Sekilas pandang tentang Yahudi dan Zionis..

Definisi Yahudi berdasarkan al-Quran sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang menggunakan perkataan ‘Yahudi’ atau ‘Bani Israel’. Ramai ulama’ termasuklah Yusuf Qardhawi mengatakan bahawa istilah Ahli Kitab di dalam al-Quran merujuk bukan sahaja kepada orang Yahudi (orang Kristian) yang sebelum dan semasa zaman Rasulallah saw. Tetapi jua merujuk kepada orang Yahudi (dan orang Kristian) yang masih hidup pada zaman sekarang.

Namun, terdapat kekeliruan sebenarnya siapakah yang boleh dikatakan sebagai ahli kitab di kalangan mereka yang mengaku diri sebagai Yahudi pada hari ini. Ini kerana Yahudi yang hidup pada hari ini telah berpecah kepada banyak kumpulan. Sebagai contoh, terdapat Yahudi Ithaca, Yahudi Ashkenazi, Yahudi Sephardim, Yahudi Mehrazim, Yahudi Ultra Orthodox, dan ramai lagi. Adakah mereka yang telah berpecah kepada banyak kelompok ini masih lagi dapat dikelaskan sebagai Yahudi tulen atau adakah di kalangan mereka yang tidak layak digelar sebagai ahli Kitab?

Satu lagi persoalan ialah adakah Yahudi atau pun ahli Kitab yang dimaksudkan dalam al-Quran juga termasuk dalam golongan atheis yakni mereka yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan serta kepada kitab-kitab suci? Bagaimana kita dapat menggelar mereka sebagai ahli kitab jika mereka tidak yakin dengan kitab-kitab suci seperti Injil, Taurat dan Zabur?  Ini merupakan satu lontaran soalan yang penting kerana  berdasarkan kepada satu kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa 48% atau kurang daripada separuh daripada golongan Yahudi di Amerika percaya tentang ketuhanan dan hanya 24% yang benar-benar yakin tentang kewujudan Tuhan. Justeru, adakah ayat-ayat al-Quran tentang ‘ahli-ahli kitab’ dan ‘Yahudi’ merujuk kepada golongan yang langsung tidak beramal dengan ajaran Yahudi?

Mungkin antara salah satu cara untuk kita menjawab persoalan tersebut ialah dengan menilai sendiri definisi Yahudi melalui kacamata kebanyakan orang Yahudi sendiri. Ada yang menyatakan definisi Yahudi adalah :

“Secara umum, istilah Yahudi dari kacamata secular moden merujuk kepada 3 kumpulan:

- mereka yang dilahirkan di dalam keluarga Yahudi tanpa mengira sama ada mereka mengamalkan latarbelakang Yahudi atau pun tidak agama Yahudi

- mereka yang mempunyai latarbelakang Yahudi (kadang kala termasuk jua dikalangan mereka yang mempunyai ibu yang bukan Yahudi)

- mereka yang langsung tidak mempunyai latarbelakang Yahudi tetapi telah menukar agama mereka secara rasmi kepada agama Yahudi dan mengamalkan agama tersebut”

Walaupun secara ringkas definisi di atas ini boelh membantu kita untuk mengenali siapa Yahudi sebenarnya, seringkali terdapat kekeliruan tentang ‘KEYAHUDIAN’ seseorang itu. Sebagai contoh, walaupun definisi di atas adalah mungkin mengatakan bahawa orang Yahudi juga termasuk kepada mereka yang bertukar agama untuk memeluk agama Yahudi, terdapat jua kes di mana paderi dan organisasi Yahudi tidak menerima orang seperti ini sebagai Yahudi kerana proses penukaran agama dilakukan orlah organisasi Yahudi yang dianggap sebagai liberal.

Di samping itu, di kalangan Yahudi Orthodox, hanya mereka yang ibunya seorang Yahudi sahaja sudah dipanggil sebagai orang Yahudi. Oleh kerana itu, mereka menolak seseorang Yahudi jika hanya bapanya  seorang Yahudi. Akhir sekali, kita jua perlu mengambil perhatian bahawa ada pakar bangsa Yahudi mengatakan bahawa ramai daripada golongan Yahudi ‘Ashkenazi’ iaitu Yahudi yang berasala daripada German dan negara-negara Eropah lain bukannya berdarah Yahudi tulen (daripada keturunan Yahudi yang berasala dari Palestin) kerana nenek moyang mereka sebenarnya adalah European converts atau Kristian yang menukar agama kepada agama Yahudi.

Bagaiman pula dengan definisi al-Quran bagi maksud Yahudi? Di antara berbagai pendapat di atas, yang manakah bertepatan dengan definisi al-Quran tentang Yahudi? Jika diteliti, bukanlah sebenarnya aspek definasi Yahudi menjadi perkara utama yang ditekankan dalam al-Quran. Memetik kata daripada Dr Azzam Tamimi, seorang pakar dalam bidang konflik Israel-Palestin dan jua pengarah Instititute of Islamic Political Thought (IPPT) di London, ada 2 perkara penting yang disebut tentang Yahudi dan ‘ahli Kitab’ berdasarkan al-Quran.

Pertama adalah kutukan Allah terhadap tingkah laku buruk yang diamalkan oleh sesetengah orang Yahudi dan Bani Israel dan seterusnya memperingatkan kita supaya tidak mencontohi tingkah laku buruk tersebut.

Kedua, al-Quran juga menerangkan hak orang Yahudi yang berada di bawah pemerintahan Islam yang mesti dihormati oleh orang Islam untuk mengelakkan diri daripada melakukan dosa.

Maka, apa yang perlu disedari ialah al-Quran hanya mengutuk orang Yahudi di atas tindak tanduk mereka dan bukannya mereka memiliki ‘darah Yahudi’. Dalam makna kata yang lain, orang yang dilahirkan sebagai Yahudi atau mengaku dirinya sebagai seorang Yahudi tidak semestinya dikutuk dan dikeji oleh Allah swt jika sifat dan perilaku tidak memusuhi Islam. Bahkan jika ada mereka yang berketurunan Yahudi memeluk Islam, bukan lagi dia akan digelar sebagai orang Yahudi, tapi dia adalah seorang MUSLIM. Fakta ini sepatutnya jelas kepada kita kerana semua telah maklum bahawa ramai nabi-nabi yang terdahulu termasuklah Nabi Daud as, Nabi Sulaiman as, Nabi Musa, dan Nabi Isa as semuanya adalah berketurunan Yahudi. Allah tidak meminta kita mencela bahkan membenci semua mereka yang berada di bawah gelaran Yahudi tanpa melihat dahulu apakah sikap dan perilaku mereka terhadap orang Islam.

Kini merujuk pula kepada Zionisme dan siapakah pula golongan Zionis itu. Zionisme merujuk kepada satu kefahaman yang menyeru kepada pertubuhan sebuah negara-negara bangsa Yahudi di Palestin. Semenjak penubuhan negara Israel pada tahun 1948, ia jua merujuk kepada fahaman yang menyokong kepada kewujudan negara Israel. Akar umbi kefahaman ini adalah usaha segolongan Yahudi yang ingin menyelamatkan orang Yahudi daripada kekejaman, kezaliman, dan penindasan yang telah sekian lama dikenakan ke atas mereka. Sebagai contoh, pada kurun ke 11, 12, 13 episod kekejaman yang berlaku terhadap puak Yahudi adalah ‘tuduhan berdarah’ (blood libel), pengusiran, penindasan penukaran agama secara paksa, dan pembunuhan beramai-ramai dalam episode peperangan Salib. Ketika itu, ribuan orang Yahudi telah terkorban di tangan orang Kristian. Selepas episod peperangan Salib, kekejaman terhadap orang Yahudi adalah penindasan mereka daripada beberapa negara di Eropah. Sebagai contoh, pada tahun 1396, 100 000 orang Yahudi telah diusir dari Austria. Ramai lagi yang telah diusir berpindah ke Poland. Semenjak epidemic  ‘Balck Death’ di Eropah, orang Yahudi dipersalahkan dan ratusan perkampungan mereka diserang. Pada tahun 1348, 900 orang Yahudi telah dibakar hidup-hidup di Strasburg.

Penindasan dan penghinaan terhadap orang Yahudi terus berterusan dan dalam satu episode yang berlaku masyhur di Perancis bergelar ‘Dreyfuss Affair’ seorang penulis Yahudi yang secular bernama Theodore Herzl telah menubuhkan gerakan zionis pada tahun 1896. Dia berhujah dengan mengatakan bahawa Yahudi tidak akan selamat atau sejahtera selagi mana mereka tinggal di Eropah. Menurutnya, orang Yahudi perlu menubuhkan sebuah NEGARA-BANGSA Yahudi sendiri (Jewish homeland). Hujah beliau ditentang oleh ramai paderi atau Rabbi Yahudi sendiri berdasarkan fahaman agama mereka sendiri, tetapi mendapat sokongan yang padu daripada golongan Yahudi secular. Sokongan yang jitu daripada puak Yahudi secular ini menyebabkan ribuan orang Yahudi di Eropah berpindah ke Palestin. Sokongan ini bertambah mantap bila mana Hitler dan kerajaan Nazi German membunuh berjuta orang Yahudi pada perang dunia kedua, WWII.  Namun seperkara lagi yang perlu diambil kira adalah terdapat bukti yang mengatakan bahawa golongan Zionis telah berkerjasama dengan pihak Nazi untuk menggalakkan orang Yahudi berpindah ke Palestin.

Berdasarkan kepada sejarah awal gerakan Zionisme, tidak hairanlah mengapa kesemua pemimpin awla negara Israel seperti Ben Gurion, Chaim Weizmann, Menacham Begin, dan lain-lainnya adalah orang Yahudi secular yang memisahkan antara agama dan kehidupa seharian mereka. Merekalah yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kezaliman dan penindasan yang berlaku kepada umat Islam di Palestin.

Seperkara lagi yang kebanyakan kita terlepas pandang ialah terdapat ramai orang Yahudi yang mengatakan bahawa orang-orang Zionis sebenarnya adalah orang yang telah sesat dari ajaran Yahudi yang asal. Antara mereka yang menyatakan seperti adalah G. Neuburger:

“Jika seseorang itu seorang Yahudi yang baik, dia bukanlah seorang ZIONIS. Manakala jika seseorang itu adalah ZIONIS, maka tidak mungkin dia seorang Yahudi yang baik.”

Kenyataan ini dibuat kerana menurut mereka, fahaman zionis adalah sangat bertentangan dengan ajaran sebenar Yahudi yang tidak membenarkan seseorang yang tinggal di luar Palestin berusaha secara aktif untuk kembali ke bumi Palestin. Mereka jua menyatakan ketuanan ke’Yahudi’an seseorang adalah berdasarkan agama kerana mengikuti fahaman Yahudi, ia menerima orang yang memilih untuk menganuti agama mereka. Tetapi zionisme menekankan aspek “BANGSA” kerana zionis, Israel adalah sebuah homeland atau negara asal hanya untuk bangsa Yahudi.

Memetik kata-kata daripada Dr. Azzam Tamimi, penganut Zionisme tidaklah semestinya orang Yahudi semata. Sesiapa sahaja dari mana-mana bangsa boleh diistilahkan sebagai seorang Zionis asalkan sahaja mereka menyokong kepada penubuhan negara Israel di Palestin. Oleh itu, orang Zionis boleh terdiri daripada orang Kristian atau orang Arab, bahkan daripada kalangan umat ISLaM SENDIRI! Antara orang Zionis awal yang bukan Yahudi ialah Lord Balfour, Setiasuaha Luar Great Britain yang mengeluarkan kenyataan menyokong penubuhan negara Israel di Palestin. Bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yiew, jua boleh dianggap sebagai seorang Zionis kerana menjalin kerjasama erat dengan Israel, terutamanya dalam bidang ketenteraan. Begitu jua dengan ramai lagi ahli politik US termasuklah pemimpin tertinggi mereka yang boleh dikira sebagai Zionis  atas sebab perilaku dan tindak-tanduk mereka yang menyokong dan menolong Israel  walaupun mereka bukanlah terdiri daripada orang Yahudi. Begitu jualah istilah ini boleh dipakai kepada sesiapa jua dan mungkin termasuk di MALAYSIA sendiri??

Bagaimana pula dengan sikap kita terhadap golongan Yahudi?

Sifat Islam kepada golongan Yahudi dapat dilihat menerusi ‘Perjanjian Madinah’ atau ‘Perlembagaan Madinah’ yang telah diadakan oleh Rasulallah saw pada tahun pertama Hijrah. Di bawah perjanjian yang telah dimetrai itu, walaupun Islam adalah asas kewarganegaraan, namun konsep kewarganegeraan telah diperluaskan untuk mencakupi mereka yang menganut agama lain. Ini termasuklah golongan Yahudi yang tinggal di Madinah. Mereka dimasukkan di dalam Madinah sebagai satu komuniti  yang bebas yang ditadbir mengikut ‘kepaderian’ (rabbinical) mereka sendiri. Perenggan 29-36 di dalam Sohifah Madinah menyatakan bahawa orang Yahudi mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dengan orang Islam. Hak kebebasan Bergama jua terpelihara bagi golongan Yahudi.

Memetik kata-kata Dr Azzam Tamimi, pemerintahan Islam sentiasa mewujudkan suasan yang sangat bertolak ansur terhadap mereka yang bergama lain selain daripada Islam termasuklah Yahudi. Di dalam agama Islam, perbezaan agama dan ideology tidak mencetuskan konflik fizikal atau perang yang mana kondisi ini amat berbeza di sebelah Eropah. Contoh terbaik adalah di zaman Salahuddin al-Ayyubi di mana pemikir Yahudi terkemuka bernama Maimonides atau Musa bin Maimun, yang jua merupakan tabib peribadi kepada Salahuddin al-Ayyubi telah berjaya menghasilkan beberapa penulisan yang penting yang telah berjaya membuatkan dia menjadi antara ahli falsafahdan pemikir Yahudi yang paling berpengaruh dalam agama Yahudi hinggalah ke hari ini. Layanan baik umat Islam kepada orang Yahudi tidak berubah hinggalah 13 kurun lamanya.

Namun pada awal kurun ke 20 suasana ini telah berubah. Ini adalah berikutan penubuhan gerakan Zionis oleh Thoedore Herzl pada tahun 1896. Rancangan gerakan Zionis untuk menubuhkan negara Israel ini mendapat sokongan yang lebih kuat di kalangan orang-orang Yahudi apabila ramai di antara mereka yang menjadi mangsa kepada kekejaman Nazi German semasa WWII. Masyarakat antarabangsa termasuklah Britain dan US telah berusaha membantu golongan Zionis dalam rancangan penjajahan bumi Palestin dan sekaligus telah mengubah tanggapan dunia Islam terhadap Yahudi. Mereka kini menjadi musuh utama kepada umat Islam, walaupun hakikatnya bukan semua orang Yahudi terlibat dengan gerakan Zionis ini.

Kebencian orang Islam terhadap Yahudi meningkat lagi apabila mereka terjebak dalam perangkap Zionis yang mahukan orang Yahudi merasa tidak selamat bila mana mereka tinggal bersama umat Islam. Beberapa tempat ibadah telah dibom dan orang Yahudi mula menyangka bahawa ini adalah tanda kemarahan orang Islam terhadap mereka, walhal sebenarnya ini adalah perbuatan golongan Zionis. Taktik Zionis ini berjaya dan akibatnya orang Yahudi yang ketakutan  mula berhijrah beramai-ramai ke Palestin.

Penubuhan negara Zionis pada tahun 1948 telah mewujudkan keadaan di mana umat Islam telah tidak dapat membezakan antara golongan Yahudi dan jua golongan Zionis. Bagi mereka, Zionis dan Yahudi adalah satu gologan yang sama. Walhal ini adalah salah dan tidak benar! Mereka gagal menyedari bahawa pendatang Zionis dari Eropah yang menakluki bumi Palestin adalah berbeza daripada golongan Yahudi yang tinggal di negara Islam secara aman selama ratusan tahun yang telah bersama-sama membina peradaban Islam Arab. Mereka jua gagal menyedari bahawa golongan Zionis bukanlah golongan yang memegang teguh kepada ajaran Yahudi sebenar kerana mereka adalah golongan secular dan atheis. Oleh itu, memetik daripada kata-kata Dr Azzam Tamimi, mereka telah melakukan satu kesalahan besar apabila mereka membincangkan kekejaman golongan Zionis Israel dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran yang mengecam perangai orang Yahudi masa silam.

Satu lagi kesilapan daripada pemikir dan penulis Islam adalah mereka mengatakan bahawa orang Yahudi adalah orang yang jahat kerana keturunan mereka. Dalam arti kata lian, orang Yahudi yang difikirkan jahat kerana mereka mempunyai ‘darah’ jahat Yahudi. Kepercayaan ini kian menebal lagi akibat daripada pengaruh tulisan puak Kristian dan gologan anti-Yahudi yang lain.

Memetik kata Dr Azzam Tamimi, ramai pemikir Isla yang tertipu dengan dokumen ‘The Protocols of Elders of Zion’ yang telah menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk membenarkan tuduhan yang terkandung dalam ’protokol’ ini. Di dalam kemarahan mereka terhadap kezaliman yang dilakukan oleh puak Zionis terhadap rakyat Palestin, mereka gagal menyedari bahawa ayat-yat al-Quran berkenaan Yahudi mengutuk sifat dan sikap amalan buruk sesetangah Yahudi. Ayat-ayat al-Quran bertujuan untuk memperingatkan orang Islam agar tidak mencontohi sifat dan amalan orang Yahudi tersebut  dan bukannya menyatakan bahawa semua roang yang dilahirkan dalam komuniti Yahdui adalah jahat. Mereka jua terlupa bahawa terdapat ayat-ayat al-Quran yang menekankan hak ke atas orang bukan Islam, termasuklah golongan Yahudi dan Kristian, yang menjalin hubungan damai dengan orang Islam. Tambahan, satu kekeliruan di kalangan masyarakat Islam adalah tanggapan bahawa negara Israel sekarang merupakan sebuah negara Yahudi. Walhal Israel adalah lebih tepat disebut sebagai negara ZIONIS!

Tidak kita nafikan bahawa hakikatnya ramai dikalangan orang Yahudi yang telah berjaya dan melakarkan nama dalam sejarah kehidupan mereka  dan menyumbang kepada peradaban manusia.

Antaranya termasuklah

Albert Einstein (Physicist: 1879-1955)

Neils Bohr (Physicist: 1885-1962)

Walter Benjamin (Litery critic, journalist, philosopher:1892-1940)

Levi Strauss (Clothier: 1829-1902)

Steven Spielberg (Filmmaker: 1947-today)

Dan ramai lagi yang lain-lain..

Mereka ini sangat berpengaruh dalam bidang mereka. Namun demikian adakah mereka semua ini jahat? Sudah tentu tidak! Ada terdapat di antara mereka yang tidak punyai kaitan langsung dengan gerakan Zionis dan penubuhan negara Israel.

Sungguh ramai orang Yahudi yang sangat berpengaruh sebenarnya. Lazimnya kita akan lihat nama mereka golongan Yahudi ini amat terkedepan dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Dalam masa yang sama, adalah sangat ramai keterlibatan ramai orang Yahudi dalam sector media, berita dan hiburan. Tambahan, mereka ini adalah pendokong kuat kepada Zionis. Sector inilah yang sangat kuat pengaruhnya kepada masyarakat di serata dunia kerana ramai orang yang memperolehi berita dan makulmat menerusi kaca TV, internet, mendengar radio dan membaca majalah.

Menjadi satu persoalan besar dan tanda tanya kepada kita mengapakah US sangat kuat menyokong Israel dalam kezaliman yang dilakukan terhadapa Palestin. Ramai yang menyangka bahawa ini adalah kerana faktor pengaruh dan kawalan orang Yahudi ke atas organisasi politik dan perniagaan di US. Sebenarnya ini adalah tidak tepat. Ramai orang Yahudi sebenarnya adalah penentang kepada fahaman Zionis dan Israel. Ramai yang lain adalah berkecuali, yakni mereka bukanlah golongan Zionis tetapi mereka juga bukanlah penentang Zionis. Sebab utama mengapa US menyokong Israel adalah kerana kawalan dan pengaruh golongan Zionis dari kalangan bukan Yahudi. Mereka memiliki matlamat yang berbeza-beza dan pelbagai. Ada yang menyokong kerana fahaman agama Kristan dan aju juga yang menyokong kerana keuntungan dunia yang bayak dapat diperolehi.

Memetik kata-kata Dr Azzam Tamimi, terdapat 2 faktor yang mempengaruhi kekuatan fahaman Zionis dan Israel.

Pertama adalah sokongan negara Barat.
Sokongan negara Barat berkemungkinan akan bertambah lemah akibat kelemahan ekonomi yang kian meruncing masa kini dan jua faktor ketenteraan negara Barat yang berpunca daripada masalah dalaman di negara tersebut.

Kedua adalah kelamahan di kalangan masyarakat ISLAM dan negara Arab
Keadaan hanya akan berubah bila mana umat ISLAM kembali kuat dan bangkit sama ada di sebelah Arab mahupun di seluruh negara Islam di bumi ini.

Kini, perkara penting yang perlu dilakukan ialah memperbaiki tanggapan masyarakat Islam terhadap orang Yahudi terutama sekali berkaitan di antara Zionis dan Yahudi. Golongan Zionis memang suka jika wujudnya kebencian masyarakat Islam yang meluap-luap terhadap orang Yahudi secara umum tanpa membezakan antara Zionis dan bukan Zionis. Ini kerana orang Yahudi di serata dunia akan merasa amat takut dan bimbang akan keselamatan diri dan keluarga mereka dan akan menyokong Zionis yang mengatakan bahawa Yahudi hanya akan selamat dengan berpindah dan tinggal di homeland mereka, Israel.

Oleh itu, adalah amat penting kepada kita bagi menerangkan kepada semua umat islam di antara perbezaan Yahudi dan Zionis. Orang Islam mesti disedarkan bahawa adalah wajib ke atas kita memlihara hak mereka dan dilarang menzalimim mereka jika mereka sendiri tidak menzalimi Islam dan umat Islam.

Disini saya sisipkan beberapa petikan kata daripada beberapa orang tokoh:

Pemimpin Tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh:

“Hamas bukannya bermusuh dengan Yahudi kerana mereka itu adalah bangsa Yahudi. Kami bermusuh dengan mereka kerna mereka menduduki tanah air kami dan mengusir orang-orang kami… kami tidak pernah mengatakan akan membuang mereka ke laut atau menjadikan mereka makanan jerung. Kami Cuma mengatakan bahawa pernah wujud sebuah tempat bernama Palestin yang sedang dijajah. Tanah itu telah dicuri dan ia perlu dipulangkan semula kepada orang Palestin”

Pemimpin Tertinggi Hamas yang lain, Khalid Mash’al:

“Konflik ini  berlaku akibat dari pencerobohan dan pendudukan. Perjuangan kami terhadap orang Israel bukanlah kerana mereka itu orang Yahudi, tetapi kerana mereka mencerobohi tanahair dan merampas harta dan tanah kami.”

Memetik pula kata Dr Yusuf Qardhawi:

“Tidak ada permusuhan di antara orang Islam dan orang Yahudi….. Orang Islam hanya menentang gerakan Zionis yang zalim yang menakluki tanah orang Islam, dan bukannya menentang Orang Yahudi”

About these ads

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on June 16, 2012, in Tinta kehidupan and tagged . Bookmark the permalink. 2 Comments.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: