Perintah Menukar Arah Qiblat

Semenjak berhijrah ke Madinah, Nabi menunaikan solat dengan menghadap ke arah Baitulmuqaddis. Keadaan itu berlanjutan sehingga lebih kurang 16 bulan lamanya. Dan selama itu jualah Nabi sentiasa berharap supaya Allah memerintahkan menghadap kembali ke Baitullah (Ka’abah). Semasa berada di Makkah, nabi telah menghadap Ka’abah ketika menunaikan solat.

Kemudian pada suatu ketika Nabi berkata kepada Jibri,, “Saya selalu memohon kepada Allah, mudah-mudahan Allah memalingkan muka saya daripada qiblat bangsa Yahudi.”

Jibril menjawab, “Ya Rasulullah, sebaiknya kamu terus sahaja memohon kepada Allah.”

Lantaran, setiap kali Nabi mahu mengerjakan solat, beliau selalu menghadapkan wajahnya ke langit sambil memohon kepada Allah, mudah-mudahan semoga Allah segera menukar arah qiblat bagi orang Islam daripada qiblat bangsa Yahudi. Maka pada suatu ketika, tatkala Nabi sedang ruku’ dalam solatnya, Allah menurunkan wahyu kepada beliau,

Kerapkali Kami melihat kamu (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan kamu berpaling menghadap qiblat yang kamu sukai. Oleh itu palingkan mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Ka’abah)…

                                                                                          (Surah Al-Baqarah:144)

Menurut keterangan yang masyhur, tatkala itu Nabi sedang menunaikan solat ‘Asar bersama para sahabat. Sebaik sahaja mendapat wahyu Nabi segera memalingkan wajahnya ke arah Baitullah. Para sahabat yang menjadi ma’mum pada masa itu turut melakukan apa yang dilakukan oleh Nabi.

Sesudah terjadinya pertukaran qiblat dalam menunaikan solat bagi Nabi dan para pengikutnya, timbullah pelbagai ejekan dan cacian daripada bangsa Yahudi di Madinah, kaum munafiqin dan golongan musyrikin di Makkah. Ejekan-ejekan itu antaranya adalah seperti berikut.

Sebahagian daripada para pendeta Yahudi datang menemui Nabi lalu berkata, “Ya Muhammad, mengapa sekarang kamu menukar arah qiblat sedangkan kamu mengatakan kamu Nabi yang mengikuti agama Ibrahim? Terbukti sekarang kamu menyalahi qiblat Nabi Ibrahim dan Nabi-Nabi daripada kaum Israil terdahulu. Oleh sebab itu, cubalah kamu kembali menghadap ke Baitulmuqaddis, nanti kami akan mengikuti dan membenarkan seruanmu.”

Golongan musyrikin di Makkah pula apabila menerima adanya perubahan qiblat itu, lalu mereka berkata sesama mereka, “Muhammad itu memang selamanya tiada pendirian yang tetap. Dahulu semasa  di Makkah, dia menghadapkan mukanya ke Ka’abah pada masa sembahyang. Apabila berpindah ke Madinah dia menghadapkan qiblatnya ke bangsa Yahudi. Sekarang dia kembali menghadapkan kembali mukanya ke Ka’abah. Mungkin pada waktu yang lain nanti ke qiblat bangsa Yahudi. Mengapa orang yang tiada pendirian dan tidak mempunyai tujuan yang pasti itu diikuti orang? Sekiranya begitu, jelas orang-orang yang mengikutinya itu yang bodoh.”

Kaum munafiqin berkata, “Sekiranya qiblat yang dihadapi oleh Muhammad yang dahulu itu benar, maka qiblat yang sekarang ini salah. Sekiranya qiblat yang dahulu itu salah, maka qiblat yang sekarang ini benar. Akan tetapi mengapa dia tidak mengatakan yang sebenarnya pada kita?”

Ejekan daripada bangsa Yahudi, golongan musyrikin dan kaum munafiqin yang seperti itu adalah fitnah yang mereka lakukan dengan niat menghina Nabi. Lantaran Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi,

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata : Apakah sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari qiblat yang mereka menghadapnya selama ini? Katakan (wahai Muhammad): Timur dan Barat adalah kepunyaan Allah (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah menghadapnya, wajiblah kita mematuhinya), Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Dan demikian (sebagaimana Kami memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai Muhammad) satu umat pilihan yang adil, supaya kamu layak memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang akan menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya qiblat kamu adalah Ka’abah) dan tiadalah Kami jadikan qiblat yang kamu menghadapnya duhulu itu (wahai Muhammad), melainkan bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah qiblat itu) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang diberikan Allah petunjuk hidayah…

                                                                                         (Surah Al-Baqarah:142-43)

Kemudian, pada waktu lain nabi mendapat pertanyaan daripada sebahagian sahabatnya, “Ya Rasulallah, bagaimana raku’ mereka (sahabat-sahabat) yang sudah wafat lebih dahulu sebelum terjadi perpindahan qiblat ini? Apakah amalan mereka yang lepas-lepas diterima oleh Allah?”

Dan waktu itu nabi tidak memberi jawapan atas pertanyaan mereka. Pada masa itu jualah Allah mendatangkan wahyu kepada Nabi,

… Dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman).

                                                                                          (Surah Al-Baqarah:143)

Ini adalah secara ringkas mengenai keterangan tentang pertukaran qiblat yang terjadi pada waktu itu..

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on June 16, 2011, in Tinta kehidupan. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: