Apa sahaja mukjizat yang dikurniakan kepada seorang nabi , dikurniakan juga kepada Nabi Muhammad SAW

Banyak keistimewaan mukjizat Rasulalllah SAW yang berlaku ke atas baginda. Ada di antaranya yang mendatangkan dan mencambahkan keimanan kepada mereka yang diberi hidayah olehNya dengan usaha mereka ingin kepada keimanan, malahan ada jua semakin bertambah kekafiran mereka setelah menyaksikan mukjizat yang berlaku di depan mata mereka.

Berikut adalah antara keistimewaan Rasulallah SAW menerusi mukjizatnya yang banyak. Rasulallah SAW dikurniakan dengan semulia-mulia dan sehebat-hebat mukjizat yang mengatasi para Rasul dan Nabi yang lain. Ada ‘ulama yang menyatakan “Dan mukjizat Rasulallah SAW itu banyak dan terang. Di antaranya adalah kalam Allah (al-Quran) yang melemahkan manusia.” Bahkan  ada ‘ulama yang menyatakan keagungan bahasa al-Quran adalah merupakan mukjizat yang ada pada al-Quran. Mereka yang betul-betul mahir dalam Bahasa Arab akan dapat menghayatinya. Maka, tidak hairanlah jika orang-orang arab yang sampai mengalir air mata  teresak-esak bila mendegar alunan bacaan al-Quran atau pun bila mereka membaca dengan lidah mereka sendiri.

 

Batu mengucapkan Salam Kepadanya

Daripada Jabir ibn Samurah berkata, Sabda Rasulallah SAW :

“Sesungguhnya aku telah mengenal sebiji batu di Makkah yang mengucapkan salam ke atas aku sebelum aku diutuskan dan sekarang aku masih juga mengenalinya.”

(Riwayat Muslim)

Manakala dalam hadis riwayat Imam al Tarmizi daripada Ali RA berkata :

“Ketika aku (Ali RA) bersama Nabi SAW di Makkah, kami keluar ke beberapa penjuru Makkah. Tidaklah bukit dan pokok menyambut akan kedatangan Baginda SAW melainkan dengan mengucapkan, “Salam sejahtera ke atasmu, wahai Rasulallah!”

 

Bulan Terbelah Dengan Isyaratnya

‘Ulama menyatakan bahawa keistimewaan terbelahnya bulan yang dianugerahkan kepada Rasulallah SAW merupakan antara tanda kenabian Baginda yang terbesar dan tidak boleh disamakan langsung dengan tanda para Nabi yang lain. Peristiwa ini disepakati oleh Ahli tafsir dan Sunnah ini berlaku di langit  yang berbeza daripada perkara semula jadi. Malah, tiada jalan untuk mendapatkannya walau dengan apa cara sekali pun. Oleh itu, pengkhususan ini menjadi bukti yang paling jelas dan nyata setelah diperkuat lagi dengan dalil daripada al-Quran dan Sunnah.

Ibnu al-Subki berkata di dalam kitab Syarah Mukhtasar Ibni al-Hajib :

“Pendapat yang sohih di sisiku, bahaw peristiwa terbelahnya bulan adalah mutawatir, dinaskan di dalam al-Quran, diriwayatkan di dalam Sohihain (al-Bukhari dan Muslim) dan lain-lainnya.”

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud :

“Telah hampir saat (kedatangan Hari Qiamat) dan terbelah bulan”

Daripada Ibnu Mas’ud r.a berkata :

“Telah terbelah bulan pada zaman Rasulallah SAW kepada dua belah; satu belah berada di atas bukit, dan satu lagi berada dibawahnya.” Maka Rasulallah SAW bersabda, “Saksikanlah!”

 

Air Terpancut Dari Celah Jari Jemarinya

Imam al-Qurtubi  menyatakan bahawa peristiwa terpancutnya air dari jari jemari Baginda SAW telah berlaku berulang kali di beberapa tempat dan di tempat-tempat yang menjadi tanda kebesaran Islam.

Beliau juga menyatakan bahawa mukjizat ini telah diriwayatkan dari banyak jalan yang kesemuanya menunjukkan ilmu yang qat’ei (putus) dan diambil dari hadith yang mutawatir maknawi. Bahkan mukjizat seperti ini tidak pernah didengari berlaku kepada nabi-nabi yang lain di mana air terpancut di antara tulang, daging dan darah Baginda SAW. SUBHANALLAH!!

Al-Muzani berkata : Terpancutnya air dari celah jemari Baginda SAW adalah lebih hebat dan lebih besar daripada mukjizat terpancutnya air dari celah-celah batu yang dipukul oleh Nabi Musa AS dengan tongkatnya, kerana keluarnya air dari celah batu merupakan perkara yang pernah berlaku.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Kemudian sesudah itu, hati kamu jua keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di celah-celah batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya.”

Berlainan pula halnya dengan keluarnya air dari celah daging dan darah.

Daripada Anas ra juga meriwayatkan :

“Sesungguhnya Nabi Allah SAW dan sahabat-sahabatnya pernah berada di Zaura. Maka Nabi SAW meminta sebuah mangkuk berisi air, lalu meletekkan tapak tangannya ke dalam mangkuk tersebut. Tiba-tiba terpancut air dari bawah jari-jemarinya. Lalu sahabat-sahabatnya berwhudu’ dengan air tersebut. Berkata Qatadah, “berapakah bilangannya ketika itu, wahai Aba Hamzah?” Jawabnya, “Mereka ketika itu mencecah 300 orang”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Saya berkata : Kisah terpancutnya air dari celah jemari Baginda SAW yang mulia telah berulang kali berlaku dan diriwayatkan di dalam banyak lagi hadith lain.)

Zaura’ adalah sebuah tempat di pasar Madinah.

Pelepah Tamar Menurut Perintahnya

Daripada Ibnu Abbas ra berkata : telah datang seorang Arab Badwi kepada Nabi SAW, lalu berkata :

“Dengan apakah saya boleh memastikan bahawa engkau adalah seorang Nabi? Sabda Rasulallah SAW, “Adakah setelah kamu melihat sekiranya aku mampu memanggil pelepah tamar dari atas pohon kurma ini, engkau akan bersaksi bahawa aku adalah Rasulallah SAW?” Orang Arab Badwi itu menjawab, “Ya.” Baginda SAW pun memanggil pelepah tamar tersebut dan ternyata pelepah itu turun dari pohon kurma dan gugur di atas tanah. Kemudian ia pun melompat-lompat sehingga berhenti dan berdiri di hadapan Baginda SAW. Nabi SAW bersabda, “Kembalilah engkau ke tempat engkau semula.” Maka ia pun kembali ke tempat asalnya dan Arab Badwi itu pun  memeluk Islam.

(Diriwaytkan oleh Ahmad dan al-Bukhari di dalam al-Tarikh, al-Tarmidzi dan al-Hakim mensohihkannya serta yang lain.)

Aku berkata : Peristiwa pokok menyahut seruannya dan sujud di hadapan Baginda SAW serta keislaman orang yang menyaksikannya banyak berlaku dan diriwayatkan tidak sekadar sepotong hadis.

Tanggal Kurma Menangis Merinduinya.

Menurut Qadhi ‘Iyadh : hadith kerinduan batang kurma terhadap Rasulallah SAW ini adalah masyhur di sisi ‘ulama  salaf dan tersebar di sisi ‘ulama khalaf. Khabar mengenainya adalah mutawatir dan dikeluarkan oleh pengarang-pengarang hadith sohih.  Hadith mengenainya diriwayatkan oleh belasan sahabat Baginda SAW. Di antara mereka adalah Ubai bin Ka’ab, Jabir ibn Abdullah, Anas bin Malik, Abdullah ibn Umar, Abdullah ibn Abbas, Sahl ibn Sa’ad, Abu Sa’id al-Khudri, Buraidah, Ummu Salamh dan Mutallib ibn Abi Wada’ah. Kebanyakan kisah mengenainya adalah sama, Cuma lafaznya sahaja yang berbeza.

Daripada Jabir ibn Abdullah ra berkata :

“Sebelumnya, Rasulallah SAW sring berdiri pada sebatang tunggul kurma (ketika berkhutbah). Tetapi setelah dibina untuk Baginda SAW sebuah mimbar (dan Nabi SAW berkhutbah di atas mimbar tersebut) kami mendengar suara tangisan tunggal kurma tersebut seperti teriakan unta bunting sepuluh bulan sehinggalah Nabi SAW turun dari mimbar tersebut, lalu meletakkan tangannya di atas tunggal tersebut maka ia pun berhenti menangis.”

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam sohihnya. Hadith ini mempunyai banyak jalan daripada Jabir, Buraidah, Aisyah, Ibnu Umar, Anas, Ubai ibn Ka’ab, Abu Sa’id al-Khudri, Ibnu Abbas, Ummu Salamah, Sahl ibn Sa’ad dan lain-lain.)

Mukjizat batang kurma menangis adalah lebih besar daripada menghidupkan mayat sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Syafi’e kerana rintihan dan tangisan seperti kanak-kanak  benda yang mati jauh lebih hebat dan pelik daripada mengembalikan kehidupan jisim yang pada asalnya sememangnya hidup dan akan kembali hidup setelah kebangkitan.

Berkata Abu all-Qasim al-Baghawi : Apabila al Hasan al-Basri menceritakan kisah batang kurma itu, beliau akan menangis lantas berkata :

“Wahai hamba Allah SWT! Batang kayu merintih kerana rindu terhadap Rasulallah SAW setelah berpisah dengannya, maka kalian adalah lebih berhak merindui pertemuan dengan Baginda SAW”.

Diriwayatkan oleh Abu Hatim al-Razi, seorang Imam yang alim, daripada Syeikhnya, ‘Amru ibn Sawad berkata : Imam Syafi’e berkata kepada aku : “Apa sahaja mukjizat yang dikurniakan kepada seorang nabi , dikurniakan juga kepada Muhammad SAW.”

Seseorang bertanya kepada beliau : “Dikurniakan kepada Nabi Isa as mukjizat dapat menghidupkan orang yang telah mati. Maka beliau berkata : Dikurniakan kepada Nabi SAW batang kurma menangis merinduinya. Maka ia adalah mukjizat yang lebih besar daripada itu.”

Mukjizat Nabi Isa as dalam surah ali-‘Imran ayat 49 :

“Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka) : “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat kamu daripada tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah is seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah SWT; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang yang mati dengan izin Allah SWT; dan aku juga boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perekara-perkara yang sedemikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang yang benar-benar (mahu) beriman.

 

Penyakit Sembuh dengan Keberkatannya

Daripada Hanzalah ibn Hazim as meriwayatkan :

“Bahawa Nabi SAW pernah menyapu kepala Hanzalah dengan tangannya dan bersabda kepadanya, “Semoga kau diberkati”. Berkata al-Zayyal, cucu Hanzalah dan perawi hadith daripadanya  : “Maka selepas itu aku melihat dibawa kepada Hanzalah seekor kambing betina yang bengkak teteknya, begitu juga unta dan orang yang kene dengan penyakit bengkak. Beliau berludah di atas tangannya dan menyapu dengan kepalanya sambil mengucapkan  “Bismillah di atas kesan sapuan tangan Rasulallah SAW” dan kemudiannya menyapunya. Setelah itu, beliau menyapu pada bahagian yang bengkak , maka bengkak itu pun hilang.”

(riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari dalam al-Tarikh, al-Baihaqi dan lain-lain)

 

Makanan Sentiasa Bertambah dengan Keberkatannya

Daripada Sumarah ibn Jundub berkata :

“Ketika kami bersama Rasulallah SAW, kami pernah bergilir-gilir makan dalam 1 dulang, dari pagi ke malam, setelah 10 orang berdiri 10 orang yang lain pula duduk untuk makan. Kami bertanya, “Daripada manakah makanan ini bertambah?” Sabda Baginda SAW, “Apakah yang menghairankan engkau? Tidaklah ia dilimpahkan melainkan dar sana.” Sambil tangan Baginda SAW menunjuk ke arah langit.”

(riwayat al-Tarmidzi, al-Hakim dan al-Baihaqi. Kisah ini banyak diriwayatkan dalm hadis sohihain (Bukhari & Muslim) dan lain)

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on February 8, 2012, in ~Coretan~. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: