Faedah Menyampaikan Ilmu

عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ عَنْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ غَيْرَهُ فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ. (الترمذي وأبو داود)

Dari Zaid bin Thabit r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Semoga Allah menyerikan wajah dan memperelokkan keadaan orang yang mendengar dari kami sebarang hadis lalu ia memeliharanya (dengan ingatannya atau dengan tulisannya), supaya ia dapat menyampaikannya (kepada orang lain); – kerana boleh jadi ada pembawa sesuatu hadis hukum kepada orang yang lebih faham daripadanya dan boleh jadi juga pembawa sesuatu hadis hukum itu, ia sendiri bukanlah seorang yang memahaminya.”

(Tirmizi dan Abu Daud)

Keterangan:- menyerikan’  mengelokkan akhlak dan meninggikan darjat

Hadis ini menunjukkan wajibnya menuntut ilmu (tafaqqah) bersungguh-sungguh mengkaji makna hadis dan merumuskan perkara yang tersingkap di sebalik suatu hadis

                                                                        ( ‘Aun al-Ma’bud)

Hadis yang ini menerangkan tentang:

(1) Kelebihan orang yang berkhidmat memelihara hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

(2) Orang yang menyampaikan hadis disyaratkan “Hafaznya” tidak disyaratkan “Fahamnya”.

Huraiannya;

(1) Kelebihan orang yang berkhidmat memelihara Hadis-hadis Nabi S.A.W.

Orang-orang yang memelihara hadis-hadis Rasulullah s.a.w. amatlah besar jasanya! Apabila mendengar sesebuah hadis,  mereka menghafaznya atau menulisnya dengan cermat,  kemudian mereka menghebahkannya dengan sepenuh tanggungjawab.  Ini bermakna mereka bekerjasama dengan Rasulullah s.a.w. menunaikan kewajipan dalam hal mengembangkan agama Islam yang dibawa oleh Baginda. Dengan yang demikian, sudah selayaknya perkhidmatan mereka mendapat balasan yang sebaik-baiknya.

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa perkhidmatan mereka dihargai oleh Baginda dengan mendoakan semoga Allah Taala menyerikan wajah mereka dan menjadikan mereka berpuas hati dengan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepada mereka di dunia dan di akhirat.

(2) Orang yang menyampaikan hadis disyaratkan menghafaznya dan memeliharanya betul-betul, tidak disyaratkan memahaminya.

Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. hendaklah disebarkan. Apa yang mesti disebarkan itu ialah kata-kata yang disabdakan oleh Baginda.

Ada pun tentang makna maksud hadis-hadis itu, terpulanglah kepada masing-masing memahaminya, kerana boleh jadi orang yang menyampaikan sesebuah hadis itu tidak memahaminya atau kurang mendalaminya, meskipun demikian, ia berkewajipan juga menyebarkannya. Dalam pada itu, boleh jadi orang yang disampaikan kepadanya itu boleh memahami lebih mendalam dari orang yang menyampaikannya.

Di sini aku sisipkan beberapa kisah yang mungkin dapat kita jadikan motivasi kepada motivasi kepada kita semua.

Secara hakikatnya, ramai di kalangan ‘ulama mu’tabar yang di kenali pada masa kini, yang mana ilmu mereka menjadi rujukan kita hingga sehingga ke hari ini. Sebagai contoh Imam Syafi’e, Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan ramai lagi.

Imam Malik merupakan seorang Imam besar dalam agama Islam yang mana aku yakini hampir setiap kita pernah mendengar dan mengenalinya. Dalam 1 riwayat disebut beliau mempunyai seorang guru yang sangat mu’tabar iaitu Imam Rabi’ah Ra’i bin Rauf. Rauf merupakan seorang mujahid yang akan berperang di jalan Allah swt untuk menegakkan kalimah Allah. Pada satu ketika sampai satu seruan jihad kepadanya di Asia Tengah,dan dia telah meninggalkan sebahagian duit kepada isterinya untuk membesarkan anaknya.

Nak dijadikan cerita setelah pergi ke medan perang, selama dekat 30 tahun dia tidak pulang. Selama tempoh itu jualah isterinya tidak berkahwin lain. Isterinya menggunakan duit yang dibekalkan oleh suaminya untuk membesarkan dan memberikan didikan agama yang cukup sehinggalah anaknya menjadi seorang ‘ulama besar ketika itu. Dalam tempoh selama 30 tahun ini jualah si anak ini, Rabi’ah Ra’i tidak pernah bertemu dengan bapanya.

Suatu masa, Rauf telah pulang semula ke rumahnya untuk bertemu dengan keluarganya. Rupa-rupanya selama ini dia telah ditangkap oleh pihak musuh dan semenjak daripada itulah berita mengenai dirinya tidak dapat dijejak. Alhamdulillah dia dapat bebaskan diri dan pulang ke rumah untuk bertemu semula dengan keluarganya kerana rumah keluargnya tidak berpindah dan tidak banyak perbezaan.

Bila masa Rauf masuk ke dalam rumah dia telah dihalau keluar oleh anaknya, Rabi’ah Ra’i kerana anaknya tidak pernah mengenali dan melihat rupa paras bapanya, dia menyangka bahawa itu adalah orang asing. Setelah kekecohan di dengar oleh ibunya, lalu ibunya bertanya apakah yang telah berlaku. Lalu, Rabi’ah Ra’i menerangkan kepada ibunya dan setelah itu ibunya menyelidiki dan membertitahu Rabi’ah Ra’i bahawa yang pulang itu adalah bapanya yang selama ini tidak pernah pulang. Lalu betapa gembira dan bersyukur mereka kerana dapat ditemukan semula. Indahkan susun atur rancangan Allah swt?

Tidak lama selepas itu, pada suatu pagi, Rauf telah pergi ke Masjid untuk solat subuh berjemaah dan usai daripada solat Subuh dia mendapati ada seorang ‘ulama yang memberikan kuliah jauh di hadapan sana dan dikerumuni oleh lautan anak murid. Rauf tidak dapat mengenali siapakah yang yang mengajarkan ilmu di depan sana kerana jaraknya yang jauh.

Lalu, Rauf pulang ke rumah dan menceritakan keadaan itu kepada isterinya. Isterinya menceritakan bahawa ‘ulama yang dikerumuni oleh lautan manusia itu adalah anak mereka , Rabi’ah Ra’i. SUBHANALLAH, alangkah terkejut dan gembiranya si ayah ini bila mendapat tahu perkara sebenar. Dia teringat bahawa dahulu sebelum dia pergi berperang dia telah meninggalkan sedikit wang untuk membesarkan anaknya, dan amanah itu dipegang oleh isterinya sehinggalah impiannya menjadi kenyataan. INDAHKAN? (Sumber cerita adalah daripada Ustaz Zahazan Muhamed)

Imam Syafi’e berkata, bahawa mengapakah murid lebih mahir daripada gurunya. Antaranya adalah :

–          Kerana kecerdikan

–          Tamak akan ilmu

–          Ijtihad (bersungguh-sungguh)

–          Berusaha pergi mendapatkan ilmu

–          Berkawan dan berdamping dengan orang berilmu

–          Memilki masa yang panjang menuntut ilmu

Begitu jua dengan dunia kita pada hari ini. Kita mendengar dan mengenali tokoh-tokoh besar dalam segenap bidang sama ada dalam bidang akademik, ekonomi, perundangan, agama dan sebagainya. Tapi adakah kit kenal siapakah guru kepada tokoh-tokoh besar kini?

Sebagai contoh, dalam fatwa dunia Islam, kita semua sedia maklum bahawa Ustz Dr Yusuf Qardhawi begitu faqih dalam menjelaskan perkara-perkara agama dalam fatwa yang kontemporari tapi adakah kita mengenali siapakah gurunya? Begitu jua di Malaysia, kita mengenal Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru Ustaz Dr Harun Din, Dr Ustz Dzuklifli al-Bakri, Ustz Zahazan Muhamed dan ramai lagi, tapi adakah kita mengenali guru-guru mereka? Mungkin antara faktor-faktor kefaqihan mereka dalam bidang tesebut adalah kerana seperti yang disebutkan oleh Imam Syafi’e di atas dan merupakan ni’mat Allah swt kepada mereka.

Bagaimana pula dengan keadaan kita pada hari ini? Mungkin kita ada sedikit ilmu dan mungkin yang sedikit inilah yang tiada pada orang lain? Jadi marilah kita bersama-sama berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja sama ada dalam ilmu akademik lebih-lebih lagi dalam ilmu agama. Mudah-mudahan dalam berkongsi ilmu dapat memberikan kita kefahaman yang lebih dalam sesuatu perkara dan dalam masa yang sama dapat lebih memberi kefahaman kepada orang lain.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat.”

(riwayat Bukhari)

Renungkan dan selamat beramal (。◕‿◕。)

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on March 19, 2012, in Tinta kehidupan. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: