Turunnya Ayat yang Melarang Minuman Keras

Meminum minuman keras atau minuman yang memabukkan sudah menjadi kebiasaan umat manusia daripada semua bangsa di muka bumi ini kerana mereka sudah membelakangi pemimpin agama. Maka, apabila sesuatu bangsa tidak lagi memerhatikan pemimpin agamanya, dengan sendirinya akan ramai di kalangan mereka yang akan suka melakukan perkara yang mungkar termasuklah meminum minuman yang memabukkan.

Semenjak bangsa Arab meninggalkan pimpinan agama yang suci, agama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, mereka tidak pernah ketinggalan dalam melakukan pekerjaaan yang membawa akibat yang buruk itu, iaitu meminum minuman keras yang memabukkan. Bahkan, dapat jua dikatakan bangsa Arab adalah lebih besar dan lebih banyak berbanding bangsa-bangsa lain. Sedikit sekali bangsa Arab pada masa itu tidak meminum minuman keras.

Apabila Nabi Muhammad dibangkitkan sebagai utusan Allah dan baginda menyeru kepada bangsa Arab Quraisy supaya meninggalkan arak, mereka beransur-ansur meninggalkannya. Mereka mula sedar tentang bahaya minuma keras tersebut kepada akal fikiran dan masyarakat umum. Meskipun demikian, sejak Nabi diutuskan oleh Allah sehingga baginda berhijrah ke Madinah dan setelah beberapa tahun tinggal di Madinah, minuman yang memabukkan itu masih belum diharamkan oleh baginda. Pada masa itu belum ada wahyu yang tegas melarang meminum minuman yang memabukkan itu. Maka, ketika itu seluruh kaum Muslimin yang sudah biasa meminum arak sejak sebelum memeluk agama Islam lagi (semenjak zaman Jahiliyyah) tidak meninggalkan kebiasaan adat itu. Sehingga pada suatu ketika ada di kalangan mereka yang mula sedar tentang bahaya meminum arak. Antara sahabat yang mula menimbulkan persoalan adalah ‘Umar al-Khattab.

‘Umar bertanya kepada Nabi tentang hukum minuman yang memabukkan itu, “ Ya Rasullah, berikan penjelasan kepada kami tentang arak dengan penjelasan yang memuaskan kerana ia melenyapkan harta dan fikiran.”

‘Umar al-Khattab bertanya beberapa kali kepada Baginda, “Ya Rasullah, sudilah kamu menerangkan kepada kami tentang arak dan judi kerana kedua-duanya itu melenyapkan fikiran dan harta!”

Ketika ‘Umar bertanya, Nabi belum lagi  dapat menjawabnya. Maka ketika itu turunlah wahyu kepada beliau:

Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang khamar dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya itu terdapat beberapa dosa besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.

                                                                                               (Surah al-Baqarah;219)

Pada suatu hari, ‘Abdurrahman bin ‘Auf mengadakan majlis jamuan dan menjemput kawan dan taulan dariapda kaum Muslimin. Dalam jamuan itu, ada kaum Musliman yang mabuk sehingga menjelang waktu maghrib. Lantaran waktu maghrib sudah masuk, lalu mereka yang sedang mabuk itu pun mendirikan solat. Orang yang menjadi imam  solat Maghrib ketika itu dalam keadaan mabuk, maka dia tersilap membacakan ayat-ayat al-Quran.

Antaranya dia membaca,

Saya menyembah apa yang kamu sembah

Sedangkan bacaan yang benar adalah

                Saya tidak menyembah apa yang kamu sembah                            

Bacaan itu amat berbahaya kerana membawa arti yang berlainamn daripada maksud asal. Lalu Allah menurunkan wahyu kepada Nabi:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan.

                                                                                                                 (an-Nisa; 43)

Ayat ini bererti kaum Muslimin dilarang mengerjakan solat dalam keadaan mabuk. Maka dapatlah difahami kaum Muslimin hanya dibenarkan unutk menunaikan solat apabila mereka sudah tidak lagi mabuk.

Ayat ini jua turut melarang kaum Muslimin mengerjakan solat dalam keadaan mabuk dan masih belum lagi menunjukkan larangan meminum minuman keras. Sebahagian kaum Muslimin ketika itu masih tetap lagi meminum arak. Mereka meminumnya setelah selesai menunaikan solat ‘Isyak. Pada waktu subuh, mereka boleh mengerjakan solat subuh kerana mabuknya sudah hilang. Ada jua yang meminumnya setelah solat subuh. Apabila datang waktu zuhur, mabuknya sudah hilang dan mereka dapat mengerjakan solat Zuhur. Begitulah seterusnya, mereka masih gemar meminum arak dengan cara memperkirakan waktunya. Asalkan mereka dapat mengerjakan solat pada waktunya dan bukan dalam keadaan mabuk.

Pada suatu hari, sahabat bernama Atban bin Malik mengadakan majlis perkahwinan dengan menjemput sahabat-sahabat kaum Muslimin. Antara yang dipanggil adalah sahabat Ansar dan Muhajirin. Dalam majlis perkahwinan itu, minuman arak turut disajikan. Setelah jamuan selesai, setiap orang yang ikut minuman arak menjadi mabuk. Dalam keadaan mabuk itu, terdapat dalam kalangan sahabat Muhijirin mengucapkan perkataan-perkataan yang mengandungi penghinaan dan ejekan terhadap kaum Ansar. Sebaliknya, para sahabat Ansar lalu menunujukkan kemuliaan dan kemegahannya sambil menghina kaum Muhajirin.

Maka, terjadilah perang mulut antara kedua-dua golongan itu tanpa mereka sedari dan akhirnya terjadi pula perkelahian. Setelah tercetusnya perkelahian ramai, seorang lelaki Ansar mengambil tulang kaki unta lalu mengetuk kepala Sa’ad bin Abi Waqqas. Ini kerana Sa’ad dianggap orang yang mula-mula menghina dan mengejek golongan Ansar. Akibatnya, Sa’ad luka parah di kepalanya. Dia melarikan diri lalu mengadukan perkarai ini kepada Nabi.

‘Umar al-Khattab yang mengetahui perkara itu berdoa kepada Allah. Dia menyedari penyebabnya adalah kerana mereka mabuk. ‘Umar berdoa, “Ya Allah, berilah keterangan kepada kami tentang arak dengan keterangan yang memuaskan!”

Ketika itu, Allah menurunkan wahyu kepada Nabi:

Hai orang-orang yang beriman,  sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, berkorban untuk berhala, dan mengundi nasib dengan panah, ialah perbuatan keji yang termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu supaya kamu mendapat keuntungan. Sesungguhnya syaitan bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran (meminum) khamar dan judi itudan menghalang kamu daripada mengingati Allah dan solat. Maka berhentilah kamu (daripada mengerjakan pekerjaan itu).

                                                                                                         (al-Maidah;91-92)

Ayat tersebut menunjukkan perbuatan-perbuatan yang termaktub di dalamnya adalah perbuatan syaitan dan kaum Muslimin wajib menjauhinya. Sesudah ayat itu disampaikan oleh Nabi kepada kaum Muslimin, ‘Umar lalu berkata, “Kami berjani, ya Tuhanku!”

Kaum muslimin lalu berhenti meminum arak dan menjauhinya. Segala minuman yang memabukkan terutama khamar, terus dibuang dari rumah mereka. Kaum Muslimin yang belum membuang sisa-sisa  minuman keras dari rumah mereka bertanya kepada Nabi, “Ya Rasulallah! Adakah arak itu kotor? Padahal dalam perutnya si fulan bin fulan yang mati syahid di Badar ada arak; dan dalam perutnya si fulan bin fulan yang mati di Uhud itu ada arak. Lalu bagaimana?”

Nabi ketika itu menerima wahyu daripada Allah:

Tidak ada dosa bagi orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh pada apa yang telah mereka makan terdahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan membuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

                                                                                                             (al-Maidah; 93)

Menurut sejarah, semenjak ayat itu diturunkan, kaum Muslimin meninggalkan terus amalan meminum khamar.

Para sarjana berselisih pendapat mengenai peristiwa mulai diharamkan minuma arak itu. Sebahagian sarjana mengatakan terjadi pada tahun 3 Hijrah dan sebahagian mengatakan pada tahun 4 Hijrah. Tetapi sebahagian besar yang lain mengatakan pada tahu  6 Hijrah dan tahun terjadinya perdamaian di Hudaibiyah. Wallahu ‘alam!

Menurut penjelasan para sarjana tafsir, sesungguhnya Allah menurunkan 4 ayat yeng berkenaan kepada keadaan minuman khamar.

Pertama, Allah menurunkan ayat ketika Nabi masih berada di Makkah (masih belum berhijrah)

Dan daripada buah tamar dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman haram dan rezki yang baik, sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda bagi orang yang mahu menggunakan akalnya.    

                                                                                                                 (an-Nahl;67)

Daripada ayat ini dapatlah difahami pada mulanya minuman yang yang memabukkan yang dibuat daripada buah kurma atau anggur itu tidak haram. Kaum Muslimin sewaktu berada di Makkah tetap meminum minuman yang memabukkan itu. Kemudian, setelah nabi dan sebahagian besar umat Muslimin berhijrah ke Madinah, maka sebahagian daripada sahabat ada yang menanyakan tentang minum arak dan berjudi kepada Nabi. Kerana kaum Muslimin yang berada di Madinah ketika itu sudah biasa dengan meminum arak dan memakan harta daripada hasil perjudian. Maka diturunkanlah ayat 219 surah al-Baqarah sebagaimana yang tertera sebelum ini.

Kerana dalam ayat itu belum dijelaskan tentang haramnya, lalu sebahagian kaum Muslimin tetap meminumnya. Lalu turunlah ayat 43 surah an-Nisa. Selepas terjadinya peristiwa-peristiwa yang tidak diingini oleh kaum Muslimin, diturunkanlah ayat 90 surah al-Maidah yang menegaskan tentang laranagan (pengharaman) meminum minuman yang memabukkan itu.

Sahabat yang selalu mendesak dan memohan kepada Allah supaya diberi penjelasan tentang hukum minuman arak dengan penjelasan yang lengkap ialah ‘Umar al-Khattab. Berdasarkan kepada beberapa riwayat yang sahih, tatkala diturunkan ayat 90 dan 91 surah al-Maidah, dia berkata, “Berhentilah kami! Berhentilah kami (daripada meminum khamar)!”

Demikianlah dengan penambahan secara ringkas daripada ‘ulama tafsir. Wallahu ‘Alam..

About these ads

About Mada Hannan

Kadang-kala berkata tanpa kata itu lebih lancar, berhujah tanpa bersemuka itu lebih jelas, meluah tanpa bertentang mata itu lebih selesa umpama lancarnya air yang mengalir, tenangnya bayu yang bertiup, bebasnya burung yang terbang di awanan

Posted on July 4, 2011, in Tinta kehidupan. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: