Kisah Tawanan Perang Badar al-Kubra

Sudah menjadi kebiasaan bagi Nabi, apabila hendak membuat keputusan penting beliau akan bermesyuarat dengan para sahabat sekiranya masih belum menerima wahyu. Beliau memanggil sahabat-sahabat  yang mempunyai pengetahuan dan pengaruh dalam masyarakat bagi berbincang tanpa mengira usia.

Antara sahabat yang sangat beliau percayai adalah Abu Bakar dan Umar al-Khattab. Selain mereka termasuklah juga Sa’ad bin Mu’adz yang dihormati dalam golongan sahabat Ansar. Nabi bermesyuarat bagi membuat keputusan hukuman apa yang hendak dijatuhkan kepada tawanan perang.

Abu Bakar menyatakan, “Ya Rasulallah, sesungguhnya mereka masih mempunyai ikatan kekeluargaan dengan kita. Sesetengahnya adalah bapa-bapa kita, bapa saudara kita, anak-anak daripada bapa saudara kita dan saudara-saudara kita sendiri. Pada pendapat saya, mereka patut dikasihi dan disayangi sebagaimana Allah menyayangi dan mengasihi tuan. Adalah lebih baik mereka dibebaskan ataupun kita meminta tebusan daripada keluarga mereka dan tebusan itu berguna bagi kaum Muslimin. Dengan cara itu, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk yang benar daripada Allah.”

Mendengar pandangan Abu Bakar, nabi terdiam dan tersenyum.

Umar pula bersuara, “Ya Rasulullah, saya tidak bersetuju dengan pandangan Abu Bakar. Tawanan perang itu adalah musuh Allah dan musuh tuan yang nyata. Mereka pernah menganiaya tuan dan memerangi tuan. Tidakkah lebih baik mereka dibunuh dan dan dipotong lehernya? Walaupun mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita tetapi mereka adalah ketua-ketua yang kafir dan musyriq. Mereka tidak layak dibiarkan hidup. Pada pendapat saya, biarlah orang yang mempunyai ikatan kekeluargaan dengan mereka yang membunuh mereka. Contohnya Ali membunuh Aqil, Hamzah membunuh ‘Abbas dan sebagainya. Semua ini dilakukan supaya mereka sedar walaupun kita sedikit, kita tidak suka kepada orang yang menyekutukan Allah, Tuhan sekalian alam.”

Mendengar pandangan Umar yang tegas itu, Nabi diam dan senyum. Seterusnya beliau meminta pendapat Sa’ad bin Mu’adz.

Sa’ad berkata, “Ya Rasulullah, saya bersetuju dengan pendapat Umar kerana tiada gunanya kita mengasihi mereka.”

Nabi lalu meminta pandangan ‘Abdullah bin Rawah, seorang ketua kepada kaum Ansar.

Kata ‘Abdullah, “Ya Rasulallah, pada pendapat saya lebih baik mereka itu dikumpulkan, diikat dan dibakar.”

Nabi bertanya kembali Abu Bakar dan Umar tentang pendapat mereka, namun jawapan mereka masih sama seperti sebelumnya. Lalu Nabi bertanya kepada orang-orang yang hadir dalam majlis itu. Sebahagiaannya bersetuju dengan pandangan Abu Bakar dan sebahagiannya bersetuju dengan pandangan Umar.

Para sahabat yang bersetuju dengan Abu Bakar berbaris di belakang Abu Bakar dan yang bersetuju dengan Umar berbaris di belakang Umar.

Kedua-dua pendapat mendapat sokongan dan alasan yang sama kuat. Nabi seterusnya menghentikan mesyuarat itu buat sementara waktu dan masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian Nabi keluar dan memberikan keputusan. Beliau memuji dan menghormati pendapat Abu Bakar dan Umar.

Beliau berkata kepada Abu Bakar, “Hai Abu Bakar, sekiranya kamu ini hendak disamakan dengan malaikat, kamu sama dengan malaikat Mikail. Mikail turun dengan membawa keredhaan dan keampunan untuk hamba-Nya.”

“Sekiranya kamu ini disamakan dengan Nabi, kamu seperti Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim datang kepada kaumnya dalam keadaan lebih manis daripada madu, lebih halus daripada air susu. Ia datang kepada kaumnya tetepi ditolak dengan kekerasan, ditangkap, dianiaya dan dilemparkan ke dalam api. Namun Nabi Ibrahim berkata kaumnya, ‘Mengapakah kamu menyembah selain Allah, sesuatu yang tidak bermanfa’at sedikit pun dan tidak mendatangkan mudharat kepada kamu? Celakalah kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Maka apakah kamu tidak memahami?”

“Kamu jua seperti Nabi Musa semasa dia berkata, “Barang siapa yang mengikuti aku, sesungguhnya orang itu termasuk dalam golongan aku dan barang siapa yang menderhakai aku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Seperti juga Nabi Isa ketika berkata, “Sekiranya Engkau menyeksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau mengampuni sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Kepada Umar pula Nabi bersabda, “Hai Umar, sekiranya diumpamakan malaikat kamu seperti malaikat Jibril. Ia turun dengan membawa kemarahan daripada Allah dan seksaan kepada musuh-musuh-Nya.”

“Sekiranya kamu diumpamakan seperti Nabi, kamu seperti Nabi Nuh. Semasa dia tidak lagi dipercayai oleh kaumnya dia berkata,’Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun dalam kalangan orang-orang kafir itu tinggal di bumi. Sesungguhnya apabila Engkau biarkan mereka tinggal dalam nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu dan mereka akan melahirkan anak-anak yang berbuat ma’siat dan kafir.’ Dia juga berkata, ‘Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka dan kuncilah hati mereka, mereka tidak beriman sehingga mereka melihat seksaan yang pedih.”

Seterusnya Nabi berkata, “Sesungguhnya Allah melembutkan hati beberapa kaum sehingga lebih lembut daripada air susu dan Allah juga mengeraskan hati beberapa kamu sehingga lebih keras daripada batu. Sesungguhnya kamu semua mempunyai kewajiban. Janganlah kamu melambatkan mereka daripada membayar tebusan  dengan harta benda atau pun penggal leher mereka.”

Dengan itu, nabi membuat keputusan yang setiap tawanan perang perlu membayar tebusan dengan harta. Sekiranya tidak, mereka hendaklah dibunuh atau pun dipenggal kepalanya. Keputusan nabi itu berdasarkan kedua-dua pendapat yang mempunyai tujuan yang sama iaitu menjunjung agama dan menjatuhkan kemusyrikan.

Akhirnya diputuskan, setiap tawaran perang yang mampu menebus diri mereka dengan nilai 4,000 dirham. Bagi yang tidak mampu, hendaklah membayar sebanyak 1,000 dirham. Mereka yang tidak mahu membayar, hendaklah dibunuh.

Keputusan Nabi itu menyelesaikan perselisihan pendapat antara Abu Bakar dan Umar. Kedua-duanya bersetuju dengan keputusan Nabi.

Selang beberapa hari sesudah Nabi membuat keputusan dan sebahagian tawanan sudah dibebaskan, Nabi menerima wahyu daripada Allah.

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum dia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia sedangkan Allah menghendaki akhirat untuk kamu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Sekiranya sudah ada ketetapan terlebih dahulu daripada Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil. Maka makanlah sebahagian daripada harta rampasan perang yang sudah kamu ambil itu sebagai makanan yang halal lagi baik dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

                                                                                                 (Surah al-Anfal:67-68)

Allah menegur nabi bahawa Nabi tidak sepatutnya membebaskan tawaran perang sesudah membayar tabusan sebaliknya mereka perlu diperangi habis-habisan. Sesungguhnya para sahabat Nabi kebanyakannya hanya mahukan harta benda dunia sedangkan Allah ingin mereka memperoleh pahala di akhirat. Allah menegur sekiranya sudah ada ketetapan sebelum itu, tentulah Allah menurunkan ‘azab yang besar kepada Nabi  dan pengikutnya kerana mengambil tebusan. Tetapi Allah memberi keampunan kerana perkara itu sudah berlaku dan Allah Maha Pengampun.

Apabila menerima ayat itu, Nabi dan Abu bakar menangis kerana ayat itu menegur Nabi dan kaum Muslimin yang tidak bersrtuju dengan Umar.

Nabi lalu bersabda, “Kita hampir terkena ‘azab yang besar kerana tidak bersetuju dengan pendapat Umar. Sekiranya turun ‘azab, nescaya kita semua tidak terlepas daripada masalah itu kecuali Umar.”

Kemudian Allah menurunkan pula wahyu kepada Nabi:

                Wahai Nabi, katakanlah kepada orang tawanan yang ada dalam tangan kamu: Sekiranya Allah mengetahui ada kebaikan (iman) dalam hati kamu, nescaya Dia akan memberitahu yang lebih baik daripada apa yang diambil darimu, dan Dia akan mengampuni dosamu; dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dan sekiranya mereka bertujuan mengkhianati kamu, maka sesungguhnya mereka telah pun melakukan khianat kepada Allah sebelum itu, lalu Allah menjadikan (engkau) mengalahkan dan menundukkan mereka; kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

                                                                                                 (surah al-Anfal:70-71)

Melalui ayat itu Allah menyuruh Nabi memberi peringatan kepada para tawanan yang masih ada di bawah kuasa beliau supaya menganut agama Islam dan berbuat kebaikan. Dengan demikian, Allah akan mengganti kerugian mereka semasa peperanagn dan Allah akan mengampuni mereka. Sebaliknya sekiranya mereka bersikap khianat sesudah dibebaskan, sesungguhnya Allah akan menundukkan mereka.

Sesungguhnya Nabi tidak melakukan kesalahan kerana waktu itu belum ada hukum daripada Allah berkenaan dengan tawanan perang. Ayat itu hanya peringatan daripada Allah kepada Nabi dan kaum Muslimin. Kesilapan Nabi hanya kerana mereka memutuskan perkara berdasarkan pendapat Abu Bakar dan sebahagian sahabat. Nabi tidak tahu pandangan itu didasari oleh kepentingan harta dunia dan Abu Bakar sendiri tidak mengehendaki ganjaran dunia.

Peringatan Allah adalah peringatan kepada kaum Muslimin di mana berjuang membela agama janganlah mengahrapkan keuntungan dunia. Sesungguhnya Allah ingin mencari pahala bagi akhirat.

Pendapat ‘Umar dan Sa’ad dipandang lebih besar kerana mereka tidak mempunyai tujuan duniawi sedikit pun.

Pendapat ‘Umar bertujuan bagi kepentingan agama kerana ‘Umar pernah menyatakan, “Permusuhan mereka kepada Islam berlanjutan selama 15 tahun. Mereka tidak menunujukkan tanda-tanda mahu berubah. Sekiranya mereka dibenarkan menebus diri, kita mendapat sedikit harta tetapi mereka akan kembali menentang kita. Apa arti harta yang sedikit  dibandingkan dengan tentangan mereka itu? Sekiranya kita bunuh dan kita penggal leher mereka, separuh daripada tenaga kaum Musyrikin berjaya kita lumpuhkan.”

Menurut kisah ini, dapatlah kita memahami dan mempelajari beberapa perkara. Antaranya adalah perlu kepada kita untuk bermesyurat dalam mendapatkan keputusan lebih-lebih lagi apabila berada dalam sebuah kumpulan, agar keputusan yang diambil dapat memuaskan hati sebahgian besar pihak. Tambahan, dalam kita ingin menegur siapa jua sama ada dalam erti sebuah hubungan kekeluargaan, persahabatan mahu pun organisasi pekerjaan, berbahasalah dengan manis seperti yang ditunjuk oleh Nabi kerana bahasa yang indah bukan sahaja dapat membuka kelapangan di dada malahan akan menambahkan kasih-sayang dalam ukhuwwah. Dalam kisah ini, bahawa Allah jua menunjukkan Nabi adalah manusia yang biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, bukan bermaksud Nabi itu lemah, tetapi amat bersesuaian dan bertepatan dengan sifat harus bagi Nabi iaitu mempunyai sifat yang sama seperti manusia biasa. Terakhirnya adalah dalam perjuangan Islam lebih-lebih lagi janganlah kita mudah tertarik kepada harta kekayaan dunia, kerana dunia ini umpama air lautan, semakin ditelan semakin haus.

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on June 18, 2011, in Tinta kehidupan. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: