Penyakit-Penyakit yang Menjadi Asbab kepada Penghalang Sabar

Manusia secara umumnya dan orang mukmin secara khususnya serta para pendakwah istimewanya hendaklah memiliki sifat sabar, justeru dalam masa yang sama dia mestilah memusnahkan sifat sabar tersebut. Antara penyakit itu ialah seperti apa yang telah dinyatakan dalam al-Quran :

a)      Gopoh dan Tergesa-Gesa.

Jika manusia banyak dipengaruhi oleh cintakan kepada sesuatu yang segera dan tergesa-gesa, manusia bersifat gopoh sehingga al-Quran menyatakan ‘seolah-olah sifat tergesa-gesa’ itu sebahagian daripada unsur kejadian manusia. FirmanNya :

“Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru pada serba-serbinya..”

(al-Anbiya’:37)

Apabila berlaku kelewatan atas apa yang dikehendaki oleh seseorang, hilanglah kesabarannya, sempitlah dadanya, terus berputus asa dan lupa bahawa Allah telah menentukan pada makhlukNya ‘sunnah’ yang tidak dapat ditukar ganti. Setiap perkara ada masanya yang ditentukan oleh Allah dan Ia tidak akan menyegerakannya oleh kerana sifat tergesa-gesa manusia.

Setiap buah ada masa ranumnya yang telah ditentukan untuk dipetik. Sifat gopoh dan ingin cepat sesorang tidak akan menjadikan buah itu ranum sebelum tiba masanya. Manusia tidak akan dapat melakukannya. Buah itu jua tidak dapat menyegerakan dirinya untuk ranum. Demikianlah jua pokok yang menanggung buah tersebut. Semuanya patuh kepada undang-undang alam yang menguasainya  dan berjalan mengikut  undang—undang seperti yang telah ditentukan itu.

Oleh sebab itu Allah berfirman kepada Rasulallah :

“(Jika demikian akibat orang-orang kafir  yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul ‘Ulul-A’zmi (orang terdahulu daripadamu): dan janganlah engkau meminta disegerakan  azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat  sahaja dari siang hari. Penerangan yang demikian cukuplah menjadi pelajaran  (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik-derhaka.

(al-Ahqaaf:35)

Ertinya, Allah melarang meminta disegerkan azab kepada orang-orang kafir, kerana sudah ditentukan masanya untuk mereka menerima azab.

“Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka); sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.”

(al-Hajj:47)

b)      Marah

Sifat marah menyebabkan seseorang pendakwah tidak tenang dan sentiasa gelisah. Apalagi apabila ia melihat keengganan orang yang didakwahkan dan keingkaran menerima dakwah. Sifat marah itu akhirnya membawa kepada sifat putus harapan dan menjauhkan diri daripada mereka. Sedangkan sudah menjadi kemestian kepada para pendakwah supaya bersabar atas sikap orang-orang yang didakwahnya. Mudah-mudahan akan terbukalah pintu hati mereka pada suatu hari nanti akan memancarlah cahaya petunjuk ke atas mereka. Itulah cara yang sebaik-baiknya.

Dalam hubungan ini Allah berfirman kepada Rasulallah s.a.w.;

“Maka bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), dan janganlah engkau bersikap seperti orang yang ditelan oleh ikan. (Ingatlah kisahnya) Ketika ia berdoa merayu dengan keadaan sesak sebak terkurung dalam perut ikan. Kalaulah dia tidak didatangani nikmat pertolongan dari Tuhannya, nescaya tercampaklah ia ke tanah yang tandus (ditepi pantai) dalam keadaan yang ditempelak (kerana salah silapnya). Selepas itu Tuhannya memilihnya serta menjadikan dia dari orang-orang yang soleh.”

(al-Qalam:48-50)

‘Orang yang berada dalam perut ikan’ yang tersebut dalam ayat di atas Nabi Yunus a.s. yang dalam surah al-Anbiya’ digelarkan sebagai dzan-nun adapun sebab nabi Yunus dihubungkan dengan ikan Hut atau Nun ialah kerana baginda pernah ditelan oleh ikan tersebut kemudian diluahkannya semula. Kisah nabj Yunus ini ada digambarkan dalam surah al-Anbiya’ dan secara terperincinya dinyatakan dalam surah as-Shaffat.

Kesimpulannya dari kisah di atas ialah Nabi Allah Yunus diutuskan kepada penduduk di suatu perkampungan yang dikenali dengan Naynowi di Iraq. Lalu baginda menyeru penduduknya mentauhidkan Allah, tetapi mereka tidak mahu mendengar seruan itu, malah tiada seorang pun yang mengikuti seruan tersebut. Ini menyebabkan Nabi Yunus hilang sabar dan dengan marah terus meninggalkan mereka sebelum mendapat keizinan dari Allah. Baginda menyangka sudah tiada lagi orang yang mahu beriman.

Didorong sifat marahnya itu baginda terus meninggalkan kaum tersebut sehinggalah ia sampai ke tepi pantai. Di pantai itu terdapat sebuah kapal yang sarat dengan penumpang, tetapi Nabi Yunus tetap menaikinya. Apabila sampai ke tengah laut, kapal tersebut hampir karam kerana terlalu sasrat, lalu nakhoda kapal mencadangkan supaya salah seorang penumpangnya dibuang, demi untuk menyelamatkan yang lain.

Undian yang dijalankan terkena kepada Nabi Yunus dan baginda dicampakkan ke dalam laut lalu ditelan oleh ikan Hut yang amat besar selama beberapa ketika yang tidak diketahui hanya oleh Allah sahaja.

Dalam ‘kenaikan baru’ yang diselubungi oleh kegelapan yang amat sangat, (kegelapan yang berada dalam perut ikan, kegelapan laut dan kegelapan malam) Nabi Yunus berdoa kepada Tuhannya :

“Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah!) Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah daku!) Sesungguhnya aku adalah daripada orang yang menganiaya diri sendiri.

(al-Anbiya’:87)

Allah memakbulkan doa Nabi Yunus dan baginda terselamat daripada kesusahan. Ikan Hut meluahkannya keluar semula ke atas pantai. Baginda dicampakkan dalam keadaan menderita di suatu kawasan tandus yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan. Tetapi dengan rahmat Allah, Dia menumbuhkan di kawasan itu sejenis pokok yaqhtin. Seterusnya Nabi Yunus diutuskan kepada suatu kaum lain dan mereka semua beriman dan menyahut seruan baginda.

Apa yang boleh dijadikan pengajaran di sini ialah Allah memperingatkan kepada rasulNya yang terakhir, Nabi Muhammad S.A.W. supaya jangan mudah menjerumuskan diri ke lembah marah yang telah pun membawa Nabi Yunus ke arah apa yang telah dikisahkan oleh Allah S.W.T. Sebaliknya hendaklah ia bersabar terhadap ketetapan Allah dan terus menjalankan dakwahnya, serta terus memikul tanggungjawab risalahnya dengan mengharapkan kemenangan dan pertolongan Allah.

c)       Terlampau Bersedih

Tidak ada kesan yang lebih berat terhadap jiwa pendakwah yang ikhlas melainkan penentangan dan keingkaran manusia untuk menerimanya. Apa lagi kalau penentangan itu disertakan dengan tindakan-tindakan yang menyakitkan hati, penipuan, sendaan dan fitnah. Untuk menghadapi keadaan itu Allah berfirman kepada Rasulallah s.a.w. :

“Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar ini); dan tiadalah hasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”

(an-Nahl:127)

Lantas Allah melembutkan hati baginda dengan mengatakan bahawa Allah sentiasa bersamanya dalam menjaganya setiap masa :

“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

(an-Nahl:128)

Penentangan, sendaan, ejekan dan tipu daya kaum Quraisy yang melampau telah menyebabkan Rasulallah amat sedih dan berduka cita hingga sampai kepada suatu tahap Allah berfirman kepadanya menerusi al-Quran dalam gaya bahasa yang agak keras :

“Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), atau pun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolong menyiarkan Islam)? Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar; dan Allah jualah pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah kepadaNya)

(Hud:12)

Di temapt lain, dalam surah al-An’am ayat 35, dengan gaya bahasa yang agak keras Allah menjelaskan :

“Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di muka bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka (cubalah lakukan jika engkau sanggup. Dan sekiranya jika Allah menghendaki, tentulah ia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.”

(al-An’am:35)

Firman Allah dalam surah Yunus pula ayat ke 99 :

“Dan (bukanlah Tanggungjawab wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian umat manusia yang berada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah pula engkau hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman.”

(Yunus:99)

 

d)      Putus Asa

Putus asa adalah halangan sabar yang paling besar. Orang yang berputus asa tiada padanya sifat sabar. Faktor utama yang menyebabkan seseorang peladang begitu tekun membajak, menanam, menyiram, dan membajai tanaman ialah harapannya untuk mendapatkan hasil. Akan tetapi apabila hatinya telah ditewasi dan diatasi oleh rasa putus asa dan malap serta padam pula sinar cahaya harapannya, maka tiada lagi kesabaran untuk ia terus bekerja di ladang tanamannya.

Kerana itu, al-Quran cukup mengambil berat untuk mengikis segala bentuk keraguan dalam diri seseorang mukmin dan sekaligus menyemai benih harapan dalam dada mereka. Firman Allah S.W.T. :

“Janganlah bersikap lemah dan jangan (pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kamu (kafir) itu pun (dalam perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejadian dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di anatra manusia (agar mereka mendapat pelajaran).

(ali-‘Imran:139)

Apabila Nabi Musa menyuruh kaumnya bersabar menghadapi kedzaliman Firaun dan ugutannya, ertinya Nabi Musa telah menyalakan obor harapan kepada mereka, lalu berkata :

“(Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: ‘Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.’ Mereka berkata: ‘Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami.’ Nabi Musa menjawab: ‘Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di muka bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula keadaan kamu?”

(al-A’araf:128-129)

Apabila Khaban bin al-‘Arat datang mengadu kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang seksaan-seksaan yang dilakukan oleh orang-orang musyrikin kepadanya dengan pengaduan dan membayangkan kesedihan dan kesempitan dadanya, lalu Rasulallah segera memabwa perumpamaaan dan teladan masa lalu yang boleh dicontohi oleh orang-orang mukmin. Dengan sebab itu, rasa putus harapan segera hilang dari hati Khaban dan tertanamlah dalam hatinya suatu harapan yang kuat kerana ia mula yakin bahawa Allah S.W.T tetap akan menamatkan penderitaannya. Malam pasti akan didatangi siang, awan mendung pasti akan berarak pergi, hujan pasti akan berlalu, sinar mentari pasti kan muncul jua. Maka akhirnya Khaban tidak takut lagi kecuali kepada Allah S.W.T.

Keaadan tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa harapan dan cita-cita merupakan pembantu sabar yang paling besar di sepanjang jalan kehidupan ini. Putus asa merupakan penghalang sabar paling utama hakikatnya. Wallahua’alam….🙂

Semoga kita semua akan menjadi insan yang berjaya dalam apa jua bidang dan apa jua keadaan yang bakal kita tempuh, insya allah!😀

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on August 25, 2011, in Tinta kehidupan. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: