ini. Arti kata Israk dalam kitab-kitab Islam yang biasa digunakan ialah ‘perjalanan Nabi Muhammad saw dari Masjid al-Haram (Makkah) ke Masjid al-AQsa (Palestin) pada waktu malam’ (al-Isra’: 1)

Manakala arti mi’raj yang biasa digunakan dalam buku-buku Islam adalah perjalanan Nabi saw dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) hingga ke langit ke-7  dan terakhir di Sidratul Muntaha. Perjalanan ini bermula dari Masjid al-Aqsa di Palestin naik ke alam atas melalui beberapa planet yang bertingkat lalu naik lagi ke atas Baitul Ma’mur ke Sidratul Muntaha dan akhirnya di ‘Arasy Allah. Di sini Nabi saw menerima perintah mendirikan untuk mengerjakan solat 5 waktu sehari semalam.

Namun, definisi ini sudah lazim kita dengar, namun bagaimana dengan penerimaan kita kepada perkara ini? Benar ini adalah perkara Sam’iyat dan Ghaibiyat yang tidak dapat diterima dek akal yang waras. Namun dalam masa yang sama pelbagai saintis daripada barat telah mengkaji perkara ini secara tidak langsung bagi membuktikan kebenarannya. Bagi mereka yang yang secular dan memisahkan tuhan dalam kehidupan mereka, sedaya upaya mereka akan cuba untuk membuktikan sesuatu perkara sehinggalah dapat dicerap dengan mata kepala dihujahkan dengan kajian saintifik barulah mereka dapat menerimanya.

Wormhole

wormhole.html

Tetapi berbeda pula dengan apa yang berlaku dengan para sahabat Nabi saw seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Ketika baginda saw menceritakan kepada kaumnya bila mana Nabi saw telah di Isra’ Mi’raj oleh Allah pada sebelah malam harinya, pelbagai reaksi oleh penduduk Makkah. Sebahagiannya ada yang mengejek, bertepuk tangan, dan ketawa terbahak-bahak mendengar perkataan Nabi saw.

Lalu Abu Jahal berkata kepada Abu Bakar:

“Hai Abu Bakar, bagaimanakah pandanganmu tentang perkataan sahabatmu yang paling kamu cintai itu, semalam dia berjalan pergi ke Baitulmuqaddis dan pagi ini sudah berada bersama kita di Makkah?”

Abu Bakar menjawab:

“Apakah dia berkata demikian?”

Abu Jahal:

“Ya, dia benar-benar berkata begitu di hadapan orang ramai di masjid. Kami berharap engkau dapat datang ke masjid dan mendengar sendiri perkataannya.”

Abu Bakar:

“Sekiranya betul dia berkata demikian, dia memang benar dan tidak akan berdusta.”

Abu Jahal dan kawan-kawannya berkata:

“Apakah engkau membenarkan perkataannya semalam  dia pergi ke Baitulmuqaddis dan sebelum menjelang pagi dia sudah kembali ke Baitullah di Makka?”

Abu Bakar menjawab:

“Ya, Aku membenarkan perkataannya dan aku akan membenarkan dia meskipun lebih jauh daripada itu. Aku akan membenarkan berita dari langit sama ada pada waktu pagi mahupun pada waktu petang yang datang daripadanya.”

Begitulah tingginya keimanan Abu Bakar kepada Allah dan RasulNya. Lantaran itu, ada yang mengatakan kuniyah (gelaran) yang diberikan kepada Abu Bakar adalah as-Siddiq (membenarkan) karena dia membenarkan segala apa yang diperkatakan oleh Nabi saw walaupun di saat masyarakat sekeliling Nabi saw menafikannya.

Jika kita berada ketika itu bersama Rasulallah saw, di pihak manakah kita?? RENUNGKAN….

Menyingkap ke belakang semula, pakar-pakar sejarah berselisih pendapat tentang bilakah berlakunya peristiwa Isra’ Mi’raj ini. Ada yang yang mengatakan pada 27 Rabi’ul Akhir, ada yang mengatakan pada 27 Rabi’ul Akhir, ada yang mengatakan pada 17 Rabi’ul Akhir. Ada yang mengatakan pada 29 Ramadhan , dan yang mengatakan pada 27 Rejab  dan lain-lain. Namun, sebahagian besar bersetuju mengatakan ia berlaku pada 27 Rejab tahun ke-11 kenabian.

Tahun sebelum itu, pelbagai ujian, mehnah, dugaan dan cabaran yang ditimpa Nabi saw ketika menyampaikan dawah Baginda saw ketika di Makkah. Selepas dibebaskan daripada pemulauan penduduk Makkah ke atas Nabi saw, Allah terus menguji Nabi saw.

Khadijah, isteri kesayangan Nabi saw telah meninggal dunia. Sangat besar jasa isteri baginda dalam usaha untuk membantu pengembangan dan penyiaran dawah Islam selama 10 tahun di Makkah. Tidak lama selepas itu, Abu Talib pula meninggal. Nabi amat menyayangi Abu Talib kerana dialah satu-satunya bapa saudara Nabi sw yang sangat berjasa kepada baginda saw, sama ada ketika Nabi saw masih kecil mahupun setelah diangkat menjadi Rasulallah saw. Kerana telah kehilangan 2 orang tulang belakang kepada perjuangan Nabi saw, nabi berasa amat berduka dan bersedih yang berpanjangan, dan di namakan tahun itu adalah Amul Huzn, ‘Tahun Berdukacita’. Dalam kitab sirah menyebut perbezaan hari antara kematian 2 orang yang paling dicintai Nabi saw adalah 35 hari.

Bertambah kedukaan baginda saw bila mana bapa saudaranya, Abu Talib menghembuskan nafas terakhirnya bukan dalam keadaan beragama Islam.

Allah swt menurunkan wahyu kepada baginda  saw:

“Sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) tidak kuasa untuk memberi hidayah petunujuk kepada sesiapa yang kamu kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang bekruaksa untuk memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturannya) dan Dialah jua yang mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)

(al-Qasas: 56)

Setelah kewafatan Abu Talib, maka tentangan kepada Nabi saw bertambah hebat. Ketika Baginda saw sedang berjalan disebuah lorong di Kota Mekah, Baginda saw diejek dan dihina sehinggakan kepala Baginda saw ditaburkan dengan pasir. Walaupun begitu, Baginda saw tetap meneruskan perjalanannya sehingga tiba di rumahnya. Melihat kepada keadaan Baginda saw, puteri Baginda, Fatimah menangis sambil membersihkan kepala Baginda saw. Dengan penuh ketabahan, Rasulullah saw berkata kepada puterinya:

“Wahai puteriku, janganlah kamu menangis kerana sesungguhnya Allah akan melindungi ayahmu ini.”

Kemudian, wahyu diturunkan kepada Nabi saw perintah berhijrah  dan ketika berhijrah di Thaif, baginda saw bersama Zaid bin Harithah pergi ke Thaif.

Amat mendukacitakan bila mana dawah Baginda saw di Thaif diterima bahkan dihalau keluar bersama dengan Zaid bin Harithah. Orang-orang disuruh berkumpul  dan berbaris di kiri dan kanan jalan yang dilalui Nabi saw sambol mencaci maki dengan perkataan yang keji dan mendustakan Nabi saw.  Pemeritah dan orang yang berkuasa di Thaif menyuruh agar mereka melemparkan pasir dan batu ke  arah Nabi saw dan Zaid bin Harithah.

Akibat lemparan itu, kedua-dua kaki Nabi saw luka dan mengeluarkan darah manakala Zaid pula cedera di kepala. Walaupun penduduk Thaif melihat Nabi saw dan Zaid bin Harithah cedera, mereka tetap dengan perbuatannya  sehingga Nabi saw terpaksa berjalan dengan merangkak kerana menahan  kesakitan. Melihat  Nabi saw berjalan dengan terengsot-engsot dan merangkak, mereka mengejak, mentertwakan dan mencaci maki Nabi saw.

Kemudian Nabi saw berehat di sebuah kebun milik ‘Utbah bin Rabi’ah. Kelihatan seorang lelaki bersembunyi di sebuah kebun anggur dengan penuh kelelahan. Kedua-dua kakinya basah dengan darah dek kerana luka. Dari wajahnya terpancar kesedihan yang mendalam. Usahanya selama 10 hari ternyata sia-sia belaka. Dengan mata berkaca-kaca beliau berdoa:

“Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan kelemahan-kelemahanku, ketidak berdayaanku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai yang Maha Pengasih di antara yang mengasihi! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau hendak menyerahkan diriku? Kepada orang-orang asing yang bermuka masam terhadapku atau kepada musuh yang Engkau takdirkan akan mengalahkanku?”

“Ya Allah, kepadamu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya! Arhamarrahimin! Engkaulah tuhan orang yang ditindas. Engkaulah tuhanku. Kepada siapalah engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang menguasai aku? Sekiranya engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiatmu sudah cukup buatku. Aku berlinding dengan nur wajahMu yang menerangi segala kegelapan dan teratur diatas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada engkau menurunkan kemarahanMu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. KepadaMulah aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada sebarang daya(untuk melakukan Kebaikan) dan tiada upaya(untuk meniggalkan kejahatan) kecuali denganMu.”

“Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah  teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau.”

“Hal itu tidak aku risaukan, jika Engkau tidak murka kepadaku. Namun, rahmat-Mu bagiku amat luas. Aku menyerahkan diri pada cahaya-Mu yang menerangi segala kegelapan dan menentukan kebaikan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung dari murka-Mu. Aku senantiasa mohon reda-Mu. Kerana tidak ada daya dan kekuatan kecuali atas perkenan-Mu.”

Doa ini merupakan rintihan Nabi saw yang penuh dengan kata-kata yang penuh pengertiannya. Jika direnungi dalam-dalam doa ini, dan kita bacakan pada sebelah malam tatkala kita sedang bersamaNya sambil mengingati peristiwa yang menimpa Nabi saw pasti kita akan mengalirkan air mata…😥

Lalu, Nabi saw bersama Zaid bin Harithah pulang menuju ke Makkah. Ketika baginda saw mahu beredar dari situ, Jibril datang dengan diiringi oleh malaikat penjaga gunung. Jibril as berkata kepada Nabi saw:

“Wahai Rasulallah! Sesungguhnya Allah mendengar perkataan kaummu kepadamu dan penolakan mereka kepadamu. Dia mengutuskan malaikat penjaga gunung kepadamu supaya kamu perintahkan kepadamu supaya kamu perintahkan kepadanya apa yang kamu kehendaki ke atas mereka (kaum Bani Tsaqif).

Malaikat penjaga gunung berkata:

“Ya Rasulallah! Sesungguhnya Allah swt mendengar perkataan kaummu dan aku adalah malaikat penjaga gunung. Sesungguhnya Dia mengutuskanku kepadamu supaya kamu perintahkan kepadaku apa yang kamu kehendaki. Sekiranya engkau mahu supaya melipatkan gunung yang besar ini ke atas mereka, tentu aku lakukan (Gunung Abu Qubais dan Gunung Qa’aiqa’an)

Nabi saw menjawab:

“TIDAK! Sesugguhnya aku berharap mudah-mudahan Allah swt memberikan kepada mereka keturunan yang menyembah Allah swt dan tidak menyukutukanNya dengan sesuatu pun.”

Jibril berkata:

“Sesugguhnya Allah swt memerintahkan supaya aku mengikuti kemahuanmu ke atas kaummu kerana perbuatan mereka kepadamu!”

Nabi saw menjawab sambil berdoa:

“Ya ALLAH! Engaku tunjukkan (jalan yang lurus) kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Begitulah mulianya sifat Nabi saw kepada umatnya. Betapa Nabi saw mencintai dan mengasihi umatnya hatta bila mana dirinya telah disakiti hingga berdarah, namun masih lagi dapat memaafkan bahkan mendokan kebaikan dan kesejahteraan ke atas mereka.

Jika dibandingkan dengan diri kita, jika telah dilakukan oleh sedemikian rupa ke atas kita, maka apakah pula tindakan kita? Apatah lagi bila mana malaikat telah datang dan akan mendengar segala permintaan kita di atas izinNya. FIKIRKAN..

ALHAMDULILLAH, berkat dengan doa Nabi saw dan dengan izin Allah swt, maka pada hari ini, bumi Thaif telah berkembang subur dengan ajaran Islam.. ALHAMDULILLAH..

Itulah cita-cita dan impian besar Nabi saw yang merupakan seorang pendawah yang amat mementingkan umatnya. Cita-cita dapatlah didefinasikan sebagai sesuatu yang bermain dalam kotak fikiran kita. Tatkala siang kita akan sibuk memikirkannya, tatkala malam pula akan termimpi akannya. Dan sebagai seroang pendawah, golongan ini seperti Nabi saw akan merasa sedih selagi mana matlamat dan tujuannya belum terlaksana lagi. Pasti segala jalan yang mampu dilalui dan ditelusuri akan diusahakan untuk memastikan agar matlamatnya tercapai.

Kisah yang berbeda tapi mempunyai sifat yang sama dalam diri seorang pendawah yang diceritakan di dalam surah Yaasin, Allah swt berfirman:

“Dan (semasa rasul-rasul itu di ancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: ‘Wahai kaumku! Turutilah Rasul-Rasul itu)”

(Yaasin: 21)

Lelaki beriman yang datang ini bukanlah seorang pembesar negara, orang kenamaan atau berpengaruh, sebaliknya Cuma manusia biasa yang beriman kepada Allah swt. Lelaki ini menyampaikan dawah kepada kaumnya setelah mana usaha dawah yang dilakukan oleh 3 orang Rasul sebelum ini kurang berjaya.

“Dan (apabila ditanya: ‘Sudahkah engkau menerima agama mereka?’ Maka jawabnya) ‘Mengapa aku tidak menyembah tuhan yang menciptakan daku dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?”

(Yaasin: 22)

Ayat ini menjelaskan pendirian lelaki tersebut terhadap kaumnya. Beliau menyatakan “..tidaklah harus bagiku menyembah melainkan tuhan yang menjadikan aku.” Inilah fitrah manusia. Fitrah manusia ialah percaya kepada tuhan yang menguasai alam dan sebagai Muslim adalah kita percaya bahawa Allah swt yang mencipta dan mentadbir sekalian alam ini.

“Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah swt? (Sudah tentu tidak, kerana) jika Allah swt yang Maha Pemurah hendak menimpkan daku dengan sesautu yang bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka jua tidak akan dapat menyelamatkan daku.”

Demikanlah beliau mengajukan persoalan-persoalan kepada kaumnya  yang enggan beriman kepada Allah swt. Di antaranya adalah beliau bertanya, adakah patut baginya mengambil tuhan selain daripada Allah swt?

Tambahnya pula, jika Allah swt menghendaki jika dirinya ditimpa kemalangan, maka dia tidak akan berhajat kepada pertolongan sesiapa pun, kecuali kepada Allah swt  sahaja. Tiada kuasa yang dapat memberikan manfaat atau mudharat melainkan dengan izinNya sahaja. Jika ditakdirkan beliau dihukum, maka itu adalah hukuman dariNya.

 

“Sesungguhnya aku (jika melakukan syirik), tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.”

(Yaasin: 24)

Lelaki itu berkata, jika beliau tidak beriman kepada Allah swt dan menyembah tuhan selain daripadaNya , maka pastilah dia berada dalam kesesatan yang nyata. Maka akan samalah dirinya dengan dengan kaumnya yang kufur ketika itu. Kerana itulah dia bermati-matian untuk mempertahankan keimanan tersebut.

“Sesungguhnya aku telah beriman kepada tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku).”

(Yaasin: 25)

Lelaki yang beriman itu menjelaskan bahawa bersungguh-sungguh dia beriman dengan tuhan para rasul yang telah diutuskan sebelumnya. Keyakinan ini adalah keyakinan yang mantap lagi solid dan pasti tidak akan dapat digoyangkan atau diubah lagi.

Akibat daripada tindakan dan ucapannya yang sangat berani itu, lalu dia terpaksa berhadapan dengan tentera negeri itu. Tentera yang kufur itu merebahkannya dan memijaknya secara beramai-ramai, bahkan menurut sebahagian mufassirin hatta terkeluarlah isi perutnya.

Demikanlah hebatnya ujian yang menimpa ke atas keimanan yang dizahirkannya. Namun, penyiksaan yang sangat dahsyat ini tidak berlarutan kerana selepas itu, telah datang kepadanya satu nikmat yang agung, iaitu syahid di jalan Allah swt. Teruslah ia masuk ke dalam syurga tanpa lagi melaui fitnah dan azab kubur.

Mungkin ada yang menyatakan bagaimana lelaki ini dapat mati syahid, sedangkan dia tidak berperang? Mereka menganggap hanya dengan perang sahajalah dapat memperolehi mati syahid. Fahaman seperti ini perlu diperbetulkan kerana dalam sepotong hadith, Nabi saw bersabda yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak yang bermaksud:

“yang menjadi penghulu orang yang mati syahid ialah Saiyidina Hamzah bin Abdul Mutalib ra, dan lelaki di kalangan umatku yang berdiri di hadapan pemerintah yang dzalim, lalu ia menyuruh kepada (beriman dan taatkan) Allah swt dan melarang daripada (menyekutukannya dan mengkufuri) Allah swt, lalu dia dibunuh (maka matinya adalah sebagai syahid)

Setelah dijemput menemui Allah swt di dalam syurga, lelaki yang beriman tersebut berterusan meneruskan dawahnya kepada kaumnya. Mungkin ada yang mempertikaikan, mana mungkin lelaki berkenaan akan terus bercakap dan berdawah sehinggalah masuk ke dalam syurga? Jawapannya, inilah orang yang berdawah semasa hidupnya dan akan terus berdawah setelah ia mati. Allah swt mengizinkannya untuk terus bercakap. Berkata lelaki itu:

“(setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: ‘Masuklah ke dalam syurga. (26) ia berkata: ‘Wahai mudah-mudahan kaumku  mengetahui bahawa aku sekarang sudah berada di dalam syurga. Dengan apa yang Allah swt telah ampunkan dosaku dan aku dijadikan daripada orang-orang yang dimuliakan oleh Allah swt. (27)

(Yaasin: 26-27)

“wahai mudah-mudahan” dalam bahasa Arab merupakan satu kalimah yang memberi makna tamanni, (suatu harapan yang tidak berhasil). Dia memohon kepada Allah swt agar supaya dapatlah kiranya kaumnya yang tidak beriman itu mengetahui akan kedudukannya selepas ia mati, ia telah dikurniakan syurga, tetapi Allah swt tidak menunaikannya kerana ia sudah terpisah daripada alam dunia.

Begitulah betapa suci murninya seorang pendawah yang sanggup meneruskan misi dawahnya kepada orang sekelilingnya. Meskipun dirinya disakiti hinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya, tidak pula ia menghamburkan kata-kata kesat ke atas mereka.

Bagaimana pula dengan usaha kita?
Moga dengan sedikit yang dikongsikan ini dapat memberikan kita kekuatan dan kesabaran dalam usaha untuk menyuburkan dawah di muk bumi ini agar ia terus subur lebih-lebih lagi adalah peringatan kepada diri sendiri ini.. insya allah…🙂

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on June 20, 2012, in Tinta kehidupan and tagged , , , , , . Bookmark the permalink. Comments Off on Karena Kesungguhannya dalam usaha menggenggam dan menyampaikan kebenaran...

Comments are closed.

%d bloggers like this: