Coretan Perkembangan & Kejatuhan Pemerintahan Islam di Andalusia

Kecemerlangan Andalusia di bawah pemerintahan Islam berlangsung selama hampIr 8 abad, suatu jarak yang seharusnya menjadi teladan kepada masyarakat dunia. Bermula dengan kejayaan Tariq ibn Ziyad menguasai Andalusia pada tahun 711M sehingga kerajaan Nasiriyyah atau Bani Ahmar mengakhiri pada tahun 1492M, merupakan zaman yang cukup membuktikan betapa kemunculan tamadun Barat ada perkaitannya dengan kecemerlangan Tamadun Islam yang telah terbina di Kota Andalusia.

Sehingga kini, Andalusia menjadi tempat bersejarah dan ramai pengkaji dari pelbagai negara melakukan pengkajian kesan peninggalan Islam di sana. Keunikan kedudukannya, ditambah pula dengan kepelbagaian bangsa dan agama ketika pemerintahan Islam dan kecemerlangan budaya ilmu yang berlaku di Andalusia telah menyebabkan rantau ini menjadi sangat penting dalam menggali sejarah untuk melihat sumbangannya dalam ketamadunan moden.

Masakan tidak, kebanyakan ilmu-ilmu moden seperti matematik, fizik, astronomi dan lainnya pernah berkembang pesat di Andalusia tanpa mengira batas perbezaan agama. Maka, nama-nama besar seperti Maimonides (1135M-1205M) – seorang ahli teologi pernah terkenal di Andalusia pada zaman pemerintahan Islam, walaupun beliau berasal daripada bangsa Yahudi. Ketika itulah dikatakan bahawa zaman intelektual berkembang pesat dengan munculnya tokoh dalam kalangan Islam seperti Ibn Rushd (1126M-1198M) yang dapat berdialog dan mempertahankan idea-idea Islam dengan golongan Yahudi. Pemikiran ini jualah telah mempengaruhi golongan Kristian yang dipimpin oleh Tomas Aquinas (1225M-1274M) selepas zamannya.

Kepesatan keilmuan yang mendominasi Andalusia pada waktu kemuncaknya adalah ketika rantau ini berada di bawah pemerintahan Islam. Kejayaan Islam membawa ketamadunan di barat melalui Andalusia sesungguhnya sesuatu yang sangat unik. Ia lebih memberi kesan jika ia turut dinilai daripada aspek perkembangan dan kejatuhan Andalusia itu sendiri demi mencari tauladan yang baik untuk dijadikan pengajaran pada umat pada masa kini.

 

KEDATANGAN ISLAM DI ANDALUSIA

Benua Afrika, terutama Afrika Utara merupakan daerah yang penting dalam kaitannya dengan kedatangan Islam ke Andalusia dan jua penyebarannya ke Eropah. Ia merupakan pintu gerbang utama masuknya Islam ke wilayah yang selama berabad-abad lamanya di bawah pentadbiran Kristian dan menjadi banteng pertahanan Islam untuk menembusi Eropah.

Para sejarawan bersepakat menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Andalusia secara tuntasnya adalah di bawah kepemimpinan Tariq ibn Ziyad yang telah memimpin pasukan tentera menyeberangi Lautan Gibralta menuju ke sempadan Iberia itu. Pasukan Islam hanya sejumlah 7 000 orang lalu berdepan dengan tentera Visigoth yang berkekuatan 100, 000 tentera yang lengkap bersenjata. Lalu bagi meningkatkan semangat dalam pasukan Islam, dikatakan bahawa Tariq ibn Ziyad mengarahkan agar kapal mereka dibakar, lalu digambarkan beliau berpidato :

“Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di hadapan kalian, ke manakah kalian akan lari? Demi Allah, yang kalian miliki hanyalah kejujuran dan kesabaran. Ketahuilah bahawa di pulau ini kalian terlantar daripada anak yatim yang ada di lingkungan orang-orang hina. Musuh kalian telah menyambut kalian dengan senjata mereka. Kekuatan mereka sangat besar, sementara kalian tanpa perlindungan selain daripada pedang-pedang kalian, tanpa kekuatan selain daripada barang-barang yang kalian rampas daripada kalangan musuh kalian. Seandainya pada hari-hari ini kalian masih lagi tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang berkesan, nescaya nama baik kalian akan hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh akan berganti berani kepada kalian. Oleh itu, pertahankanlah jiwa kalian.”

Kalimah terkenal ini dikobarkan oleh Tariq ibn Ziyad bagi menaikkan semangat pasukan tentera Islam dan akhirnya tercatat dalam sejarah penyebaran Islam ke Andalusia setelah tentera Visigoth tidak mampu untuk menentang semangat jihad tentera Islam.

Ucapan ini walau bagaimanapun diragui oleh sebahagian pengkaji sejarah terutama hal yang melibatkan pembakaran kapal kerana faktor di bawah ini :

  • Ucapan beliau hanya dirakam oleh para sejarawan Timur sahaja seperti Ibn al-Athir, tetapi tidak dicatat oleh para sejarawan Andalusia atau sejarawan Afrika Utara yang dari sudut geografinya adalah hampir dengan Andalusia. Oleh kerana itu hanya disebut oleh sejarawan Islam, kemungkinan penambahan terhadap ucapan ini berlaku di dalam sejarah Islam
  • Disebabkan Tariq ibn Ziyad dari kalangan Barbar yang baru memeluk Islam, maka adalah tidak munasabah bagi beliau memberi ucapan yang beitu tinggi dari sudut bahasa dan begitu utuh kefahamannya terhadap Islam.
  • Serangan Andalusia tidak dibenarkan oleh Khalifah al-Walid yang khuatir dengan keselamtan tentera kerana masih belum dibuat kajian sebelum serangan itu dilakukan. Jadi kemungkinan untuk Tariq ibn Ziyad membakar kapal tersebut adalah ada pada tahap yang diragui.
  • Usaha menakluk Andalusia pada peringkat pertama melalui jalan laut ini dilakukan oleh Tarif ibn Malik bersama kekuatan pasukan armada tentera lautnya bagi merintis jalan ke arah penaklukan Semenanjung Iberia itu. Kejayaan tariff telah mendorong Musa ibn Nusair untuk menuju ke sana dan turut mengerahkan Tariq ibn Ziyad bergerak sama untuk menakluk Andalusia. Oleh itu ada keraguan bagi Tariq untuk mengarahkan kapal dibakar kerana sepatutnya Tarif lebih layak untuk berbuat sedemikian.

Pidato beliau yang dilihat tidak mempunyai banyak pertikaian ialah bahagian yang tidak menyentuh pembakaran kapal. Ini lebih kepada ketepatan bagi mengelak berlebih-lebihan dalam mengungkap sejarah lampau serta menunjukkan etika baik dalam penyelidikan.

Ketika Andalusia di bawah pemerintahan Rom, mereka telah membawa masuk orang-orang Yahudi yang mengakibatkan berlaku ketegangan antara orang Yahhudi dan Kristian dan mereka sering berebut menduduki takhta pemerintahan. Kemenangan tentera Tariq ibn Ziyad telah membuka ruang untuk pasukan Islam terus menguasai Andalusia sehingga Tariq dapat meneruskan penguasaan ke Cordova dan Toledo.

Sejak dari itu, Islam mula tersebar luas ke seluruh Andalusia dan bermulalah penguasaan Bani Umaiyyah yang berpusat di Damsyik telah mewakilkan Gabenor untuk mentadbir Andalusia. Seramai 20 orang gabenor telah mentadbir Andalusia dari tahun 718-756M. Gabenor yang pertama adalah Abdul Aziz ibn Musa ibn Nusayr dan yang terakhir adalah Yusuf ibn Abdul Rahman al Fihri. Sejak dari itu, kemenangan demi kemenangan dapat dicapai oleh tentera Islam dalam usaha melebarkan empayar kuasa Islam di bumi Eropah temasuk Bandar Zaragoza, Leon dan beberapa buah Bandar lain.

Apa yang menarik untuk diperhatikan sejarah pemerintahan Andalusia ialah pemerintahan kekal di bawah penguasaan kerajaan Bani Umaiyyah, walaupun kerajaan Bani Abbasiyyah telah mula bertapak dan berpusat di kota Baghdad bermula pada tahun 132H/750M. ini bermaksud, walaupun kerajaan Islam memimpin majoriti umat Islam sudah beralih arah kepada Bani Abbasiyyah, namun Andalusia terus diungguli oleh para pemerintah dari kelompok Umayyah. Secara tidak langsung, kecemerlangan yang dibina pada peringkat awaldi Andalusia terus dapat dibangunkan walaupun ada pergolakan kepimpinan yang berlaku di peringkat pentadbiran pusat sehingga pemerintahan Umayyah beralih arah kepada pemerintahan baru. Proses mempertahankan kedaulatan rantau Andalusia agar bebas dari cengkaman Abbasiyyah dikatakan bermula pada tahun 138H/756M, iaitu kira-kira 4 dekad setelah dibuka oleh pasukan Islam.

PEMERINTAHAN ISLAM DI ANDALUSIA

Secara umum, pemerintahan Islam di Andalusia dilihat sebagai satu pemerintahan yang mementingkan kecemerlangan ketamdunan dari sudut ilmu, sosial dan masyarakat. Sejarawan pada umumnya telah mengetahui bahawa sebelum empayar Islam membuka kota Andalusia, masyarkat Kristian Eropah hidup dalam kegelapan dan jahiliyyah. Ini bermaksud, kedatangan dan era pemerintahan Islam di Andalusia telah melonjakkan tamadun Islam secara keseluruhannya sehingga ada yang menganggap ia lebih hebat daripada Tamadun Islam di Timur yang berada di bawah tampuk pimpinan Bani Umayyah dan Abbasiyah.

Para sejarawan telah membahagikan tahap perkembangan Islam di Andalusia kepada beberapa peringkat. Antaranya ada yang membahagikan kepada:

  • Tahap penubuhan dan pembinaan.
  • Tahap krisis dan pemberontakan.
  • Tahap kegemilangan.
  • Tahap kelemahan dan keruntuhan.

Manakala dari aspek pemerintahan Islam di Andalusia pula, para pengkaji sejarah membahagikan kepada tahap-tahap yang berikut:

  • Zaman Pemerintahan Gabenor – Bani Umayyah Damsyik (711-756M)
  • Zaman Pemerintahan Bani Umayyah (756-1 031M)
  • Zaman Pemerintahan Kerajaan Kecil (1 031- 1 086M)
  • Zaman Penguasaan Kerajaan Afrika Utara (1 086-1 143M)
  • Zaman Pemerintahan Bani Nasr (1 143-1 429M)

Secara umum, pemerintahan Islam di Andalusia telah menjadi pemangkin kepada kejayaan Eropah dalam membina tamadun mereka. Usaha-usaha yang dilakukan oleh para pemerintah Islam telah memberikan impak positif sehingga Barat dapat membina tamadun yang berjaya.

Pada peringkat awal, pemerintahan Islam berjaya untuk mengawal masyarakat Andalusia walaupun mereka mempunyai pelbagai latar belakang. Ada dalam kalangan mereka yang berbangsa Arab, yahudi, Barbar, Islam, Kristian dan lain-lain. Kecemerlangan dapat dicapai apabila masyarakat yang pelbagai ini dapat dijaga dengan sempurna. Namun, antara punca kejatuhan kerajaan Islam Andalusia jua adalah kerana kepelbagaian budaya ini yang merenggangkan hubungan sesama mereka sendiri sehingga kerajaan mereka menjadi lemah.

Pemerintahan Islam digambarkan berjaya menjamin hak-hak asasi kaum lain sehingga boleh membantu dalam usaha meninggikan tamadun. Antaranya dapat dibuktikan daripada kajian yang menyatakan bahawa: after five centuries of Muslim rule during which the Jewish community had been allowed to follow their practices practically unhampered – often with Jews being given high-ranking posts in the administration of the country, and especially after Abdul Rahman I had become the Amir of Andalus in 756M – their number had increased considerably.

Daripada gambaran ini, dapat difahami bahawa perpaduan antara kamu berasaskan jaminan terhadap hak-hak kaum minoriti sebenarnya boleh membantu mewujudkan kestabilan selagi mana ia tidak bertentangan dengan hasrat pemerintahan. Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan tamadun Islam Andalusia menguasai dunia dan meniti di bibir umat Islam dalam menghormati ketamadunan yang dibina.

 

PERINGKAT KECEMERLANGAN ISLAM DI ANDALUSIA

Kecemerlangan pemerintahan Islam di Andalusia boleh dikatakan berlaku pada zaman Umayyah Andalusia, selepas mereka bertindak keluar dari penguasaan Abbasiyyah terhadap wilayah Islam. Kejayaan ini berlaku pada zaman Abdul Rahman al-Dakhil yang mula mengukir nama di Andalusia pada tahun 138H/ 756M. Zaman ini telah berterusan sehingga kira-kira 3 abad sehingga 422H/ 1 031M di mana pemimpinnya berjaya membentuk satu masyarakat yang dinamis dan harmonis dalam kepelbagaian latar belakang penduduknya. Dalam hal ini, Ahmad Zaki menegaskan bahawa kecemerlangan di zaman pemerintahan Umayyah terus langsung dalam dua peringkat pentadbiran yang penting iaitu pertama: era kepimpinan Umayyah yang memerintah tanpa campur tangan asing dan kedua: era pemerintahan Umayyah yang tidak dipengaruhi oleh kerajaan Abbasiyyah di Baghdad dari segi politik bersama dengan rohnya.

Melihat kepada zaman kecemerlangan ini, boleh dikatakan bahawa pentadbiran diberi kuasa mentadbir secara sendiri tanpa dipengaruhi anasir luar, boleh sebenarnya memacu kepada kecemerlangan yang ingin dicapai. Apabila perntadbiran itu tidak campur tangan dengan urusan-urusan lain, maka mereka tidak akan disibukkan dengan pergolakan luaran yang berlaku. Maka, tumpuan mereka adalah dalam kerangka mempertingkat dan memperkasa daya dan usaha ke arah merealisasikan matlamat yang digariskan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah Andalusia itu muncul sebagai satu ketamadunan yang cukup membanggakan Timur dan Barat.

Bermula dengan zaman pemerintahan Abdul Rahman al-Dakhil jualah telah memperlihatkan kepada perkembangan pesat ketamdunan berlaku. Di zaman beliau, masjid Cordova telah dibina dan sekolah-sekolah telah didirikan di kota-kota besar Andalusia. Hisham pula merupakan orang yang mengungguli syariah Islam dan Hakam didapapti banyak memberi sumbangan kepada aspek ketenteraan dari segi kelengkapan dan latihan yang smepurna untuk pasukan pertahanan.

Masjid Cordova mula dibina pada tahun 784M di bawah penyeliaan pemerintah Islam Andalusia Abdul Rahman I. Masjid ini pernah mengalami beberapa pengubah suaian sehingga satu tahap di mana dianggap sebagai masjid ke-2 terbesar dalam empayar Islam. Setelah Cordova jatuh ke tangan Kristian pada tahun 1 236M di bawah pemerintahan Raja Ferdinand III dari Castile, masjid Cordova telah ditukar kepada Gereja. Bahagian tengah masjid telah diubah  suai dan diterapkan dengan unsur-unsur Gereja. Sehingga kini, ia digunakan sebagai Gereja untuk Kristian Roman Katolik.

Bermula pada zaman Abdul Rahman III yang dikenali juga dengan nama Abdul Rahman al-Nasir, pemerintahan Andalusia mula menggunakan gelaran Khilafah, mungkin disebabkna oleh merekalah satu-satunya kerajaan yang meneruskan pemerintahan Bani Umayyah di kala Bani Abbasiyyah mula mengukir kuasa di Baghdad. Ada yang mengatakan bahawa pemakaian gelaran Khalifah itu berlaku kerana Abdul Rahman III melihat bahawa kerajaan Bani Abbasiyyah mungkin akan runtuh disebabkan oleh pergolakan yang menyaksikan al-Mu’tadil dibunuh oleh pengawalnya sendiri. Gelaran Khalifah ini sudah tentu mengangkat mertabat beliau kerana ia akan dianggap sebagai pemerintahan bagi keseluruhan khilafah Islam.

Di atas semangat Abdul Rahman III inilah telah memperlihatkan kejayaan pemerintahan beliau dalam mendirikan pusat kecemerlangan ilmu, iaitu Universiti Cordova yang gah terus berdiri sehingga kini.

Namun begitu, seakan sudah menjadi lumrah bahawa di sana ada kitaran ketamdunan seperti yang dibicarakan oleh Ibn Khaldun. Kitaran ketamadunan inilah menyebabkan kita berfikir bahawa segala apa yang berada dipuncak pasti akan melalui zaman kejatuhannya. Kitaran inilah yang turut melanda Andalusia sehingga kejayaan yang dibina semakin lama semakin menunjukkan ketidakmampuan untuk dipertahankan. Apa yang dimaksudkan ialah ketidakmampuan untuk mempertahankan penguasaan Islam di sana pada sudut politik pentadbiran, bukannya dari sudut kecemerlangan intelektual dan fizikal.

Kejatuhan Andalusia tidak berlaku dalam sekelip mata, tetapi ia melalui proses yang panjang. Seayangnya, tiada dikalangan pemimpin umat Islam pada ketika itu yang berjaya mempertahankan ketuanan Andalusia. Bibit kejatuhan ini bermula bilamana pemerintahan Andalusia dijuzukkan kepada keraajaan kecil.

KEWUJUDAN KERJAAN KECIL ANDALUSIA MEMBAWA KEJATUHAN

Kerajaan-kerajaan kecil yang muncul di Anddalusia terbentuk apabila kepimpinan utama mulai lemah. Lebih tepat lagi, ia rentetan daripada kelemahan pemimpin di kalangan Bani Umaiyyah yang menguasai Andalusia selepas daripada Khalifah al-Muntansar Billah (961-976M). Bermula dari ini, Andalusia yang diperintah oleh sebuah kerajaan, berpecah menjadi banyak daerah kecil yang membentuk lebih daripada 20 kerajaan kecil.

Pembentukan kerajaan-kerajaan kecil ini yang turut dikenali sebagai Muluk al-Tawa’if wujud disebabkan oleh antaranya semangat kepuakan, iaitu ingin mengangkat puak sendiri. Mereka seolah-olah secara tidak langsung telah berpegang kepada semangat Ukhuwwah Islamiyyah dan seakan menjerumus kepada perkauman sesama sendiri.

Fenomena ini berlaku setelah pucuk pimpinan di Cordova mengalami masalah dalaman iaitu bergaduh dan bercakaran, malah ada yang saling menindas semata untuk merebut jawatan khalifah. Secara tidak langsung, kerajaan-kerajaan kecil ini wujud pada dekad akhir pemerintahan Bani Umaiyyah di Andalusia, iaitu kira-kira sekitar tahun 403H / 1012M.

Namun bibit-bibit perpecahan awal telah pun wujud atau dapat dilihat 20 tahun lebih awal iaitu semasa Khalifah Hisham II yang memegang tampuk pemerintahan. Perpecahan adalah jelas ketara setelah al-Mansur Ibn Abi Amir meninggal dunia pada tahun 392H / 1 002M.

BENTENG TERAKHIR DAN KEJATUHAN ANDALUSIA

Cordova yang masyhur di dalam Bahasa Arab sebagai al-Qurtubah merupakan bandar terakhir di bawah penguasaan Islam sebelum Andalusia jatuh sepenuhnya ke atas tangan golongan Kristian.

Kedaifan dalam mempertahankan pemerinthan Islam di Andalusia amat menyedihkan. Ia berlaku pada zaman pemerintahan terakhir Islam di bawah Bani al-Ahmar yang menguasai wilayah terakhir Andalusia iaitu Granada dari tahun 620 hingga 897H. Penyerahan yang dikatakan mempunyai 67 perkara itu antara lain menjamin keselamatan orang Islam yang tinggal di Sepanyol dan juga jaminan keselamatan sekiranya mereka ingin keluar dari Sepanyol menuju ke daerah lain, terutama untuk kembali ke daerah Afrika Utara.

Namun perjanjian yang tidak pernah ditunaikan oleh pihak Kristian itu nampaknya menjadi senjata menikam umat Islam terus menerus sehingga mereka tidak mampu lagi untuk bertahan, apatah lagi untuk merampas semula Andalusia. Kesan-kesan peninggalan umat Islam, ketamdunan yang di bina dan seumpamanya telah banyak dimusnahkan.

Dalam kes ini, lebih jelas jika dilihat bagaimana kota Madinah al-Zahra ditemui dalam keadaan yang sangat menyedihkan dengan runtuhan kota seolah-olah tidak dapat diselamatkan. Walaupun kota ini dikatakan telah musnah akibat pergolakan dan peperangan saudara pada tahun 1 010M, namun keunggulan kota ini terus malap apabila Andalusia jatuh ke tangan orang bukan Islam.

Madinah al-Zahra dibuka oleh al-Nasir li Din-Allah – Abdul Rahman III yang memerintah kota Cordova dari 921-961M, kota ini dibangunkan dengan perlahan, kebanyakan dilakukan oleh al-Hakim II (961-946M) sebuah kompleks segi empat yang menempatkan bahagian penempatan dan pentadbiran di dalam lingkungan tembok  yang kukuh. Kesan runtuhan Madinah al-Zahra ini masih wujud pada hari ini dan menjadi salah satu tarikan pelancong di Cordova.

Ketika Bani Ahmar memrintah Andalusia, wilayah pemerintahan mereka sudah mula menguncup, tidak lagi sepertimana pada zaman kegemilangan pemerintahan Abdul Rahman III. Secara khusus pemerintahan mereka hanya melibatkan wilayah Granada sahaja yang menjadi daerah terletaknya istana yang masyhur iaitu Istana al-Hamra’ atau dalam bahasa Sepanyol pada hari ini lebih dikenali sebagai al-Hambra.

Nama al-Hamra’ itu berkemungkanan besar disebabkan oleh batu binaan yang digunakan untuk membangunkan istana ini adalah dari bahan bata yang berwarna merah. Ia dibina antara tahun 1 248- 1 354M ketika di bawah pemerintahan Bani Ahmar. Keindahannya memukau para pengkaji untuk meniliti konsep binaan tersebut. Ketika Andalusia jatuh ke atas tangan Kristian, usaha dilakukan pleh mereka untuk mengubah suai binaan tersebut. Namun, seni bina asal al-Hambra itu dipengaruhi oleh Islam-Moorish masih mampu kelihatan bahawa senibina asalnya tidak dapat ditandingi oleh senibina Kristian sehingga wujud perbezaan nyata yang menampakkan senibina Islam itu lebih dilihat sebagai unik dan bertamadun.

Oleh kerana berlaku perselisihan keluarga dalam mewarisi kepimpinan, akhirnya telah menyebabkan pergolakan anak-beranak berlaku dan seterusnya melemahkan lagi pemerintahan Islam di Granada ini. Disebabkan Abu Abdullah tidak berpuas hati dengan perewarisan takhta yang ditunjukkan oleh bapanya sendiri, iaitu kepada saudaranya yang lain, lalu beliau diberontak sehingga dalam pemberontakan ini telah mengorbankan nyawa bapanya. Namun, takhta pemerintahan tidak menyebelahi Abu Abullah, tetapi ia beralih kepada Muhammad ibn Sa’ad.

Lalu perancangan dibuat dalam bentuk kerjasam antara Raja Ferdinand dan Abu Abdullah untuk merampas kembali takhta pemerintahan. Rampasan itu berjaya, ringkasnya Abu Abdullah dapat menduduki takhta tetapi bagi jangkamasa yang pendek disebabkan tekanan daripada Ferdinand untuk mendaptkan habuan. Habuannya tidak lalu bukan ialah penyerahan wilayah Granada ini kepada beliau, lantus masyhurlah Ferdinand yang berisiterikan Isabella sebagai raja yang menumbangkan kerajaan Islam terakhir di Andalusia.

Kejatuhan Andalusia rupanya adalah kelemahan pemerintahan yang sanggup menggadai prinsip mereka demi mendapat bantuan sokongan untuk menduduki takhta yang hanya bersifat sementara sahaja. Selain itu, ia turut disebabkan beberapa faktor :

  • Usaha agresif Kristian untuk menakluk kembali wilayah yang ditadbir oleh kaum Muslimin sehingga menyebabkan pertahanan mereka terus rapuh dan tidak mampu bertahan atas serangan fikri dan askari yang dilakukan oleh tentera musuh. Gerakan ini lebih dikenali sebagai Reconquista. Tidak dinafikan ia mempunyai kaitan dengan usaha pihak Kristian untuk menakluk wilayah yang telah jatuh ke tangan umat Islam di seluruh dunia di mana ia seolah turut terkesan dengan pergerakan tentera Salib yang menumpukan perhatian di wilayah umat Islam di Asia Barat.
  • Ketiadaan sokongan dari pemerintah Islam di wilayah luar Andalusia, melainkan sokongan sering diterima hanyalah dari Afrika Utara sahaja.
  • Tiada mekanisme dalam mencari pengganti yang layak (succession plan) untuk meneruskan pemerintahan di mana kebanyakan mereka mewariskan kepimpinan kepada anak beranak dan keluarga sahaja.
  • Tiada kesepakatan (wehdatul fikri dan wehdatul amal) dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan pemerintahan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain. Perbezaan fikrah yang wujud dalam kalangan mereka banyak membawa keruntuhan dan kurang usaha untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati.

Kesan daripada kejatuhan inilah umat Islam dihina dan dihalau keluar dari Andalusia. Ia turut terpalit kepada kaum Yahudi, di mana tiada kuasa yang boleh melindungi mereka setelah kerajaan Islam menjadi lemah seterusnya runtuh. Kehinaan yang diterima sepertimana berdsarkan perintah yang dikeluarkan pada tahun 1 492M iaitu setiap dari orang Yahudi yang enggan dibaptis, mereka perlulah keluar dari Andalusia dalam tempoh masa 3 bulan. Ia diikuti perintah dikeluarkan 10 tahun selepas itu kepada mereka yang tidak mahu dibaptiskan, iaitu pada perintah Februari 1 502M di mana pihak Kristian mengusir golongan pendatang yakni orang Islam dari Sevilla dan sekitarnya. Jelas, kejatuhan pemerintahan yang berlaku bukan sekadar peralihan kuasa politik semata, tetapi ia turut memberi kesan kehinaan kepada umat Islam, malah ada di antara mereka diperangi ketika sudah bersedia mahu keluar dari Andalusia.

 

IKTIBAR SEJARAH ANDALUSIA : TELADAN DAN SEMPADAN

Jika diteliti dari sudut perkembangandan kemajuan Islam di Andalusia, jelas menunjukkan bahawa pemerintahan Islam telah mementingkan kemajuan intelektual dan keilmuan, di samping perkembangan dalam industry dan pertanian.

Namun disebabkan beberapa masalah dalaman yang berlaku, pemerintahan Islam akhirnya tidak dapat betahan dan terpaksa menyerahkan kuasa penguasaan mereka hampir selam 8 abad kembali kepada Kristian.

Antara punca yang dapat dilihat melemahkan umat Islam ketika itu dan boleh dijadikan ikhtibar pada masa kini ialah :

  • Perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin yang mentadbir wilayah. Ini dapat dilihat paa peringkat awal pemerintahan Andalusia di mana para pemimpin sering berselisish dalam hal ehwal pentadbiran. Gangguan dari dalam ini telah menyebabkan ketidakseimbangan berlaku. Di antara pergolakan itu berupa perselisihan di antara elite penguasa, terutama akibat perbezaan ras dan etnik. Di samping itu, terdapat perbezaan pandangan antara Khalifah di Damsyik dan gabenor Afrika Utara yang berpusat Qairawan. Masing-masing beranggapan bahawa merekalah yang paling layak menguasai Andalusia ini. Oleh kerana itu, tidak hairanlah penggantian pemerintah atau wali (gabenor) berlaku lebih daripada 27 kali dalam jangka masa yang singkat. Perbezaan pandangan politik itu menyebabkan seringya terjadi perang saudara sesama mereka lalu merencatkan pembangunan tamadun umat di sana.
  • Tidak mempunyai sifat ketaatan kepada pimpinan sehinggalah mereka tidak mahu mengikut nasihat Khalifah. Akhirnya, anasir-anasir tidak puas hati ini membawa kepada perancangan untuk merampas kuasa dalam kalangan umat Islam, sedihnya dengan melibatkan kerjasama dengan pihak musuh seperti yang berlakau di MALAYSIA pada suatu masa dulu.
  • Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasam dengan musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesame mereka.

Manakala kejayaan mereka yang boleh dijadikan ikhtibar ialah :

  • Andalusia telah membuka ruang untuk memastikan supaya sekiranya kita ingin sentiasa maju ke hadapan, kita harus bersikap terbuka kepada pemikiran-pemikiran kreatif dan idea-idea yang inovatif. Mereka telah mencapai kejayaan dalam aspek sains dan teknologi kerana mereka menggalakkan suasana intelek dan tidk rigid kepada kemasukan ilmu-ilmu moden.
  • Kecemerlangan Andalusia dalam bidang pertanian dan industri memungkinkan kita untuk mempertingkatkan kemajuan dalam bidang ini dengan bantuan teknologi maklumat, dan mengambil nikmat bioteknologi untuk dikembangkan dalam sector ini agar pertanian dan industri lain tidak lagi dipandang enteng.
  • Lahirnya ilmuan seperti Ibn Bajjah (1 082-1 138M), Ibn Zuhr (1 091-1 1162M) dan lain-lain menuntut kita melahirkan cendiakawan Islam yang versatile, mahir dalam sudut ilmu turath dan jua ilmu moden yang mampu untuk meninggalkan jejaknya yang tersendiri di dunia ini. Generasi ilmuwan moden harus dibina jati diri mantap agar dapat memberi manfaat kepada pembangunan jasmani, emosi, rohani dan intelek masyarakat sesebuah negara.
  • Ketamduanan yang dibina telah meninggalkan Eropah yang pada waktu itu berada dalam zaman kegelapan. Bandar Cordova di Andaslusia dilihat sebagai Bandar yang terulung dalamn kalangan negara-negara Eropah yang lain dan mereka telah memajukan intelektualisme dari aspek falsafah, senibina, matematik, teologi, perubatan dan banyak lagi sehingga dilihat Islam begitu ke hadapan dalam soal ini. Mereka dapat mengasimilasikan Islam dengan falsafah dan puat kecemerlangan Greek sehingga ia menyumbang kepada keseluruhan negara Barat yang didominasi kaum Kristian.
  • Kejayaan merek membina tamadun dalam keadaan mereka mempunyai kepelbagaian bangsa dan penganut agama samawi juga sesuatu yang unik. Sudah pasti ia ada kaitan dengan kefahaman terhadap ajaran Islam yang dipraktikkan dalam bentuk siyasi. Tujukan tentunya terhadap contoh-contoh awal yang ditunjukkan oleh Khalifah Islam dalam memberi dan menjamin hak asasi manusia setiap penganut agama yang mana mereka boleh hidup aman damai di bawah pemerintahan Islam. Contoh-contoh jaminan ini terus dilaksanakan sehingga ke wilayah pemerintahan Andalusia. Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan sejarah di mana umat Islam, Kristian dan Yahudi saling membantu mewujudkan suasana keilmuan yang baik terutama di Cordova. Ini kelihatan begitu relevan dengan Malaysia yang dikatakan wujundnya pelbagai agama dan bangsa. Oleh itu, demi mencapai kemajuan antara kaum ini harus diberi tumpuan yang wajar bagi meningkatkan kerjasama dan fahaman dalam rakyat yang ada.

Kecemerlangan tamadun Islam Andalusia berakhir tanpa dapat dipertahankan oleh umat Islam. Ia jatuh di bawah pemerintahan kerajaan Sepanyol dan kekal hingga kini. Kesan peninggalan itu masih dibanggakan walaupun hakikatnya tiada apa yang diperolehi umat Islam hasil peninggalan ini. Kejatuhan Andalusia kelihatan tidak memungkinkan ia kembali semula ditadbir oleh umat Islam. Pengalaman pahit ini perlu terus dipelajari agar umat Islam pada masa kini tidak lagi mengulangi perkara yang sama. Seorang muslim tidak akan jatuh pada lubang sama sebanyak dua kali.

Namun, kesediaan Eropah membuka kembali pintu pada abad moden ini memberi sedikit peluang kepada bangsa-bangsa lain berada di wilayah mereka telah sedikit sebanyak menyaksikan kemunculan kembali umat Islam di Erpoah, termasuk di Andalusia. Kini, bilangan penduduk umat Islam di Andalusia hakikatnya semakin bertambah. Walaupun pihak bukan Islam ingin berusaha sedaya upaya mungkin memadam terus umat Islam di Barat, namun hakikatnya Islam semakin mendapat tempat di hati masyarakat Eropah. Jelaslah maksud firman Allah dalam surah al-Saff :

“Mereka, yakni orang-orang kafir berusaha untuk memadamkan cahaya Allah SWT, namun ALLAH terus menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang-orang kafir itu membenci”

(al-Saff 61:8)

About these ads

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on December 10, 2011, in ~Coretan~. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: