Perspektif Perayaan Bukan Islam dalam Sebuah Negara Islam

DEFINISI NEGARA ISLAM

Negara Islam daripada segi kekuasaan dan hukum dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu:

  • Negara Islam dari segi realiti dan hukum

Negara Islam dalam bentuk ini merujuk kepada perkara dua perkara iaitu yang pertama, hukum-hukam Islam dikuatkuasakan dan yang kedua ialah kuasa pemerintahan berada pada tangan orang Islam.

 

  • Negara Islam dari segi hukum dan tidak pada realiti

Negara Islam dalam bentuk ini merujuk kepada negara yang dikuasai oleh hukum-hakam yang tidak Islam tetapi orang-orang Islam masih dapat melaksanakan sebahagaian daripada ajaran Islam dan sebahagian syiarnya. Termasuk dalam kategori negara Islam dari segi hukum ialah negara yang dikuasai oleh ahli-ahli bid’ah yang terkeluar daripada landasan ahli Sunnah wal Jama’ah atau negara yang dikuasai oleh orang-orang fasiq yang melaksanakan hukum-hakam ciptaan manusia sebagai ganti daripada melakukan hukum syariat, tetapi dalam masa yang sama memberi kebenaran kepada orang-orang Islam untuk melaksanakan syiar ibadah dan sebahagian hukum-hukum syara’ yang berkaitan dengan aspek kekeluargaan. Ibn Taimiyyah menamakan negara seumpama ini adalah negara fasiq.

Berdasarkan kepada keterangan ini, dapatlah disimpulkan Malaysia adalah sebuah negara Islam dari segi hukum kerana kuasa pemerintahan dipegang oleh orang Islam, manakala hukum-hakam Islam dilaksanakan tetapi tidak sepenuhnya, sebaliknya sebahagian sahaja tetapi tidak dapat dinyatakan sebagai sebuah negara Islam dari segi hukum jua realiti. Oleh kerana Malaysia diletakkan sebagai negara Islam dari segi hukum dan tidak pada realiti, menjadi kewajiban kepada pihak berkuasa dan umat Islam terutama sekali para ulama’ dan cendiakiawan Islam berusaha keras untuk memastikan hukum-hakam Islam berjalan sepenuhnya hingga melayakkan Malaysia dinamakan sebagai sebuah negara Islam dari segi hukum dan realiti.

 

HAK WARGA NEGARA BUKAN ISLAM

Hak warganegara bukan Islam berbagai-bagai. Antaranya adalah hak berbentuk kebebasan berpegang kepada agama dan kepercayaan sendiri dan negara tidak boleh memaksa mereka untuk memeluk agama Islam sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)…”

(al-Baqarah:256)

Warganeragara bukan Islam kekal dalam agama dan kepercayaan mereka. Begitu jua dengan rumah-rumah ibadah, gereja dan pengalaman terhadap upacara-upacara yang ada kaitan dengan agama mereka. Mereka boleh mengikut hukum-hakam agama mereka, ibadat dan sistem kekeluargaan seperti perkahwinan, penceraian dan jua perwarisan harta pusaka. Cuma mereka dikehendaki tunduk kepada sistem Islam yang tidak terdapat dalam agama mereka sendiri, walaupun diketahui dalam agama-agama laingit selain daripada agama Islam selain daripada Islam tidak terdpat sistem kehidupan yang berkaitan dengan siyasah, ekonomi, sosial, muamalat, dan jua kehakiman, yang lengkap dan sempurna seperti dalam agama Islam.

Dari segi layanan, warganegara bukan Islam dilayan sebagaimana jua warganegara bukan Islam. Rasulallah S.A.W. pernah ditanya tentang cara berusan dengan golongan Majusi, baginda bersabda dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Malik yang diriwayatkan menerusi Muhammad ibn Ali  daripada bapanya yang bermaksud :

“Berurusanlah dengan mereka sebagaimana berurusan dengan ahli Kitab”

Ketika umat Islam membentuk negara Islam pertama di Madinah, Rasulallah S.A.W sebagai ketua negara membenarkan orang-orang Yahudi terus berpegang dengan kepercayaan agama  mereka di Madinah dan Yaman, manakala orang-orang Kristian terus berpegang dengan agama mereka di beberpa wilayah terutama sekali di Najran. Dasar Rasulallah S.A.W ini diikuti oleh khalifah Abu Bakar selepas baginda. Beliau memerintahkan ‘Usman bin Zaid membiarkan masyarakat tempat beliau kuasai dengan aqidah dan kepercayaan mereka. Beliau jua memerintahkan agar para rahib yang sedang beribdah dalam gereja tidak dibunuh, sebaliknya dibiarkan terus beribadah sebagaimana sebelumnya.

Khalid bin al-Walid pula mengadakan perjanjian dengan penduduk Hirah. Di antara isi perjanjian tersebut ialah rumah ibadah, gereja dan jua kubu mereka tidak boleh diruntuhkan. Mereka juga tidak dihalang daripada membunyikan loceng gereja dan mempamirkan lambing salib pada hari raya mereka. Begitu jua yang dilakukan oleh khalifah Umar terhadap penduduk Parsi. Beliau pernah mengarahkan panglima Sa’ad ibn Abi Waqqas agar menjauhkan penempatan tenteranya dari kampung-kampung kepunyaan bukan Islam (ahli dhimmah) dan penduduk yang ada perdamaian dengan mereka dan negara mereka pula tidak dijadikan medan perang. Khalifah Umar r.a. juga memberi keamanan kepada penduduk Iliya’ terhadap diri, harta benda, gereja, dan salib-salib mereka dan mereka tidak sekali-kali tertdindas semata-mata kerana agama Kristian yang mereka anuti.

Layanan terhadap hak warganegara bukan Islam berterusan pada zaman pemerintahan Islam sehingga ke zaman pemerintahan Bani Umayyah , Bani al-Abbas, Kerajaan Fatimiyyah, Kerajaan Bani Ayyub,  dan Mamalik di Mesir dan jua kerajaan Turki Uthmaniyyah.

 

MENZAHIRKAN PERAYAAN BUKAN ISLAM OLEH WARGANEGARA BUKAN ISLAM

Dengan merujuk kepada pandangan ulama terdahulu, kita dapati mereka tidak membenarkan warganegara bukan Islam menzahirkan agama dan perayaan yang berkaitan dengan agama mereka dalam sebuah negara Islam kerana dianggap memandang rendah kepada umat Islam.

Tidak dinafikan pandangan ulama terdahulu ini merupakan warisan, yang tidak ternilai kepada umat Islam. Ia merupakan hasil-hasil daripada Ijtihad yang perlu dikaji dan diteliti bagi melihat apakah mekanisme yang telah digunakan oleh tokoh-tokoh tersebut sehingga membolehkan mereka melahirkan ijtihad dalam menyelesaikan is-isu yang muncul pada zaman itu. Mekanisme seumpama ini jualah yang sepatutnya digunapakai oleh ulama masa kini bagi menyelesaikan masalah baru yang timbul.

Walaupun merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya, ia jua bukan suatu yang maksum dan suci langsung daripada segala kekurangan sehingga tidak boleh ditolak jika tiada kesesuaian dengan keadaan ‘urf zaman masa kini. Menjadi kewajiban kepada para ulama masa kini mengambil manfaat daripadanya dengan cara memilih pendapat yang boleh diterima akal dan diredhai naql dan selaras pula dengan maslahah dan meninggalkan pandangan-pandangan yang terbukti kurang sesuai pada zaman ini, dalam lingkungan asas-asas yang mantap dan bukannya mengikut selera hawa nafsu semata-mata, kerana mengiktu hawa nafsu menjadikan seseorang itu buta dan bisu.

Sehubungan daripada itu, Sheikh Abd al-Karim Zaydan, berpendapat tegahan warganegara bukan beragama Islam (ahli Dhimmah) menzahirkan agama dan kepercayaan yang berkaitan dengan agama mereka, tidak berdasarkan kepada syiar agama Islam itu sendiri, sebaliknya dilakukan oleh pemerintah Islam pada zaman itu dengan tujuan menjaga keamanan negara supaya tindakan warganegara bukan beragama Islam  menzahirkan perayaan yang berkaitan dengan agama mereka tidak menimbulkan fitnah dan kemarahan di kalangan umat Islam yang sekaligus boleh mencetuskan ketegangan dan keadaan tidak stabil dalam negara Islam.

Dengan itu, kebenaran menzahirkan agama dan perayaan bukan Islam di kalangan warganegara bukan Bergama Islam terserah kepada budi bicara pihak pemerintah dengan mengambikira maslahah yang bakal diperolehi oleh umat Islam dan sejauh manakala kemudharatan yang menimpa mereka, sesuai dengan kaedah fiqh yang menyatakan :

“Pengurusan pemerintah ke atas umat Islam bergantung kepada maslahah”.

Ia jua menunjukkan pandangan pemerintah Islam dalam isu ini boleh berubah dan tidak bersifat tetap selama-lamanya, seperti mana hukum yang tsabit dengan nas yang qat’i seperti zina, larangan berjudi dan sebagainya.  Perubahan ini kerana meraikan perubahan zaman dan jua tempat, sesuai dengan kaedah fiqh :

“Tidak boleh ditolak perubahan hukum berikutan perubahan zaman, tempat dan jua situasi”.

Dengan itu, dalam sebuah negara seperti Malaysia di mana masyarakatnya adalah masyarakat majmuk dan perhubungan di antara kaum sudah terjalin begitu lama dan masing-masing pihak turut memberi sumbangan kepada pembangunan dan kestabilan negara, perhubungan baik pula terjalin di antara mereka dan telah berjaya memupuk budaya yang harmoni yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam seperti tolong-menolong, ziarah-menziarahi, saling memberi  hadiah dan sebagainya, adalah tidak sesuai lagi kalau pihak pemerintah dan para ulama di negara ini masih tetap berpegang dengan pandangan ulama yang terdahulu yang tidak membenarkan syiar agama dan perayaan yang berkaitan dengan bukan agama Islam dizahirkan dalam khalayak ramai, asal tidak menyinggung perasaan umat Islam dan masih dalam skop menghormati undang-undang yang diamalkan di dalamnya. Apalagi di Malaysia kebebasan beragama dan mengamalkan ajaran agama telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia perkara 11 (1) dan 11(5).

Dalam sebuah negara Demokrasi seperti Malaysia, hubungan warganegara beragama Islam dengan bukan beragama Islam dianggap suautu perkara yang perlu, khususnya yang melibatkan kepentingan politik bersama. Dalam suasana sekarang, hubungan umat Islam dengan bukan Islam yang melibatkan kepentingan  bersama dalam hal-hal tertentu telah menyumbang budaya tertentu yang baik, sebagaimana yang dinyatakan di atas. Apalagi apabila sesuatu tindakan itu mendatangkan kebaikan yang lebih besar kepada umat Islam berbanding dengan keburukan, sesuai dengan kaedah fiqh:

“Maslahah yang besar hendaklah didahulukan daripada maslahah yang kecil”

“Maslahah jemaah masyarakat didahulukan daripada maslahah individu”

“Maslahah yang banyak hendaklah didahulukan daripada maslahah yang sedikit”

“Perkiraan dibuat berdasarkan kepada perkara yang ghalib yang sudahpun tersebar dan bukannya berdasarkan perkara yang sedikit yang jarang berlaku”

 

PERAYAAN-PERAYAAN BUKAN ISLAM

Perayaan-perayaan warganegara bukan beragama Islam yang disambut di dalam sesebuah negara Islam terutama sekali di Malaysia, tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja iaitu sudut keagamaan semata-mata. Justeru ada jua perayaan bukan Islam yang melibatkan adat dan tradisi masyarakat bukan Islam dan tradisi ini lebih banyak berbanding dengan upacara keagamaan yang terkandung di dalamnya. Sehubungan dengan itu, perayaan-perayaan bukan Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama perayaan yang bersifat keagamaan dan kedua perayaan yang bukan berebentuk keagamaan.

 

PERAYAAN BERBENTUK KEAGAMAAN

Perayaan  yang berebntuk keagamaan, diukur berdasarkan upacara keagamaan lebih banyak dan lebih menonjol. Ungkapan agama dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka membawa kepada maksud kepercayaan kepada Tuhan, sifat-sifat dan ajarannya dan penerimaan ajaran dan perintahnya. Dengan itu apabila disebut perayaan berbentuk keagamaan, ia melibatkan upacara penyembahan (ibadat) dan pengalaman  adat dan tradisi yang berkaitan dengan ibadat tersebut dalam perayaan sesuatu agama, yang dikira menjadi tuntutan agama itu sendiri. Ini termasuklah cara berpakaian yang khusus seperti pakaian ke gereja atau rumah berhala atau lambing salib yang dikalungkan di tengkok bagi golongan Kristian Kadazan dan sebagainya.

PERAYAAN BUKAN BERBENTUK KEAGAMAAN

Perayaan yang bukan berbentuk keagamaan, kerana amalan adat dan tradisi lebih banyak dan menonjol berbanding upacara keagamaan. Ungkapan adat merujuk kepada peraturan yang sudah diamalkan secara turun temurun sejak zaman dahulu kala dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Ungkapan budaya pula bermaksud tamadun, peradaban, kemjuan fikiran, akal, budi, cara berfikir, dan berkelakuan dan sebagainya, manakala ungkapan tradisi pula merujuk kepada sesuatu kebiasaan seperti adat kepercayaan dan lain-lain yang kekal turun temurun dan sudah menjadi amalan sebati dalam sesebuah masyarakat. Dengan itu apabila disebut perayaan bukan keagamaan di kalngan warga bukan beragama, ia daripada nenek moyang mereka lagi. Unsur-unsur kepercayaan yang terkandung dalamnya termasuklah yang diistilahkan sebagai tahyul dan khurafat dalam masyarakat Islam. Contohnya Tarian Singa yang diadakan bersempena perayaan Tahun Baru Cina yang dipercayai rumah yang mengadakannya akan memperolehi kebahagiaan pada tahun tersebut.

CONTOH-CONTOH PERAYAAN BERBENTUK KEAGAMAAN

Antaranya ialah:

  • Hari Krismas
  • Hari Wesak
  • Hari Chap Goh Mei
  • Hari Deepavali
  • Hari Thaipusam
  • Pesta Keamatan

CONTOH-CONTOH PERAYAAN BUKAN KEAGAMAAN

 

  • Perayaan Gawai
  • Perayaan Hantu
  • Tahun Baru Cina

PENGLIBATAN ORANG ISLAM DALAM MERAYAKAN PERAYAAN BUKAN ISLAM

Penglibatan orang-orang Islam dalam perayaan warganegara bukan beragama Islam berlaku dalam banyak bentuk. Antara yang begitu ketara ialah bentuk iaitu :

Menghadiri & Merayakan Sama Perayaan-Perayaan Bukan Islam

Orang-orang Islam tidak dibenarkan sama sekali melibatkan diri dalam menyambut perayaan-perayaan agama warganegara bukan beragama Islam, dalam bentuk yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam itu sendiri seperti mengunjungi rumah-rumah ibadah, memakai pakaian yang ada simbol agama mereka dan seumpanya. Ini kerana dengan berbuat demikian bererti wujud tanda-tanda redha kepada kekufuran, sedangkan redha kepada kekufuran ditegah dan dilarang keras oleh Islam. Firman Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud :

“Kalaulah kamu kufur ingkar (tidak bersyukur) akan nikmat-nikmat-Nya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk kesempurnaanNya); dan Ia tidak redhakan hamba-hambaNya berkeadaan kufur; dan jika kamu bersyukur, Ia meredhainya menjadi sifat dan amalan kamu. Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Ia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang telah kerjakan. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.”

(al-Zumar:7)

Ia juga mengandungi maksud memberi ketuanan dan berkkasih saying kepada bukan Islam dalam bentuk yang dilarang oleh syara’ Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak mejaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali”

(ali-‘Imran:28)

Selain daripada itu, ia jua termasuk ke dalam ertikata menyerupai golongan kafir yang dialarang oleh Rasulallah S.A.W. Baginda bersabda yang hadis dikeluarkan oleh Abu Dawud yang diriwayatkan menerusi Ibn Umar r.a. yang bermaksud :

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia termasuk dalam golongan itu”.

Para ulama Islam menegah orang-orang Islam menghadiri upacara perayaan agama bukan beragama Islam dan turut menyambut perayaan mereka. Anatara tokoh ulama yang melarangnya ialah Imam Malik yang berpendapat pemerintah perlu menegah orang-orang Islam daripada mengahdiri perayaan bukan Islam. Begitu jua dengan Imam Ahmad, yang berdalilkan dengan firman Allah S.W.T yange bermaksud :

“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang…”

(al-Furqan : 72)

Selain daripada tokoh tersebut, tokoh lain yang turut mengharamkan orang-orang Islam menghadiri majlis perayaan bukan beragama Islam dalam bentuk yang dinyatakan dia atas ialah Imam al-Tabari, al-Baihaqi, Ibn Taimiyyah, al-Suyuti dan lain-lain.

Menghadiri Rumah Terbuka Bukan Islam.

 

Hari ini boleh dikatakan sudah menjadi kebiasaan penganut agama yang ada di negara kita, terutama sekali pembesar negara, mengadakan rumah terbuka, sempena hari raya mereka dan berbagai-bagai tetamu yang hadir pada hari itu, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama. Malah orang-orang Islam jua mengadakan rumah terbuka dan menerima tetamu dari kalangan bukan Islam, yang turut menjamu selera dan sebagainya. Ini menggambarkan semangat toleransi, kerjasama dan perepadua erat yang berlaku dalam kalangan penduduk pada masa kini. Semangat toleransi dan keterbukaan terhadap kaum bukan beragama Islam dapat dilihat dariapda beberapa keterangan. Misalnya al-Quran menyuruh orang-orang Islam bergaul dengan ibu bapa mereka yang masih musyrik dengan baik, selagi mana mereka tidak memaksa dan mendesak anak-anak mereka berpaling daripada agama Islam. Dalam firman Allah S.W.T yang bermksud :

“Dan jika berdua mendesakmu supaya engaku mempersekutukan denganKu sesuatu dengan engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh dengan adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutilah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya; maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala apa yang kamu kerjakan”.

(Luqman: 14-15)

Ulama terdahulu mengharamkan orang Islam menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan oleh orang-orang yang bukan beragama Islam atau orang Islam menganjurkan rumah terbuka kepada orang yang bukan Islam. Mereka berhujah dengan larangan bukan Islam menzahirkan agama mereka di dalam negara Islam, yang dibincangkan sebelum ini. Apabila orang bukan Islam dilarang untuk menzahirkan syiar mereka, bermakna segala perkara dan aktiviti yang boleh menjurus kepada agama mereka, adalah haram. Dengan itu dalam usaha mengelakkan penzahiran, agama bukan islam dalam negara Islam dan menyerupai mereka, orang Islam tidak dibenarkan menyertai perayaan mereka termasuklah menghadiri rumah terbuka.

Antara tokoh terdahulu yang berpandangan sedemikian ialah Ibn Taimiyyah, muridnya Ibn Qayyim, dan al-Suyuti dan lain-lain.

Dikalangan umat Islam pada masa kini yang menghukum haram kepada umat Islam turut serta dalam majlis yang dianjurkan oleh orang-orang bukan Islam bersempena perayaan agama mereka walaupun dalam bentuk menghadiri rumah terbuka, bertukar-tukar hadiah, mengadakan majlis jamuan, mengisytiharkan cuti umum dan seumpamanya ialah Syeikh Muhammad Uthaymin, seorang tokoh ulama besar Arab Saudi, dengan alasan yang sama dikemukana oleh Ibn Taymiyyah. Malah beliau pergi lebih jauh lagi daripada itu dengan menghukumkan orang-orang Islam yang menghadiri rumah-rumah terbuka aanjuran bukan Islam itu sebagai berdosa, tanpa mengira sama ada dilakukan kerana menunjukkan sifat toleransi, mengukuhkan hubungan erat sesama Islam dan bukan Islam, malu kepada bukan Islam dan sebagainya kerana termasuk dalam erti kata memperkecil agama Allah S.W.T, menguatkan semangat orang-orang bukan Islam dan melahirkan kebanggaan mereka terhadap agama yang mereka anuti.

Jika diamati larangan terhadap orang Islam dan terlibat dengan sebarang aktivti yang boleh menyumbang saham ke arah menzahirkan agama orang bukan pada massa itu, adalah hasil daripada polisi yang dilakukan oleh pemerintah dan alasan mereka berbuat demikian adalah logik, kerana amalan tersebut ada berkaitan dengan upacara keagamaan bukan orang Islam dan orang Islam tidak boleh terlibat dengannya. Apalagi dalam Islam, pemerintah adalah pengawal agama. Jika pemerintah sendiri memberi peluang kepada orang Islam berbuat demikian, bermakna pemerintah telah memberi ruang kepada orang bukan Islam menzahirkan agama mereka sedangkan agama Islam tersisih. Jika ini berlaku pada zaman dahulu ketika Rasulallah masih hidup ia pasti akan dikira sebagai khianat kepada Allah, Rasul dan paras sahabat.

Walau bagaimanapun di Malaysia alasan tersbut kurang sesuai untuk diamalkan kerana keadaan masa, tempat dan urf sudahpun berubah mengikut perubahan zaman dan jua tempat. Ini sesuai dengan kaedah fiqh yang telah dinyatakan pada permulaan ini iaitu :

“Tidak boleh ditolak perubahan hukum berikutan zaman, tempat dan jua situasi”

Ini kerana :

  • Mengadakan rumah terbuka di zaman sekarang lebih berbentuk amalan tradisi masyarakat berbilang bangsa dan agama dan bukan lagi menjadi amalan agama bukan Islam. Malah tidak lagi menjadi syiar agama mereka. Cuma ia dilakukan dengan bersempena perayaan besar agama mereka. Oleh kerana itu ia melibatkan perayaan tradisi masyarakat, penglibatan umat Islam, tidak boleh dianggap sebagai menyerupai golongan bukan Islam dan memberi saham ke arah menzahirkan agama mereka, yang dilarang ulama di dalam perbincangan sebelum ini. Apatah lagi menurut kepada catatan sejarah, A’isyah r.a. pernah ditanya tentang penganut agama Majusi yang memberi hadiah kepada umat Islam, pada hari perayaan mereka. A’isyah r.a. membenarkan orang-orang Islam mengambil buah-buahan, tetapi melarang mengambil daging dan binatang sembelihan. Malah Imam Ahmad pernah ditanya tentang hukum orang Islam menambil upah menggali kubur untuk umat Islam, beliau menghukumnya sebagai harus, kerana menagmbil upah menggali kubur bukan Islam, tidak bersifat upacara keagamaan, sebaliknya ia melarang orang Islam mengambil upah membuat keranda bukan Islam, kerana jelas membuat keranda itu berkait rapat dengan upacara agama bukan Islam. Kaedah fiqh menjelaskan :

“Petunjuk adat dan petunujuk-petunjuk semasa (keadaan semasa) diletakkan sama seperti perkataan-perkataan yang sarih (jelas) dalam mengkhususkan perkara yang umum dan mengikat perkara yang mutlak yang lain-lain”.

  • Orang-orang yang menghadiri rumah-rumah terbuka terdiri daripada kawan-kawan rapat, sama ada rakan sekerja ataupun jiran tetangga. Kehadiran mereka di atas dasar menghormati jiran dan kawan-kawan dan bukannya menghoramti agama yang menjadi pegangan kepada pihak yang mengadakan rumah terbuka itu sendiri. Kedudukannya sama dengan tindakan pemerintah Islam yang memberikan cuti umum sempena perayaan bukan beragama Islam, meluluskan tanah untuk menjadi kawasan kubur orang-orang bukan Islam dan seumpamanya, yang tidak boleh ditafsirkan sebagai memulia atau menyokong amenzahirkan agama rakyat yang bukan beragama Islam, sebaliknya tidak lebih daripada sifat toleransi yang perlu dilakukan oleh pemerintah Islam kepada orang yang bukan beragama Islam.
  • Di dalam rumah terbuka, makanan-makanan dan minuman yang dihidangkan adalah halal, malah dalam rumah terbuka yang diadakan oleh penganut Hindu sendiri, tidak ada disediakan daging lembu untuk jamuan kaum lain, yang tidak beragama Hindu, padahal dalam agama Hindu dilarang menyembelih binatang yang bernyawa.
  • Rumah terbuka tidak diadakan di rumah-rumah ibadah golongan bukan Islam, sebaliknya diadakan di rumah tokoh-tokoh tertentu terutama sekali pembesar dan pemimpin negara. Mereka yang hadir dalam jamuan itu antaranya adalah kakitangan yang bekerja di pejabatnya. Sebelum ini telah dibahaskan yang penyerupaan dengan golongan bukan Islam yang dilarang ialah penyerupaan dari segi aqidah dan upacara keagamaan, sebaliknya menjadi adat yang tidak bercanggah dengan Islam, tidak menjadi salah mengikuti atau terlibat dengannya.

Islam tidak melarang umatnya untuk berbuat baik kepada golongan bukan beragam Islam, yang tidak memerangi mereka, apa lagi bukan Islam sama-sama berganding bahu dalam membangunkan sesebuah negara. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam agama dan tidak mengusir kamu dari kampung-kampungmu sebab Allah senang kepada orang-orang yang adil. Allah hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang memerangi kamu dalam agama dan mengusir kamu dari kampung-kampungmu dan saling bantu membantu untuk mengusir kamu; barangsiapa yang bersahabat dengan mereka, mereka adalah orang-orang yang dzalim.”

(al-Mumtahanah; 8-9)

Allah S.W.T menciptakan manusia yang terdiri daripada pelbagai suku dan bangsa, untuk saling kenal-mengenali amtara satu sama lain. Hubungan antara orang Islam dan bukan Islam, yang pada dasarnya dalah hubungan antara dua manusia makhluk Allah yang masing-masing mempunyai kepentingan bersama dalam urusan keduniaan, keagamaan, kemanusiaan, kemasyarakatan dan sebagainya. Kita perlu hidup dengan bekerjasama demi kesejahteraan dan keharmonian , baik untuk individu, sosial, mahupun negara. Maka bolehlah hadir dalam majlis anjuran mereka. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengatahui, lagi Maha Mendalam PengatahunNya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

(al-Hujrat: 13)

  • Kedudukan hukum berubah bila melibatkan pemimpin negara, terdapat unsur kejiranan dan teman sepejabat yang mengadakan rumah terbuka. Fitnah akan timbul jika pemimpan Islam tidak menjengok ke rumah terbuka kaum bukan Islam atau si muslim yang tidak mengunjungi jirannya sempena perayaan mereka. Ini semua perlu diambil kira apabila dinilai pada sudut maslahah dan menolak mudharat. Rasa hormat kepada sesbuah persahabatan, integrasi nasional demi pengukuhan perasaan muhibah yang membentuk kesefahaman dan kesejahteraan negara, membenamkan segala resah, bimbang dan curiga.

Dengan itu orang Islam boleh menghadiri rumah terbuka bukan Islam dari kalangan sahabat handai, majikan dan lain-lain dan ia tidak dinyatakan sebagai kerjasama dalam menzahirkan agama bukan Islam dan menghadiri perayaan mereka yang diharamkan oleh ulama dalam perbahasan sebelum ini.

 

Mengucapakan Tahniah Sempena Perayaan

Mengucapkan tahniah sempena perayaan bukan Islam, merupakan isu yang menimbulkan perselisihan pendapat di kalangan ulama. Ada yang mengharamkannya dan ada jua yang  mengharuskannya. Antara mereka yang mengharamkannya termasuklah Sheikh Husam al-Din Afanah. Beliau berhujah dengan :

  • Umat Islam sudahpun mempunyai perayaan sendiri dan tidak lagi perlu meniru perayaan masyarakat bukan Islam, yang bertentangan dengan ajaran Islam, perayaan dalam Islam adalah berpaksikan kepada al-Kitab dan al-Hadis.
  • Petunjuk yang paling baik adalah petunjuk umat Islam yang hidup dalam tiga kurun terawal dan mereka tidak pernah mengucapkan tahniah dalam perayaan bukan Islam pada zaman mereka. Ini bertepatan dengan sepotong hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari yang diriwayatkan menrusi  Imran bin Husayn r.a. :

“Sebaik-baik anda adalah hidup pada kurun saya, kemudian yang mengikuti mereka dan kemudian yang mengikuti mereka.”

  • Islam melarang meniru upacara agama sesuatu kelompok masyarakat sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadis yang diriawayatkan menerusi Ibn Umar r.a. yang lalu.

Tokoh lain yang turut mengharamkan memberi ucapan termasuk ucapan tahniah kepada warganegara bukan Islam bersempena dengan perayaan mereka termasuklah Sheikh Muhammad Uthaymin, atas alasan perbuatan tersebut termasuk ke dalam ertikata redha kepada agama bukan Islam dan syiar-syiar agama mereka, yang dilarang dalam nas al-Quran sebagaimana yang terdapat dalam surah al-Zumar ayat ke-7 sebelum ini. Tambahan segala syariat sebelum Islam telahpun dinaskhkan dengan agama Islam, sebagamana firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan pada jari qiamat kelak ia akan menjadi orang-orang yang rugi.”

(ali-Imran:85)

Sheikh Uthaymin menyamakan orang Islam yang memberi ucapan tahniah atau lain-lainnya kepada orang-orang yang beragama Kristian, bersempena dengan perayaan Krismas  dengan galakan sujud kepada salib dan bagi beliau adalah dosa orang yang berbuat demikian adalah lebih besar daripada orang yang berzina, minum arak, membunuh diri dan sebagainya.

Tetapi sebaliknya pula bagi Sheikh Yusuf al-Qardhawi, hukum berbuat demikian adalah harus dan antara hujah yang dibawa okleh beliau ialah :

  • Dalam surah al-Mumtahanah , ayat 8 hingga 9 membenarkan orang Islam berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang bukan Islam  yang tidak memerangi orang Islam. Bukan sahaja umat Islam dikehendaki berbuat baik kepada bukan Islam, bahkan mereka dibenarkan berkahwin dengan perempuan dari kalangan ahli Kitab. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud  :

“Pada masa kini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya – di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan jua perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab terdahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan. Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah id beriman, maka sesunggunhnya gugurlah amalannya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak adalah dari orang-orang yang rugi.”

(al-Ma’idah: 5)

Apabila dibenarkan berkahwin, sudah tentu wujud kasih saying di antara orang Islam yang menjadi suami dengan bukan Islam yang menjadi isteri, namun kasih saying ini tidak dilarang oleh Allah S.W.T menerusi firmanNya yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan bermesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu  (suami isteri) perasaan kasih saying dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(al-Rum: 21)

  • Jika berkahwin dan memakan makanan ahli Kitab dibenarkan, sedangkan ia merupakan isu besar dalam agama Islam, masakan dengan menghulurkan ucapan tahniah sempena hari raya mereka dilarang. Lebih-lebih lagi kalau orang-orang yang bukan Islam itu selalu mengucapkan tahniah kepada orang-orang Islam bersempena dengan hari Raya ‘Eid Fitri dan hari Raya ‘Eid Adha. Orang Islam diperintahkan supaya membalas kebaikan dengan kebaikan dan menjawab sesuatu ucapan dengan ucapan yang lebih baik atau sekurang-kurangnya yang sama dengannya. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

(al-Nisa’: 86)

  • Ungkapan-ungkapan yang biasa digunakan pada hari raya tersebut, kebiasaannya tidak mengandungi sebarang perakuan terhadap agama mereka atau tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu redha dengan agama mereka, sebaliknya ungkapan-ungkapan yang biasa digunakan oleh orang ramai setiap kali pada hari raya masing-masing. Selain daripada itu, tidak menjadi masalah jua dengan menerima hadiah daripada mereka dan membalas hadiah tersebut, kerana Rasulallah S.A.W. sendiri sebagaimana dinyatakan sebelum ini pernah menerima hadiah daripada maharaja Muqauqis, selagi mana ia tidak mengandungi benda yang haram seperti arak, daging babi dan sebagainya.

Dengan itu tidak ada salahnya baik kepada individu mahupun pertubuhan untuk menghulurkan ucapan tahniah bersempena dengan kemunculan perayaan bukan Islam  terutama ahli kitab sama dengan mengucapkannya secara lisan mahupun menggunakan kad asalkan ianya tidak mengandungi syiar atau ungkapan-ungkapan agama yang bertentangan dengan Islam seperti Salib, kerana Islam sendiri menafikan penyaliban Isa a.s. Firman Allah S.W.T bermaksud :

“…Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa)…”

(al-Nisa’: 157)

Tidak dinafikan terdapat sebahagian ulama seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah yang mengambil sikap keras di dalam masalah yang berkaitan dengan perayaan orang-orang bukan Islam dan ahli kitab dan turut serta menyambut perayaan mereka. Kita menyokong sikap Ibn Taimiyyah di dalam menentang tindakam orang-orang Islam, merayakan hari raya orang-orang musyrikin dan ahli Kitab, sebagaimana yang terdapat di dalam sambutan hari raya Krismas. Ada orang Islam yang menyambut hari raya ini, sama dengan menyambut hari Raya ‘Eid adha dan ‘Eid fitri  bahkan lebih daripada itu. Inn jelas dan nyata tidak halal dan  tidak harus. Kita mempunyai hari raya kita sendiri, sebagaimana mereka. Namun begitu tidak menjadi kesalahan menghulurkan ucapan tahniah bersempena hari raya mereka, terutama sekali bagi mereka yang mempunyai hubungan kerabat, jiran dan rakan taulan, yang melibatkan hubungan kemasyarakatan, yang boleh mengeratkan hubungan yang diakui dengan uruf yang baik.

 

KESIMPULAN

Dalam  sebuah negara Islam, warganegara bukan Islam boleh merayakan perayaan-perayaan agama mereka, asalkan tidak menyinggung perasaan umat Islam, tidak menganggu ketenteraman awam dan tidak mengebelakangkan undang-undang syara’. Pendapat ini lebih sesuai digunapakai di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan bangsa, yang turut sama menyumbang ke arah pembangunan negara. Ini disandarkan kepada tindakan dan fatawa para sahabat Rasulallah S.A.W. sendiri seperti khalifah Abu Bakar, Umar, Khalid al-Walid dan lain-lain. Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah berpegang dengan fatwa-fatwa para sahabat lebih utama berbanding dengan pendapat-pendapat ulama kemudian , kerana fatwa-fatwa para sahabat lebih hampir kepada pendapat yang benar, memandangkan zaman para sahabat masih dekat dengan zaman Rasulallah S.A.W. Fatwa para sahabat lebih utama dipegang bebanding dengan fatwa-fatwa tabi’in, manakala fatwa-fatwa tabi’in lebih utama dipegang daripada fatwa-fatwa tabi’ tabi’in dab seterusnya.

Walau bagaimanapun warganegara beragama Islam dilarang sama sekali merayakan perayaan bukan beragama Islam sama sebagaimana yang disambut oleh warganegara bukan beragama Islam atau terlibat dalam upacara-upacara ibadah agama bukan beragama Islam berdasarkan kepada nas yang telah diberi kerana termasuk dalam ertikata menyerupai bukan Islam dalam upacara keagamaan mereka dan menzahirkan kasih saying kepada mereka dalam bentuk yang dilarang oleh agama Islam.

Menghadiri rumah terbuka oleh warganegara bukan Islam yang terdiri daripada rakan-rakan sekerja, rakan-rakan sepejabat, majikan dan sebagainya menimbulkan perselisihan pendapat di kalangan ulama antara yang mengharamkan dengan yang mengharuskannya. Pendapat yang menghukumnya sebagai harus, lebih sesuai untuk diterima pakai di Malaysia, kerana telah menjadi adat budaya yang diamalkan oleh penduduknya. Bukan sahaja warganegara bukan Islam yang mengadakan rumah terbuka, bahkan jua diadakan oleh warganegara bukan beragama Islam dalam perayaan mereka dan sudah terbiasa berlaku kunjungan pada hari tersebut tanpa mengira warna kulit dan jua anutan agama.

Sheikh Muhammad Uthymin mempunyai pandangan yang agak ketat dalam masalah ini pernah mengulas tentang konsep menyerupai bukan Islam yang dilarang oleh syara’. Bagi beliau ukuran yang melayakkan seseorang Islam dikatakan menyerupai bukan Islam ialah apabila dia melakukan perkara-perkara yang hanya khusus untuk orang-orang bukan Islam, tetapi jika perkara yang diserupai itu telah tersebar secara meluas di kalangan msayrakat dan tidak dapat dibezakan lagi antara yang dilakukan dengan orang Islam dengan orang ynag bukan Islam atau telah menjadi adat budaya dalam bahasa yang mudah, melakukannya tidak lagi dinamakan sebagai menyerupai orang-orang bukan Islam dan hukumnya tidak lagi haram dari aspek tersebut.

Beliau menguatkan pandangannya dengan menakalkan keterangan yang dikemukakan oleh Ibn Hajar al-Asqalani, yang menjelaskan sebahagian ulama salaf menghukumkan makruh memakai Burnus iaitu jubah labuh di mana bahagian atasnya menutup kepala pemakainya yang biasa dipakai oleh orang-orang Kristian. Imam Malik pernah ditanya tentang pemakaian jubaj seumpama itu pada masa hayatnya dan beliau berpendapat tiada apa-apa kesalahan memakainya kepada orang-orang Islam. Apabila diberitahu jubah labuh itu merupakan pakaian-pakaian orang Kristian, Imam Malik menegaskan pakaian seumpama itu telahpun dipakai kebanyakan orang sehingga tidak dapat dibezakan antara mereka yang beragama Kristian ataupun tidak. Beliau jua menakalkan ulasan Ibn Hajar al-Asqalani berhubung dengan pemakaian kelana kuda yang dilapik dengan kain sutera, yang sudah menjadi kebiasaan kepada orang-orang bukan beragama Islam, larangan tersebut menurut kepada Ibn Hajar menjaga kepentingan orang bukan Islam. Pemakaiannya menyerupai orang-orang bukan Islam, kerana pakaian tersebut menjadi syiar agama mereka pada masa itu. Namun pada masa kini (pada zaman beliau),  pakaian tersebut tidak lagi menjadi syiar agama mereka dan dengan itu hukum makruh memkainya telah berubah menjadi harus.

Walaubagainapun, perlu untuk meraikan beberapa syarat iaitu :

  • Kehadiran di dalam rumah terbuka itu, tidak menggadai aqidah dan maruah seorang Islam.
  • Rumah terbuka itu tidak diadakan di rumah-rumah ibadah atau berhampirang dengan rumah ibadah.
  • Kehadiran ke rumah terbuka meraikan hubungan sosial seperti jiran tetangga, rakan sekerja dan seumpamanya. Orang Islam yang mengunjunginya pula sudah biasa pergi ke rumah rakan-rakan bukan Islam itu. Jika tidak pernah pergi, sebaliknya hanya berebuat demikian pada hari orang bukan Islam mengadakan rumah terbuka, makruh menghadirinya. Mengekalkan hubungan baik dengan orang bukan Islam, disamping mewujudkan situasi harmoni, damai dan sejahtera, antara nila-nilai murni dianjurkan oleh Islam.
  • Tidak ada unsur membesarkan agama atau upacara agama orang bukan Islam yang mengadakan rumah terbuka.
  • Tidak ada unsur kemaksiatan dan kemungkaran secara zahir seperti hidangan arak, memnggangu syiar ibdah, nyanyian yang melampau dan sebagainya.
  • Tidak ada unsur atau elemen menghina Nabi S.A.W., kitab suci al-Quran dan yang seumpamanya.
  • Tidak ada upacara agama mereka dalam majlis tersebut, sebaliknya tidak lebih daripada jamuan makan sahaja.
  • Tidak membawa hadiah untuk diberikan kepada mereka pada hari itu, berlainan dengan hadiah yang dibawa di dalam majlis perkahwinan, kelahiran anak, isteri sakit dan sebagainya yang tiada unsur membesarkan agama mereka.
  • Rumah terbuka itu diadakan oleh orang-orang bukan beragama Islam itu sendiri dan bukan diadakan oleh pemimpin negara yang beragama Islam, kerana pemimpin Islam dikehendaki bertoleransi dengan rakyat yang bukan beragama Islam, namun tidak boleh sampai ke tahap mengajurkan majlis rumah terbuka itu sendiri, kerana mengandungi unsur menzahirkan agama bukan Islam di dalam negara Islam. Jika ingin jua diadakan ruamh terbuka, hendaklah dibuat dengan tidak bersempena dengan perayaan agama-agama bukan Islam, sebaliknya dipilih hari-hari lain dan diletakkan nama yang sesuai dengannya seperti jamuan rakyat berbagai kaum dan sebagainya.

Jika syarat-syarat ini tidak wujud, sewajarnya tidak menghadiri majlis mereka, sebagai mengambil langkah kea rah menutup pintu yang boleh membawa fitnah kepada umat Islam…(◕‿◕)

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on December 17, 2011, in Tinta kehidupan. Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. informatif. but next time if possible make it short and sweet spya lebih mudah dihadam..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: